30 Disember, 2009

SELAMAT TAHUN 2010/1431

Selamat menempuh tahun 2010M dan 1431H. Semoga tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Dalam hal ini, saya teringat akan sebuah hadith, “Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia adalah dalam kalangan orang yang celaka.”
Apabila munculnya tahun baru, ramai yang bercakap tentang azam baru dan matlamat. Ada yang mengatakan, matlamat perlu ditulis! Betul juga tu, tetapi saya sering mencadangkan agar matlamat yang ingin kita capai itu mesti dimulai dengan niat, dan niat itu mestilah sentiasa berada di jiwa/minda kita, biar di mana sekali pun kita berada. Untuk menjadikannya sebati dengan diri kita, saya selalu mencadangkan agar niat mesti diucap secara lisan dan dalam hati setiap hari, sekurang-kurangnya 40hari lamanya; iaitu tujuh kali diucap ketika hendak tidur dan tiga kali diucapkan apabila sedar daripada tidur.


Sempena tahun baru ini juga, saya menerima e-mel daripada seorang rakan maya, tentang tip menyelesaikan hutang. Menurutnya, tanpa hutang, kehidupan kita akan lebih senang dan lebih tenteram. Saya setuju sangat, itu memang benar!

Untuk makluman kawan-kawan, matlamat saya tahun 2010 adalah untuk berkongsi rezeki dan ilmu yang saya ada sedikit ini, di samping membuat kebajikan sebanyak mungkin. Melalui projek yang saya ilhamkan, saya akan berusaha dan mencuba untuk membantu sesiapa juga yang memerlukan bantuan. Saya akan meneruskan program percuma ceramah motivasi kecemerlangan dan pembinaan modal insan.

Manakala tugas-tugas dan tanggungjawab rutin akan saya laksanakan sebaik-baiknya dan sedaya upaya kudrat saya. Harap-harap tahun ini, kesihatan dan semangat saya kian pulih dan dapat berbakti kepada sesiapa jua. Saya mengalu-alukan penyertaan dan kerjasama daripada semua pihak.

27 Disember, 2009

Kadang-kadang Serba Salah

Dalam perjalanan pulang dari Alor Setar sambil dipeluk keletihan yang amat sangat, saya pun bermalam di Tanjung Malim, Perak, sebuah pekan akademik yang namanya tercatat dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu. Teringat Pendeta Zaaba dan kawan-kawan yang bertugas di UPSI kini.
Sebelum meneruskan perjalanan pulang, sempat juga bertemu kawan dan bekas pelajar saya di sini. Minum di kafe Kolej Kediaman Ungku Omar sambil memerhati gelagat dan membuat temu ramah ringkas tentang kehidupan mahasiswa kini.
Dapatan ringkas; mahasiswa terpaksa berjimat dan ikat perut kerana masalah kewangan – PTPTN tidak cukup! Terpaksalah meminta bantuan emak ayah. Kalau yang kurang bernasib baik tu, emak ayah pun sengkek juga! Terpaksalah makan nasi lauk telur goreng dan kicap sahaja. Puratanya mereka memerlukan wang belanja RM250 sebulan. Yang mewah tu, mungkin dapat lebih lagi. Walau bagaimanapun, mereka lebih bertuah, lebih senang jika dibandingkan dengan kehidupan pelajar 10 tahun yang lalu.
Sampai di Rembau, kami pun berehat dan iktikaf di masjid. Di sini lain pula pengalaman saya. Saya nampak seorang lelaki berbadan tegap (sihat) berbaring rehat di dalam masjid, mungkin penat dia. Setelah agak lama juga, dia bangun dan mengambil beberapa helai risalah dan membelek-beleknya. Oleh sebab dia lalu tidak jauh dari tempat saya duduk dan wajahnya nampak mesra, saya pun menegurnya. Dia pun memang mesra dan peramah. Kebetulan, menurutnya dia sedaerah dengan saya. Dia pun kenal kawan-kawan saya yang sekampung dengannya. Menurutnya, dia seorang duda berumur 31 tahun, isterinya meninggal dunia sembilan tahun yang lalu akibat barah payu dara. Ketika itu isterinya baru melahirkan anak pertama yang kini dipelihara oleh neneknya di kampung. Hingga kini dia tidak berkahwin lagi; serik kena tipu seorang wanita dua tahun yang lalu. Dia bekerja sebagai mekanik di Hulu Langat dan hari itu terpaksa balik ke Batu Pahat kerana adiknya kemalangan jalan raya awal pagi tadi. Dia kata, dia kehilangan dompet dan telefon bimbit. Duit dah tak ada, sebab itu terpaksa singgah di Rembau. Dia ada kawan di sini, tetapi apabila dia minta tolong, kawannya itu rasa keberatan. Laporan polis sudah dibuat, katanya.
Sewaktu saya meminta diri, dia memberitahu bahawa dia perlukan pertolongan untuk membeli petrol. Saya jadi serba salah. Namun tanpa berfikir panjang dan dengan niat menolong, saya pun berikan RM20 kepadanya. Saya kira, itu sudah cukup untuk sampai ke rumahnya. Dia berjanji untuk membayar balik esok melalui akaun saya (tapi dia tidak pun meminta no. akaun bank saya!).
Berdasarkan cakap-cakap tadi dan air mukanya, tidak nampak bayang-bayang kaki kelentong dia tu…. Tapi, entahlah…. Raut muka tak sama dengan yang tersirat di hati! Tunggu sahajalah. Kadang-kadang serba salah juga; nak tolong atau tak nak tolong? Namun saya tak mengharap apa-apa....

24 Disember, 2009

Ceramah di Benut, Pontian

Petang tadi saya diberi kesempatan menyampaikan ceramah motivasi kepada makcik-makcik di Taman Mahkota Jaya, Benut. Oleh sebab mereka selalu disuguhkan dengan perihal fardu ain, maka saya memilih tajuk “Fardu Kifayah yang Sering Diabaikan”. Namun saya tidak mengupasnya panjang lebar kerana masa yang terhad dan saya fikir ustazah yang bertugas di situ boleh meneruskannya. Lalu saya menyimpang ke tajuk popular saya, “menjana minda cemerlang”. Nampaknya mereka lebih tertarik dan seolah-olah mendapat sesuatu yang baru.

(gambar akan menyusul kemudian)

11 Disember, 2009

KASIHANNYA WANITA....

Minggu lalu saya menerima sms daripada seorang wanita (wanita 1) dari Pahang “Assalamualaikum dr, saya ingin mendapat khidmat nasihat dan menambahkan pengetahuan tentang memikat suami untuk menambahkan kasih sayang bersama suami. (Fikiran) Saya sudah buntu. Nampaknya makin pudar. Selepas suami saya berkahwin dengan perempuan Indon...anak-anak pun sudah terasa sangat...anak saya tengah (sedang) belajar lagi. Lima orang, (di) USIM tahun akhir, UiTM baru habis, Dua orang lagi masih bersekolah. Kalau boleh saya nak minta nasihat. (Saya) tak nak nanti rumah tangga yang saya bina selama 25 tahun musnah begitu sahaja. Apa yang harus saya lakukan?”
Saya tidak segera memberi respons terhadap masalah wanita itu.
Lalu dia menghantar sms lagi “sekarang kalau saya terlampau tertekan jadi tak boleh tidur. Saya pernah ambil ubat tidur.”

Malam semalam pula saya menerima sms daripada seorang wanita juga (wanita 2) “Maaf, saya tak sempat nak bagi no. akaun bank. Kereta saya accident petang tadi.” Terkejut saya menerima mesej itu. Pada sebelah paginya dia bertemu dengan saya kerana urusan perniagaan. Dia memberitahu saya bahawa itulah kali pertama dia memandu kereta sendiri dalam jarak yang jauh (lebih 100 km). Dia baru mendapat lesen memandu kira-kira lima bulan lalu.
Saya segera menelefonnya untuk mengetahui cerita tentang kemalangan itu. Keretanya dilanggar oleh sebuah motosikal yang memotong dari kiri sewaktu dia hendak membelok. Dia tidak cedera apa-apa, tetapi keretanya mengalami kerosaka yang agak teruk. Kereta baru jenis Proton Saga. Panjang lebar dia meluahkan pengalaman cemasnya.
Yang menarik pada saya ialah apabila dia berkata dengan penuh emosi “Saya panik. Saya tak tahu nak buat apa. Semua orang kerumun saya. Semua salahkan saya. Saya hubungi suami saya, dia marah-marah pulak, dia tanya macamana boleh accident? Kereta teruk tak? Bukannya dia tanya saya macamana keadaan saya?Luka ke? Koma ke? Dia lebih pentingkan kereta dia....”
Sempat saya beri dia semangat dan sedikit panduan untuk menyelesaikan masalah kemalangannya, termasuklah cadangan untuk mendapatkan khidmat guaman jika perlu. Kebetulan pula di bandar itu saya mempunyai seorang rakan peguam yang kebetulan peguam saya dahulu.
Kemudian saya menghantar sms kepadanya “Kesemuanya itu ketentuan Illahi yang pasti ada hikmahnya. Pengalaman pahit dan menyakitkan pada hari ini akan menjadi manis kemudian nanti, apatah lagi setelah “ia” menjadi kenangan. Benda dah berlaku nak buat macamana. Terimalah dengan tenang dan reda. Percayalah, Allah akan sentiasa bersama-sama dengan orang yang sabar dan benar.”
Dia membalas “Terima kasih. Sekarang baru saya rasa lega sedikit.”
Mesej yang lebih kurang sama juga saya berikan kepada wanita 1 tadi, selain beberapa panduan ringkas untuk menangani tekanan dan konflik jiwa.
Semalam petang saya bertanya Wanita 2, tentang masalah yang berkaitan dengan kemalangannya. Dia menghantar sms berbunyi “saya tak berani lagi keluar rumah. Masih takut dan rasa nak berhenti kerja. Tak nak guna kereta.”
Justeru saya cadangkan kepadanya agar mengambil produk saya (Prominex) kerapkali untuk membantu menghilangkan trauma. Saya maklumkan juga bahawa dia perlu rawatan trauma dan memulihkan semangat. Untuk makluman pembaca, dalam perubatan homeopathy ada ubat/remedi untuk rawatan masalah trauma.

09 Disember, 2009

PERIHAL SEWA PREMIS

Dua tahun lalu, bagi pihak anak saya, saya menguruskan dan menandatangani perjanjian sewa premis kedai. Tiga minggu lalu, tangkai air di premis itu rosak teruk dan langsung tidak boleh digunakan dan saluran najis tingkat atas yang melalui bilik air premis itu bocor sedikit dan menitiskan air kotor. Justeru, saya menghubungi pemilik premis melalui sms untuk bertanya – apa yang seharusnya saya lakukan. Namun tiada apa-apa respons.
Mengikut kebiasaan dan lojik akal saya, pemilik premis bertanggungjawab untuk menyelenggara dan membaiki apa-apa kerosakan. Jadi, saya pun menghubungi kontraktor untuk menyelesaikan masalah di atas.
Pagi tadi, saya menerima sms daripada pemilik “tuan, bayaran sewa perlu dijelaskan sebelum 7 hb. Bayaran perlu dibuat dengan melalui akaun MBB xxxxx hari ini”.
Saya pun balas “Salam. Apa hal dengan tangki air yang rosak tak boleh guna dan salur tandas tingkat atas yang bocor itu? Saya sudah suruh orang buat kerja.”
Pemilik yang juga seorang pegawai kanan kerajaan, berpendidikan tinggi dan berjanggut agak-agak panjang sejengkal itu menjawab “Kos tuan tanggung sendiri sebagaimana persetujuan masa nak sewa (dahulu). Tapi kalau tuan tak setuju kita boleh tamatkan sewaan segera.”
Saya amat terkejut dengan jawapan itu; rasa marah, pelik dan sedih tiba-tiba berbaur dalam acuan jiwa saya. Emosi saya benar-benar terganggu. Lantas saya pun membalasnya “Takkan tangki air rosak dan salur tandas tingkat atas bocor pun saya kena buat? Saya dah banyak bertolak ansur dengan hal kedai itu.” Untuk makluman anda, sebelum saya menyewa, premis itu kosong tiada penyewa – maklumlah premis milik Melayu di Bandar yang sedang membangun! Saya menyewa premis itu atas dasar sama-sama Melayu dan ada sedikit niat untuk membantunya walaupun saya terpaksa menyediakan bekalan elektrik dan air sendiri dan menjelaskan cukai pintu yang tertunggak lebih daripada rm2K. Pada masa itu, pintu (grill) besi premis itu pun bermasalah dan saya tolong betulkan.
Tidak lama kemudian dia membalas sms saya, “tak apa nanti saya keluarkan notis sebagaimana yang diperlukan”.
Tambah berderau darah saya. Premis milik dia, saya hanya menyewa. Dia berhak menghalau saya dan buat apa-apa sahaja. Rasa sedih kian bergumpal di jiwa saya. Lalu saya pun menjawab “Tak apalah. Kalau tuan fikir itu yang terbaik dan boleh membahagiakan tuan, saya akan bayar sewa hari ini. Bagi saya resit bayaran sewa yang saya bayar selama ini. Tq dan maaf”
Saya pun mengadukan hal ini kepada seorang teman. Semua sms dia dan saya tadi saya “foward” kepada teman saya itu. Saya meminta komen tentang keputusan dan bahasa yang saya gunakan. Saya katakan kepadanya (untuk luahkan marah dan tak puas hati) “manusia tak mengenang budi, masa susah kita tolong dia....”
Jawab teman saya , “orang kalau dah terdesak, lupa semuanya.”
Alhamdulillah, saya berjaya memujuk hati sendiri. Saya akui kesilapan saya, lewat dua hari bayar sewa dan mungkin saya lupa isi perjanjian. Mungkin dia ada kewangan, mungkin dia ada masalah kewangan. Mungkin juga dia tersilap. Namun, saya yakin bahawa saya berada di pihak yang benar. Saya cuba mengelakkan diri daripada tercetusnya konflik dan pertentangan dengan sesiapa, apatah lagi dengan dia yang saya kenal dan kerap juga terjumpa. Saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa. Saya mahu kehidupan yang singkat ini semuanya indah dan menyeronokkan. Justeru, saya berusaha mengikhlaskan diri dan di sudut hati berdoa agar Allah s.w.t akan meredai dan memberkati kehidupan saya dan mempermudah rezeki keluarga saya, dan sesiapa jua yang bersama-sama saya, terutamanya RAKAN-RAKAN PROMINEX saya (www.prominex.blogspot.com )
Berbalik pada hal di atas, petang tadi saya memasukkan RM500 kepada pemilik premis sebagaimana yang saya janjikan. Saya menghantar sms kepadanya “duit sewa RM500 dah bank in. Sila bagi saya resit. Semoga tuan dimurahkan rezeki, mendapat keberkatan dan hidayah.”
Senyap. Saya terus ke pejabat untuk menyemak dokumen perjanjian. Berulang kali saya baca – tempoh sewaan sehingga Disember 2010. Lega hati saya. Tercatat pada Perkara 10 (Tanggungjawab Pemilik): Pemilik bertanggungjawab menyelenggara/membaik pulih kerosakan/kemusnahan struktur bangunan, bekalan elektrik dan air yang disebabkan bukan kecuaian penyewa.
Lantas saya pun menghantar sms kepada pemilik premis “Berkaitan dengan masalah kerosakan tangki air dan saluran tandas, saya mohon kelapangan tuan untuk menyemak Perkara 10 dalam perjanjian sewa premis yang bertarikh 1 Disember 2007. Harap maklum.”
Apa komen anda?

30 November, 2009

Motivasi Keusahawanan







Hari saya menyampaikan ceramah motivasi keusahawanan di Politeknik Nilai, Negeri Sembilan dengan tajuk “One Touch Creative to Exellent”. Program ini diadakan sempena Hari Keusahawanan institusi tersebut. Kepada peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang berkaitan dengan bidang ekonomi, kewangan dan keusahawan ini, saya berusaha menyampaikan sesuatu untuk merangsang mereka agar berusaha dan menyiapkan diri untuk menjadi usahawan bermula dari usia muda. Saya mengetengahkan tujuh sentuhan gemilang dan satu pegangan untuk berjaya dalam bidang perniagaan/keusahawanan. Terima kasih kepada penganjur kerana memberikan saya penghormatan dan peluang untuk melawat pameran keusahawan yang hasil tangan dan sentuhan kreatif para pelajar. Saya tertarik dengan produk keselamatan yang dihasilkan oleh sekumpulan pelajar di situ. Produk tersebut sangat relevan dan suatu keperluan masa kini, khususnya kepada kaum wanita.
Daripada pandanagn saya, pelajar-pelajar akan berminat untuk menjadi usahawan atau sekurang-kurangnya dapat mencipta kerjaya sendiri apabila tamat pengajian sekiranya mereka diberi pendedahan dan diperkaya dengan pengalaman dan ilmu-ilmu yang lain. Institusi pendidikan awam/swasta perlu berganding bahu dengan pihak-pihak yang terlibat secara langsung dengan keusahawan, khususnya pihak swasta supaya pelajar memperoleh pengalaman sebenar dunia perniagaan.

30 Oktober, 2009

HEBATNYA BAHASAKU....




Selama tiga hari mengikuti Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia, di Persada Johor, Johor Bahru, selain dapat bertemu dengan rakan-rakan lama dan pejuang-pejuang bahasa, pencinta dan pelaksana bahasa Melayu, persidang ini memang amat bermanfaat dan dapat membarakan semangat cinta akan bahasa Melayu. Rupa-rupanya, pengguna bahasa Melayu di dunia ini lebih daripada 300 juta orang.
Banyak perkara menarik dan membanggakan dapat dikutip dalam persidangan ini, antaranya ialah betapa orang asing/orang luar berminat dan mempelajari bahasa Melayu di Negara mereka. Pembentang-pembentang kertas kerja dari negara yang bahasa rasminya bukan bahasa Melayu, misalnya dari Jepun, China, Rusia, Singapura, dan Thailand fasih berbahasa Melayu.
Prof. Wu Zong Yu dari China dalam kertas kerjanya menyatakan “Saya beranggapan bahawa bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang merdu sebutannya, yang sederhana nahunya dan yang halus budayanya. Saya tertarik dengan pantun Melayu, pepatah Melayu dan peribahasa Melayu. Saya betul-betul jatuh cinta akan bahasa Melayu.”
“Bahasa jiwa bangsa.... kita perlu menguasai bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan bangsa asing, tetapi jangan sampai di rumah sendiri pun menggunakan bahasa Inggeris. Terus terang, jangan memandang rendah bahasa ibunda! Bahasa Melayu indah, bahasa Melayu kaya dengan budaya, pantun, peribahasa, perumpamaan, sajak, syair... sedikit pun tidak kalah dibandingkan dengan bahasa Inggeris.”
Prof. Madya dr. Kyoko Funada (Jepun) menyebutkan “Di Jepun juga bahasa Melayu sudah mulai dididik sejaka lebih kuraang 100 tahun yang lalu.... Asas yang bahasa Melayu menjadi bahasa Dunia sudah ada (sejak) beberapa abad yang lalu. Di Jepun ditubuhkanlah sekolah bahasa yang diajari bahasa Melayu pada tahun 1897 dan 1900 di Tokyo. Antara 600 universiti yang ada di Jepun, terdapat lebih 30 universiti yang menyelenggarakan pembelajaran bahasa Indonesia (bahasa Melayu).
Namun begitu, persidangan yang berkaitan dengan bahasa Melayu ini seharusnya disertai dan dimanfaatkan oleh pejuang-pejuang atau pemimpin-pemimpin bangsa Melayu, terutamanya pemimpin politik Melayu yang berjiwa Melayu. Hal ini kerana nasib dan masa depan bahasa Melayu di tanah air kita adalah terletak di tangan mereka.

20 September, 2009

Tahniah, Azmah Nordin

Tahniah, Azmah Nordin atas penganugerahan SEA Write Award 2009. Penulis wanita yang amat gigih, yang berjaya mengalahkan penulis-penulis terdahulu. Dan saya kira Azmah mula menulis daripada titik kosong, bertatih-tatih, tanpa jemu, dan tanpa rasa rendah diri sehinggalah dia berjaya berdiri di puncak kejayaan kini. Masih saya teringat, pertama kali bertemu dan berkenalan dengan Azmah, pada tahun 2005 di Kompleks Belia Likas, Kota Kinabalu dalam bengkel penulisan anjuran DBP di bawah bimbingan Tn Haji Ali Majod dan Tn Haji Hamzah Hamdani. Waktu itu, Azmah bertanya saya “Plot itu apa? Macam mana nak buat plot?”
Beberapa tahun selepas itu, karya Azmah terus terbit satu persatu dan memenangi banyak sayembara sehinggalah ada yang menggelarnya sebagai penulis sayembara. Namun bagi Azmah, itu semua sebagai satu cabaran. Biarpun dia tidak sampai ke menara gading tetapi jiwa besar dan semangat wajanya, terus berjuang dan menggunakan segenap ruang dan peluang untuk mencipta nama di persada kesusasteraan tanah air kita.
Suatu ketika sewaktu bertemu Azmah di Kuala Lumpur, dia bertanya saya “kau menulis guna komputer?”.
“Ya, kenapa?”
“Aku guna mesin taip je. Aku tak tau guna komputer” jawabnya jujur.
“Banyak royalti kaudapat?”
“Purata sebulan aku dapat dua hingga tiga ribu." Selamba sahaja Azmah.
“Kau memang hebat. Macam mana kau boleh ada masa?”
“Anak-anak aku sudah besar. Aku akan menulis selagi ada masa. Aku juga buat penyelidikan sendiri.”
Itulah antara cebisan cerita yang saya ingat sepanjang perkenalan dengan Azmah, seorang wanita berbakat yang berjaya menjadi penulis tanpa mengikuti kuliah penulisan formal di IPT!

18 September, 2009

Ketupat Periuk Kera







Setelah selesai menguruskan hal-hal yang patut, dan menemui yang tersayang, akhirnya saya meninggalkan Segamat untuk pergi menyambut aidil fitri di Serambi Makkah. Sedih juga meninggalkan mereka.
Dalam perjalanan, sebelum sampai di Muadzam Shah, teruja pula untuk berhenti di tepi jalan tempat Orang Asli berjaja hasil-hasil hutan. Kami teruja untuk membeli buah keranji. Saya pula tertarik dengan periku kera (nepenthes) dan menjadikan itu sebagai alasan untuk saya berkenalan dan beramah mesra dengan sepasang suami isteri orang Asli sambil menjaga dua orang anak mereka yang masih kecil. Mungkin mereka ini keturunan penduduk asal Tanah Melayu dari kelompok Melayu Proto dahulu.
Itulah pertama kali saya tahu bahawa periuk kera itu bokeh dibuat sarung ketupat. Justeru saya pun membeli dua gugus periuk kera dengan harga RM10. Bermacam-macam persoalan berlegar di benak saya apabila melihat ibu muda dan anak-anak mereka.
Mereka begitu mesra dan jelas pandai berniaga. Komunikasi mereka juga cukup baik dan menghormati kami. Banyak penerangan tentang periuk kera diberikan kepada saya.
Dari segi peluang pendidikan, saya fikir kita perlu memberi lebih peluang dan keistimewaan kepada mereka; tak boleh menggunakan sistem meritokrasi. Kalau pelajar Asli dapat gred C, saya fikir sudah setanding dengan pelajar lain yang mendapat gred A.
Kita berkewajipan untuk mendekati dan menyampaikan ilmu kepada mereka. Tidak perlulah kita pergi jauh-jauh sampai ke luar negara untuk menyampaikan agama Allah ini sedangkan mereka yang dekat ini masih dahagakan ilmu dan kebenaran. Pelajar sekolah dan IPT perlu juga dibawa melawat perkampungan Orang Asal ini. Kajian tentang sosiobudaya, sosioekonomi, dan bahasa Orang Asal ini mungkin boleh dijalankan oleh mereka.

13 September, 2009

Cari Sumber yang Halal

Pagi tadi, sewaktu ronda-ronda di bandar, melalui dua buah kedai nombor ramalan (judi) terdetik di hati; alahai, ramainya orang Melayu-Islam yang membeli nombor! (Dulu orang panggil nombor ekor, sekarang entah apa). Ada beberapa orang yang saya kenal, alahai… tak sangka pula. Ada imej Islam di wajahnya – ada misai dan ada janggut bak janggut orang yang warak je. Anak-anak muda pun ramai juga yang masuk ke kedai itu.
Lebih menyentuh hati saya apabila teringat sekarang ini bulan puasa, bulan Bulan Ramadan al-Mubarak, bulan yang penuh keberkatan, bulan pengampunan, dan bulan yang diharap-harapkan dapat mengubah nilai manusia Islam daripada “tidak baik” kepada yang “baik” walaupun sedikit.
Saya yakin, niat mereka adalah untuk menampah rezeki/pendapatan apatah lagi saat-saat menghadapi hari raya. Kita semua memeng memerlukan duit lebih dan perlu menyediakan itu dan ini, terutama untuk orang tersayang. Duit gaji dan bonus yang tidak seberapa tentunya tidak cukup; harga semua barang keperluan memang cukup tinggi sekarang; harga barang sentiasa naik; petrol pun baru sahaja naik! Bagi mereka yang mempunyai tanggungan keluarga, keperluan kewangan kian bertambah, namun pendapatan tetap tidak berubah.
Untuk jalan mudah, pergi mencuba nasib; membeli nombor ekor atau loteri. Itu kerja mudah walaupun haram dan jarang sekali mendapat tuah. Selalu saya ditanya, apa punca anak-anak jadi jahat, belajar bodoh, dan menimbulkan masalah? Antara jawapan saya ialah, anak-anak diberi makan daripada sumber yang haram!
Wahai bapa-bapa, ingatlah selalu; sumber pendapatan yang tidak halal/haram begini mesti dielakkan. Carilah alternatif lain untuk menambah pendapatan. Kalau gaji tidak cukup atau ingin menjadi kaya, bekerja secara sambilan di mana-mana asalkan halal dan tidak mengganggu tugas. Berniagalah! Bukankah perniagaan itu sunah dan punca terbesar rezeki? Sudah lupakah kita bahawa 90% rezeki itu ada dalam perniagaan? Berniagalah wahai orang Melayu, wahai orang Islam! Bukalah minda, dan positiflah tentang perniagaan. Kita akan ketinggalan dalam ekonomi dan kkita akan mundur jika kita mengabaikan bidang perniagaan.
Begitu juga dengan anak-anak muda, yang masih kuat jiwa dan raga. Berusahalah menjadi kaya dan berharta. Carilah pendapatan yang halal. Jangan malu dan malas bekerja. Bekerja itu ibadat. Biar mati bekerja, jangan mati merempat!
Carilah peluang niaga yang mudah, yang tidak memerlukan masa yang banyak, yang tidak memerlukan modal yang besar. Minggu lepas saja saya diberi peluang berniaga dengan modal hanya RM60. Suatu perniagaan yang nampaknya remeh, tetapi setelah diteliti, saya dapati perniagaan ini berpotensi besar dan sangat mudah. (Maaf: saya tak dapat menerangkannya di sini, tetapi kalau ingin tahu, hubungilah talian 013-7613931 atau e-mel saya nikmat33@yahoo.com ). Saya yakin, anda boleh melakukannya dan anda tidak perlu lagi ke kedai nombor ramalan atau mencari sumber yang tidak halal. Selamatkanlah dan kasihanilah anak-anak anda yang lahirnya bagaikan kain putih itu! Janganlah disuapi mulut mereka dengan makanan dari sumber yang haram.

02 September, 2009

Selesma Babi: Kita Perlu Bekerjasama

Dalam usaha mencegah wabak Selesma Babi (influenza H1N1) daripada terus melanda dan mencemaskan seluruh dunia, khususnya di tanah air kita ini, semua pihak perlu bekerjasama tanpa prejudis, tanpa dengki dan iri, dan tampil ke depan dengan apa-apa jua "senjata" yang kita ada. Apa-apa jua ilmu dan kelebihan yang kita ada, kita perlu ingat bahawa hal ini semua adalah ujian dan mungkin bala daripada-Nya. Kita perlu mengambil iktibar dan mencari hikmah di sebalik wabak ini; dan yang paling utama, kita mestilah bersatu-bersatu memerangi dan menangani wabak ini dengan jujur, ikhlas, adil, dan profesional. Catatan di bawah ini ialah petikan daripada e-mel yang saya terima; moga-moga ada manfaatnya untuk manusia sejagat.

India's swine flu deaths 101, preventive homeopathy advised
Indo Asian News ServiceTue, Sep 1 09:08 PM
New Delhi, Sep 1 (IANS) India Tuesday reported one more swine flu death, taking the total toll due to the influenza A (H1N1) virus to 101, health authorities said here.
The latest death was reported from Goa. While two deaths in Karnataka were suspected to be due to the virus, lab reports were still awaited. Of the 101 deaths, Maharashtra has recorded the highest number of deaths, 55, followed by 27 in Andhra Pradesh.
The union health ministry recommended preventive homeopathy medicine, Arsenicum album 30. The decision to advise people to take the preventive medicine was taken after the Central Council for Research in Homeopathy (CCRH), a state-run research wing, gave the suggestion for curbing the spread of the diseases.
'It has recommended one doze of the medicine daily on empty stomach for three days. The dose should be repeated after one month by following the same schedule in case flu like conditions prevail in the area,' the ministry said in a statement.
Meanwhile, 114 people were tested positive for the influenza A (H1N1) virus Tuesday in the country, taking the total number of cases to 4,101. Maharashtra continued to top the charts both in terms of deaths and positive cases. On Tuesday, 48 fresh cases were from the state alone. So far, about 1,687 people have been affected due to the virus in the state.
It was followed by Delhi in the number of cases. At least 665 people have been infected with the disease in the capital. On Tuesday, 10 fresh cases were reported in the Indian capital. Karnataka reported 22 fresh cases, taking the total number of people infected with the virus to 463 - the third highest in the country. Other fresh cases were reported from West Bengal (18) and Orissa (3). One case each was reported from Haryana, Jammu and Kashmir and Chhattisgarh while Puducherry and Chandigarh reported two swine flu cases each.
Meanwhile, a government study has found that swine flu is killing more young and middle-aged people and those suffering from associated diseases like diabetes and chronic heart ailment.
'We have conducted a study and found that more than 50 percent of those affected by the virus were in the age group of 15-45 years,' R.K. Srivastava, director general of the Directorate General of Health Services, told reporters.
'Deaths were also due to late reporting to identified health facilities and delay in initiation of Tamiflu,' he said. The report, which was presented to Health Minister Ghulam Nabi Azad during Monday's stock-taking meeting of the ministry, studied the first 82 deaths that occurred till Aug 31.
Among the dead were 43 men and 39 women including three pregnant women. rivastava said that of the 82 deaths, 61 were in urban areas and 19 in rural areas. He said there were five deaths in the age group of 0-5 years and three from 6-15 age group. Thirteen victims were from the age group of 16 to 25 years, while 18 people died in the age group of 26-35 years. Srivastava said 24 people died in the age group of 36-45, as compared to 18 in the age group of 46-65. Only one person died in the above 65-year category.

(Dipetik drp. E-mel Dr. Suriya Osman kepada MPHM e-mail group)

31 Ogos, 2009

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Begitu mudahnya kalimat itu diucapkan; tetapi sedarkah, insafkah dan dendamkah kita terhadap nasib bangsa yang terjajah selama 446 tahun itu? Kini kita baru merdeka selama 52 tahun, dan dalam kemerdekaan ini, adakah kita benar-benar merdeka – merdeka pemikiran, merdeka jati diri, merdeka jiwa, merdeka bahasa, merdeka ekonomi, merdeka sosial, merdeka pendidikan kita? Biar apapun, yang paling penting ialah kita mesti merdeka pemikiran.
Tidak kira siapa kita; pemimpin utama, pemimpin kanan, pemimpin kiri, mahupun sebagai rakyat jelata – golongan bangsawan ataupun marhaen, dalam mengisi kemerdekaan ini usahlah sekadar mengibarkan jalur gemilang dan melaungkan kalimah keramat itu di pesta-pesta sambutan kemerdekaan.
Gagasan Satu Malaysia memang cukup baik dan ideal, tetapi usaha menerapan nilai kesatuan yang mendalam sampai ke hati sanubari semua rakyat, khususnya generasi muda bukanlah semudah yang difikirkan. Biarpun mereka mempelajari mata pelajaran sejarah dan kenegaraan di sekolah, dan hubungan etnik di IPT, lihatlah hasil dan realitinya.
Intailah penglibatan mereka dalam aktiviti atau program di institusi-institusi pendidikan kita, dan jawablah dengan jujur! Semua pihak mesti bertanggungjawab untuk menyingkirkan prejudis dan tuntutan hak yang mengetepikan fakta sejarah.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-52, semoga kita kekal merdeka jiwa dan raga.

29 Ogos, 2009

Berfikir Positif dan Kreatif

mMarilah kita sama-sama renungkan petikan buku yang berikut, dan kita mula berusaha untuk berfikiran positif agar kehidupan kita lebih indah, seronok dan bermakna, dan mungkin kita akan lebih panjang umur!
“Sesungguhnya Allah yang maha agung mencipta alam semesta ini dengan begitu rapi, sempurna, teratur dan indah. Dengan kurniaannya itu, kehidupan ini menjadi indah dan penuh warna. Tetapi, mengapa kita masih sering bertemu dengan orang yang berasa kehidupan ini penuh kesukaran, kesulitan dan masalah sehingga dunia ini terasa begitu sempit dan menghimpit tiada lagi dapat merasakan keindahannya?
Ternyata memuncaknya kesukaran daripada sesuatu masalah yang menimpa seseorang itu sering kali disebabkan kita tidak mampu berfikir positif. Orang yang tidak mampu berfikir positif biasanya cenderung memandang segala sesuatu dengan penuh syak wasangka dan sengaja mereka-reka segala apa yang belum terjadi. Malangnya, rekaan-rekaan itu tidak pernah berupa yang menyenangkan. Sebaliknya, apa yang mereka bayangkan adalah perkara-perkara yang sukar dan menyusahkan.
Akibatnya, hati dan perasaan tidak pernah tenteram. Belum apa-apa, mereka sudah berasa resah, gundah, gelisah, mudah curiga dan tegang…. Pendek kata, kehidupan ini jauh daripada keindahan dan ketenangan. Kehidupan yang pada hakikatnya penuh dengan keindahan ini menjadi tidak lagi indah kerana salah memasang hati dan fikiran.
Pada hakikatnya, kebahagiaan yang kita cari-cari itu bergantung pada sikap kita sendiri….”

(Dipetik daripada buku Setengah Berisi, Setengah Kosong? Karya Parlindungan Marpaung. Terima kasih kepada yang meminjamkan buku ini kepada saya.)

22 Ogos, 2009

SELAMAT BERPUASA

Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya dan keluarga ingin mengucapkan SELAMAT BERPUASA kepada semua yang berpuasa, khususnya pengunjung laman ini. Berpuasalah dengan penuh iman dan takwa kerana belum pasti sama ada kita masih berpeluang berpuasa lagi atau tidak pada tahun akan datang. Ambillah peluang dalam bulan ramadan ini untuk membaca al-Quran, bertarawih dan bersolat subuh (bagi mereka yang selama ini gemar bangun lewat – kegemaran yang boleh mengundang penyakit dan kemiskinan).
Jika anda tidak mampu berpuasa kerana masalah gastrik, pergilah berubat! Jangan jadikan itu semua sebagai alasan. Mana ada penyakit yang tiada ubatnya? Jika letih sangat atau sampai tidak bermaya, pergilah jumpa perunding makanan / kesihatan. Jumpa saya pun boleh, insya-Allah saya akan membantu anda!
Apabila tiba bulan puasa begini, teringat waktu budak-budak dulu. Sehari sebelum puasa macam ada pesta; mandi beramai-ramai adik-beradik – mandi air kolam; mandi bersih-bersih; gosok gigi – ubat giginya arang! Lucu dan seronok juga; entah apa tujuan dan falsafahnya. Masa berbuka pula, makan beramai-ramai; berlampukan pelita minyak tanah. Air kelapa tak pernah tertinggal, bubur “cerandil’ sedap sangat! Mungkin budak-budak sekarang tak merasa bubur cerandil (bubur tepung gandum gentel-gentel je). Begitulah kehidupan orang miskin waktu itu. Nostalgia semua itu! Dan manisnya kenangan….

21 Ogos, 2009

Menelusuri Kedewasaan

motivasiHari ini, hari bersejarah dalam kehidupan saya. Terima kasih kepada sesiapa yang menghantar ucapan dan doa; ada yang seawal 12.01 pagi dan selewat malam keesokannya. Meskipun sekadar SMS, tetapi amat besar makna dan penghargaannya – bagi saya.
Dalam langkah menelusuri kedewasaan ini, kadang-kadang teringat juga bahawa waktu-waktu dahulu – alangkah berbezanya saya kini! Alangkah hilangnya diri sendiri kini; meninggalkan diri sendiri yang dahulu, yang kian seolah-olah ketiada waktu untuk menjadi diri sendiri; teringat zaman muda yang sentiasa ada lebihan waktu untuk berimaginasi, mencipta, dan berkarya.
Hari ini juga, seorang sarjana dengan nama Taruna Aduka dari Bandar Baru Bangi, mengirimi saya sebuah bukunya Rahsia Panjang Umur dan Kekal Muda. Dalam buku ini, Dr. Burhanuddin al-Helmy menyatakan bahawa muda ibarat bunga yang kembang manakala tua diibaratkan sebagai bunga mala semakin layu. Mengekalkan muda adalah umpama mengekalkan bunga mekar yang kembang sebagaimana kita lihat pada gubahan-gubahan bunga dalam jambangan. Maksud muda yang diidam-idamkan itu ialah selalu muda pada rupa paras, gaya, tenaga, dan rasa. Biarlah masa itu datang dan biarlah usia semakin bertambah tetapi diikhtiarkan supaya ia dapat selalu berupaya, bergaya, bertenaga, dan berasa di luar mahupun di dalam yang dirinya masih muda.
Satu rumusan yang saya peroleh daripada buku ini, usia kehidupan kita ini akan lebih bermakna dan terasa seolah-olah hidup beratus-ratus tahun jika kita dapat memanfaatkan masa yang kita ada, membuat kebajikan dan ada makna bagi generasi yang kita tinggalkan; sesuai dengan peribahasa harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Justeru, saya sentiasa berusaha untuk menyumbangkan masa, tenaga, dan idea saya untuk manfaat sejagat biarpun dengannya masa dan tenaga saya kian menguncup. Namun saya dapat mengutip kepuasan dan kian memahami erti kehidupan kini.
Foto: Sewaktu usia remaja. Macam hensem pulak ye... hehhehe

19 Ogos, 2009

Bertuahnya Orang Felda

Sekali lagi hari ini, saya ke Felda Selanchar 2, Rompin Pahang. Masuk ke felda-felda bukanlah asing lagi bagi saya. Pelbagai program diatur dan dilaksanakan oleh pihak felda di mana-mana jua untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan ekonomi mereka. Seperti biasa, saya akan diamanahkan untuk menyampaikan motivasi kepada ibu bapa dan pelajar di sini. Program terancangan begini nampaknya membuahkan hasil yang amat baik, misalnya felda ini berjaya melahirkan banyak anak peneroka yang berjaya dalam akademik dan kerjaya. Khabarnya, sekolah di Felda Selancar juga antara sekolah yang berbaik di Pahang, terutamanya dari segi keputusan UPSR-nya. “Alangkah bertuahnya orang felda!” Begitulah yang terdetik di minda saya setiap kali masuk ke kawasan felda.
Peneroka felda dan anak-anak mereka memang menjadi anak emas kerajaan, terlalu banyak kemudahan dan keistimewaan disediakan untuk mereka. Kerajaan sentiasa ingat akan nasib generasi kedua felda. Khabarnya, universiti felda pun akan didirikan!
Itu cerita dan nasib bertuahnya peneroka felda; tetapi bagaimanakan nasib dan keadaan orang yang tinggal di kampung-kampung, terutamanya di kampung tradisional? Siapakah yang mengatur dan menguruskan program-program untuk meningkatkan kualiti pendidikan, sosial dan ekonomi mereka? Pernah juga saya terbabit dalam program seperti itu, tetapi kebanyakannya diuruskan oleh pihak sekolah. Ke manakah perginya fungsi penghulu dan ketua kampung dalam hal pendidikan? Atau perlukah ada pegawai-pegawai khas untuk menguruskan mereka sebagaimana yang ada di felda?
Saya cadangkan agar diwujudkan “pegawai pembangunan masyarakat” di kampung-kampung agar kehidupan mereka lebih beratur dan bermakna; kualiti pendidikan, sosial, agama, dan ekonomi mereka dapat ditingkatkan. Audit pembangunan dan penambahbaikan struktur dan gaya pentadbiran perlu dilaksanakan oleh kementerian atau pihak yang berkenaan.
Janganlah hanya mengharapkan peranan ketua kampung (yang kebanyakannya untuk kepentingan pihak tertentu), imam-imam masjid, JKKK yang kebanyakannya menjalankan tugas secara sukarela dan tidak profesional. Usahlah dibiarkan orang kampung yang akhirnya nanti menjadi rakyat kelas kedua; kasihannya mereka yang kini masih menyokong kerajaan yang memerintah.
Imej: Program Gerak Gempur Pendidikan, Felda Selanchar 2: 2007

30 Mei, 2009

Mereka Lebih Suka Petua....


Pagi tadi saya diberi peluang untuk menyampaikan ceramah motivasi dan panduan keibubapaan sempena Program Intergrasi Orang Asli KEMAS Daerah Segamat di sebuah perkampungan orang Asal, di Kampung Putting, Segamat. Setibanya di kampung ini, perasaan dan semangat saya untuk menyampaikan ceramah mula menurun kerana perkampungan orang Asal ini, walaupun rumah mereka sudah moden, begitu juga dengan kehidupan mereka, namun dari segi cara hidup masih menampakkan suatu identiti terkebelakang – anjing berkeliaran dan tanah agak lecak. Dek anjing yang berkeliaran, pembantu-pembantu saya takut hendak keluar dari kereta!
Namun setelah masuk ke balai (kanopi) tempat program berlangsung, saya mula bersemangat apabila saya perhatikan bahawa lebih 90% peserta terdiri daripada orang Melayu; penyelia KEMAS, guru-guru tadika KEMAS dan penduduk di sekitar kampung tersebut.
Dengan bantuan multimedia, saya mencuba menyampaikan isi ceramah sebaik mungkin dan mengutarakan sesuatu yang saya fikir baru bagi mereka. Saya cuba menggabungkan antara ilmu psikologi, biologi, agama, dan budaya dalam usaha membantu peserta mendidik dan melahirkan generasi (anak-anak) yang berguna dan kenal akan ibu bapa mereka. Rupa-rupanya mereka suka akan petua berbanding ilmu-ilmu moden kini yang sering diketengahkan oleh penceramah/motivator terkenal.
Respons daripada peserta memang cukup membanggakan, dan saya yakin ceramah saya hati ini berkesan kerana ada peserta meminta saya meneruskan ceramah walaupun masa sudah habis. Sewaktu hendak beredar beberapa peserta menemui saya dan meminta saya menyampaikan ceramah di tempat mereka, di samping beberapa peserta yang mengadu hal tentang anak-anak masing-masing.
Begitulah… suatu kepuasan yang tidak terhingga. Terima kasih kepada anda yang membantu saya dan memberikan saya sinergi pada hari ini.

23 Mei, 2009

Perihal Wang Hibah

Petang tadi saya menghadiri taklimat tentang “hibah”, iaitu tentang duit hibah, kata mereka. Saya pun tak berapa faham konsep dan prinsip hibah yang dihebah-hebahkan oleh sesetengah pihak sehingga masyarakat sangat berminat dan berpusu-pusu memenuhi dewan sebesar itu. Maklumlah…. Siapa yang tak berminat kalau ada pihak yang mahu memberikan wang percuma! Makan ringan dan minum disediakan pula! Seminggu sebelum itu, saya terdengar ada orang berkata, “minggu depan ada jutawan nak datang bawa duit berjuta-juta ringgit!”
Orang penuh sesak di dalam dewan, masing-masing ingin mengetahui dari mana datangnya duit hibah yang dimaksudkan itu. Dalam pada itu, masing-masing memegang borang permohonan untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada duit hibah. Daripada ramai-ramai itu, saya nampak hanya ada enam orang Cina yang datang.
Saya perhatikan, barisan penganjur yang duduk di meja depan terdiri daripada penghulu, ketua kampung, imam dan jawatankuasa masjid. Mereka semua membawa imej yang baik dan meyakinkan para hadirin.
Apakah yang dimaksudkan “hibah” yang sebenarnya? Betulkah “hibah” itu wujud atau hanya mainan strategi pihak-pihak yang bijaksana …. Saya tertarik dengan jawapan seorang kenalan pada hari itu “bahagi harta rampasan perang!” jawabnya apabila saya bertanya “ada apa ni?”. Walaupun dalam nada gurau, ada munasabahnya! Sebenarnya saya pernah mendengar perihal “hibah” ini sejak tiga tahun yang lalu. Kalau ikutkan ceritanya, memang menarik dan boleh diyakini. Justeru ada juga yang “melabur” ribuan ringgit kerana khabarnya ada pulangan yang sangat besar.
Kalau ada sesiapa yang tahu tentang “hibah” ini, silalah jelaskan agar tidak menjadi kabur dan mengelirukan. Walau bagaimanapun, saya masih ingat kata-kata penceramah pada petang itu (seorang haji), beliau berkata, “ada tiga perkara yang perlu dilakukan supaya kita dipermudahkan rezeki, iaitu berkasih sayang, bersedekah dan membaca surah Yassin setiap hari.” Kata beliau lagi, setakat ini beliau sudah menerima lebih 80,000 permohonan bantuan daripada duit hibah ini.

04 April, 2009

Kanak-Kanak Belajar daripada Kehidupan Mereka


Pagi tadi saya diminta untuk menyampaikan ceramah motivasi kepada ibu bapa dan guru di Taski ar-Raudhah, Bukit Siput, Segamat. Masa yang diperuntukan terlalu singkat; memang tak puas hati dan terlalu sedikit yang dapat saya sampaikan. Kali ini saya menyentuh hal pendidikan anak dan budaya di rumah yang boleh mempengaruhi jiwa dan pemikiran kanak sehingga dewasa. Sepintas lalu sahaja saya mengemukakan idea Dorothy yang popular itu:

Kanak-kanak Belajar Daripada Apa Yang Mereka Alami

Children Learn What They Live

by Dorothy Law Nolte

Jika anak hidup dengan kritikan, mereka belajar untuk mengutuk.

Jika anak hidup dengan permusuhan, mereka belajar untuk melawan.

Jika anak hidup dengan ketakutan, mereka belajar untuk bimbang.
Jika anak hidup dengan kasih sayang, mereka belajar

menyayangi diri sendiri.

Jika anak hidup dengan ejekan, mereka belajar menjadi malu.

Jika anak hidup dengan iri hati, mereka belajar menjadi pendengki.

Jika anak hidup dengan rasa malu, mereka belajar untuk rendah diri.

Jika anak hidup dengan dorongan, mereka belajar untuk yakin diri.

Jika anak hidup dengan toleransi, mereka belajar menjadi sabar.

Jika anak hidup dengan pujian, mereka belajar untuk menghargai.

Jika anak hidup dengan penerimaan, mereka belajar untuk mencintai.

Jika anak hidup dengan persetujuan, mereka belajar untuk menyukai diri.

Jika hidup dengan penghargaan, mereka belajar untuk mempunyai tujuan.

Jika anak hidup dengan perkongsian, mereka belajar menjadi murah hati.

Jika anak hidup dengan kejujuran, mereka belajar tentang kebenaran.

Jika anak hidup dengan keadilan, mereka belajar menjadi adil.

Jika hidup dengan kebaikan hati dan perhatian, mereka belajar menghargai.

Jika anak hidup dengan rasa aman, mereka belajar mempunyai keyakinan.

Jika anak hidup dengan rasa persahabatan, mereka belajar
menemukan kasih sayang di dunia.

22 Februari, 2009

Alahai Polisku....

Kira-kira pukul 6 petang tadi, sewaktu keluar dari Bandar Putra, Segamat, di simpang tiga saya ternampak polis buat sekatan jalan (tiada papan tanda – mungkin tak rasmi). Mungkin polis membuat operasi mat rempit. Dua orang anak muda berpatah balik kerana terkejut dengan sekatan itu. Setelah berpatah balik, seorang anggota polis cuba menahan penunggang motosikal itu, dan saya nampak hampir terlanggar oleh motosikal berkenaan. Ada satu perkara yang menguja perasaan saya apabila ternampak seorang anggota polis memukul belakang pembonceng motosikal dengan sebatang kaya (macam kayu batang penyapu) dengan kuat dan bersungguh-sungguh. Persoalan yang berlegar di benak saya ialah: Mengapa harus dipukul pembonceng itu? Tidak ada cara lainkah yang lebih baik atau kurang ganas? Bagaimana pula kalau pukulan itu terkena kepala atau tengkuk? Atau bagaimana nasib anggota polis itu kalau dia terlanggar? Tidak cederakah dia? Atau mungkin juga memang begitulah prosedur dan budaya rakyat Malaysia kini? Sama-samalah kita fikirkan….

19 Februari, 2009

Guru gagal mendidik?

Tercatat dalam sejarah, hari ini terpapar berita tentang pelajar membakar kereta guru di sebuah sekolah di Segamat, Johor. Tentunya berita ini boleh mengaibkan nama sekolah. Seorang teman, sambil berseloroh dia mengungkapkan kata-kata “guru-guru gagal mendidik dan mendisiplinkan pelajar!”. Ada juga suara-suara yang mengaakan bahawa disiplin pelajar sekarang semakin meruncing; disiplin sekolah berkenaan teruk; dan macam-macam lagi ungkapan sinis dan berunsur negatif. Dalam nada bergurau juga saya memberikan respons “tidak adillah kalau disebabkan seorang pelajar yang cuba membakar kereta guru, lantas kita membuat penilaian yang sedemikian. Bagi saya, ini kes terpencil di sekolah berkenaan. Sekali dalam masa 50 tahun. Seorang daripada 1500 orang pelajar lain yang masih berdisiplin dan mempunyai nilai-nilai murni. Sebenarnya semua pihak, termasuk individu mempunyai kewajipan dan tanggungjawab dalam usaha melahirkan masyarakat yang berdisiplin, bermaruah dan bertakwa. Usahlah diserahkan anak-anak kita seratus peratus kepada guru dan pihak sekolah. Institusi keluarga dan masyarakat, khususnya ibu bapalah sebenarnya yang sepatutnya lebih prihati dalam hal ini. Masalah disiplin ini bukan masalah baru; sejak zaman dahulu masalah ini telah wujud, cuma bentuk dan modus operandinya yang berbeza.

18 Januari, 2009

Dari Manakah Bekalan Daging Ayam?

Sewaktu bersarapan bersama-sama keluarga pagi tadi, di sebuah warung kecil hati saya tersentak apabila ternampak seorang peniaga Cina menghantar sayur-sayuran, ikan dan daging ayam di kedai makan berhampiran. Dalam hati, saya tertanya-tanya – mengapakah peniaga Melayu itu mendapatkan bekalan ayam daripada orang Cina (bukan Islam)?. Pastikah dia bahawa ayam itu disembelih mengikut syariat Islam? Halalkah ayam itu?
Saya fikir, bukan hanya kedai makan ini yang mendapatkan bekalan ayam daripada orang bukan Islam. Saya yakin, ada juga di kedai-kedai runcit Melayu pun, daging ayam dibekalkan oleh orang bukan Islam. Saya juga pernah nampak di kantin sebuah sekolah, daging ayamnya juga dibekalkan oleh orang bukan Islam. Memang kita nampak ada bekas dipotong pada leher ayam itu, tetapi wajarkah kita yakin akan kesempurnaan penyembelihannya?
Wahai peniaga Islam, berhati-hatilah dan prihatinlah tentang halal dan haram makanan yang dijual. Janganlah bersubahat dan carilah pembekal makanan yang sah halal. Sudah tidak ada lagikah peniaga yang beragama Islam di Malaysia ini?