18 Januari, 2009

Dari Manakah Bekalan Daging Ayam?

Sewaktu bersarapan bersama-sama keluarga pagi tadi, di sebuah warung kecil hati saya tersentak apabila ternampak seorang peniaga Cina menghantar sayur-sayuran, ikan dan daging ayam di kedai makan berhampiran. Dalam hati, saya tertanya-tanya – mengapakah peniaga Melayu itu mendapatkan bekalan ayam daripada orang Cina (bukan Islam)?. Pastikah dia bahawa ayam itu disembelih mengikut syariat Islam? Halalkah ayam itu?
Saya fikir, bukan hanya kedai makan ini yang mendapatkan bekalan ayam daripada orang bukan Islam. Saya yakin, ada juga di kedai-kedai runcit Melayu pun, daging ayam dibekalkan oleh orang bukan Islam. Saya juga pernah nampak di kantin sebuah sekolah, daging ayamnya juga dibekalkan oleh orang bukan Islam. Memang kita nampak ada bekas dipotong pada leher ayam itu, tetapi wajarkah kita yakin akan kesempurnaan penyembelihannya?
Wahai peniaga Islam, berhati-hatilah dan prihatinlah tentang halal dan haram makanan yang dijual. Janganlah bersubahat dan carilah pembekal makanan yang sah halal. Sudah tidak ada lagikah peniaga yang beragama Islam di Malaysia ini?