27 Disember, 2009

Kadang-kadang Serba Salah

Dalam perjalanan pulang dari Alor Setar sambil dipeluk keletihan yang amat sangat, saya pun bermalam di Tanjung Malim, Perak, sebuah pekan akademik yang namanya tercatat dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu. Teringat Pendeta Zaaba dan kawan-kawan yang bertugas di UPSI kini.
Sebelum meneruskan perjalanan pulang, sempat juga bertemu kawan dan bekas pelajar saya di sini. Minum di kafe Kolej Kediaman Ungku Omar sambil memerhati gelagat dan membuat temu ramah ringkas tentang kehidupan mahasiswa kini.
Dapatan ringkas; mahasiswa terpaksa berjimat dan ikat perut kerana masalah kewangan – PTPTN tidak cukup! Terpaksalah meminta bantuan emak ayah. Kalau yang kurang bernasib baik tu, emak ayah pun sengkek juga! Terpaksalah makan nasi lauk telur goreng dan kicap sahaja. Puratanya mereka memerlukan wang belanja RM250 sebulan. Yang mewah tu, mungkin dapat lebih lagi. Walau bagaimanapun, mereka lebih bertuah, lebih senang jika dibandingkan dengan kehidupan pelajar 10 tahun yang lalu.
Sampai di Rembau, kami pun berehat dan iktikaf di masjid. Di sini lain pula pengalaman saya. Saya nampak seorang lelaki berbadan tegap (sihat) berbaring rehat di dalam masjid, mungkin penat dia. Setelah agak lama juga, dia bangun dan mengambil beberapa helai risalah dan membelek-beleknya. Oleh sebab dia lalu tidak jauh dari tempat saya duduk dan wajahnya nampak mesra, saya pun menegurnya. Dia pun memang mesra dan peramah. Kebetulan, menurutnya dia sedaerah dengan saya. Dia pun kenal kawan-kawan saya yang sekampung dengannya. Menurutnya, dia seorang duda berumur 31 tahun, isterinya meninggal dunia sembilan tahun yang lalu akibat barah payu dara. Ketika itu isterinya baru melahirkan anak pertama yang kini dipelihara oleh neneknya di kampung. Hingga kini dia tidak berkahwin lagi; serik kena tipu seorang wanita dua tahun yang lalu. Dia bekerja sebagai mekanik di Hulu Langat dan hari itu terpaksa balik ke Batu Pahat kerana adiknya kemalangan jalan raya awal pagi tadi. Dia kata, dia kehilangan dompet dan telefon bimbit. Duit dah tak ada, sebab itu terpaksa singgah di Rembau. Dia ada kawan di sini, tetapi apabila dia minta tolong, kawannya itu rasa keberatan. Laporan polis sudah dibuat, katanya.
Sewaktu saya meminta diri, dia memberitahu bahawa dia perlukan pertolongan untuk membeli petrol. Saya jadi serba salah. Namun tanpa berfikir panjang dan dengan niat menolong, saya pun berikan RM20 kepadanya. Saya kira, itu sudah cukup untuk sampai ke rumahnya. Dia berjanji untuk membayar balik esok melalui akaun saya (tapi dia tidak pun meminta no. akaun bank saya!).
Berdasarkan cakap-cakap tadi dan air mukanya, tidak nampak bayang-bayang kaki kelentong dia tu…. Tapi, entahlah…. Raut muka tak sama dengan yang tersirat di hati! Tunggu sahajalah. Kadang-kadang serba salah juga; nak tolong atau tak nak tolong? Namun saya tak mengharap apa-apa....

Tiada ulasan: