30 Oktober, 2009

HEBATNYA BAHASAKU....




Selama tiga hari mengikuti Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia, di Persada Johor, Johor Bahru, selain dapat bertemu dengan rakan-rakan lama dan pejuang-pejuang bahasa, pencinta dan pelaksana bahasa Melayu, persidang ini memang amat bermanfaat dan dapat membarakan semangat cinta akan bahasa Melayu. Rupa-rupanya, pengguna bahasa Melayu di dunia ini lebih daripada 300 juta orang.
Banyak perkara menarik dan membanggakan dapat dikutip dalam persidangan ini, antaranya ialah betapa orang asing/orang luar berminat dan mempelajari bahasa Melayu di Negara mereka. Pembentang-pembentang kertas kerja dari negara yang bahasa rasminya bukan bahasa Melayu, misalnya dari Jepun, China, Rusia, Singapura, dan Thailand fasih berbahasa Melayu.
Prof. Wu Zong Yu dari China dalam kertas kerjanya menyatakan “Saya beranggapan bahawa bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang merdu sebutannya, yang sederhana nahunya dan yang halus budayanya. Saya tertarik dengan pantun Melayu, pepatah Melayu dan peribahasa Melayu. Saya betul-betul jatuh cinta akan bahasa Melayu.”
“Bahasa jiwa bangsa.... kita perlu menguasai bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan bangsa asing, tetapi jangan sampai di rumah sendiri pun menggunakan bahasa Inggeris. Terus terang, jangan memandang rendah bahasa ibunda! Bahasa Melayu indah, bahasa Melayu kaya dengan budaya, pantun, peribahasa, perumpamaan, sajak, syair... sedikit pun tidak kalah dibandingkan dengan bahasa Inggeris.”
Prof. Madya dr. Kyoko Funada (Jepun) menyebutkan “Di Jepun juga bahasa Melayu sudah mulai dididik sejaka lebih kuraang 100 tahun yang lalu.... Asas yang bahasa Melayu menjadi bahasa Dunia sudah ada (sejak) beberapa abad yang lalu. Di Jepun ditubuhkanlah sekolah bahasa yang diajari bahasa Melayu pada tahun 1897 dan 1900 di Tokyo. Antara 600 universiti yang ada di Jepun, terdapat lebih 30 universiti yang menyelenggarakan pembelajaran bahasa Indonesia (bahasa Melayu).
Namun begitu, persidangan yang berkaitan dengan bahasa Melayu ini seharusnya disertai dan dimanfaatkan oleh pejuang-pejuang atau pemimpin-pemimpin bangsa Melayu, terutamanya pemimpin politik Melayu yang berjiwa Melayu. Hal ini kerana nasib dan masa depan bahasa Melayu di tanah air kita adalah terletak di tangan mereka.