31 Ogos, 2009

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Begitu mudahnya kalimat itu diucapkan; tetapi sedarkah, insafkah dan dendamkah kita terhadap nasib bangsa yang terjajah selama 446 tahun itu? Kini kita baru merdeka selama 52 tahun, dan dalam kemerdekaan ini, adakah kita benar-benar merdeka – merdeka pemikiran, merdeka jati diri, merdeka jiwa, merdeka bahasa, merdeka ekonomi, merdeka sosial, merdeka pendidikan kita? Biar apapun, yang paling penting ialah kita mesti merdeka pemikiran.
Tidak kira siapa kita; pemimpin utama, pemimpin kanan, pemimpin kiri, mahupun sebagai rakyat jelata – golongan bangsawan ataupun marhaen, dalam mengisi kemerdekaan ini usahlah sekadar mengibarkan jalur gemilang dan melaungkan kalimah keramat itu di pesta-pesta sambutan kemerdekaan.
Gagasan Satu Malaysia memang cukup baik dan ideal, tetapi usaha menerapan nilai kesatuan yang mendalam sampai ke hati sanubari semua rakyat, khususnya generasi muda bukanlah semudah yang difikirkan. Biarpun mereka mempelajari mata pelajaran sejarah dan kenegaraan di sekolah, dan hubungan etnik di IPT, lihatlah hasil dan realitinya.
Intailah penglibatan mereka dalam aktiviti atau program di institusi-institusi pendidikan kita, dan jawablah dengan jujur! Semua pihak mesti bertanggungjawab untuk menyingkirkan prejudis dan tuntutan hak yang mengetepikan fakta sejarah.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-52, semoga kita kekal merdeka jiwa dan raga.

29 Ogos, 2009

Berfikir Positif dan Kreatif

mMarilah kita sama-sama renungkan petikan buku yang berikut, dan kita mula berusaha untuk berfikiran positif agar kehidupan kita lebih indah, seronok dan bermakna, dan mungkin kita akan lebih panjang umur!
“Sesungguhnya Allah yang maha agung mencipta alam semesta ini dengan begitu rapi, sempurna, teratur dan indah. Dengan kurniaannya itu, kehidupan ini menjadi indah dan penuh warna. Tetapi, mengapa kita masih sering bertemu dengan orang yang berasa kehidupan ini penuh kesukaran, kesulitan dan masalah sehingga dunia ini terasa begitu sempit dan menghimpit tiada lagi dapat merasakan keindahannya?
Ternyata memuncaknya kesukaran daripada sesuatu masalah yang menimpa seseorang itu sering kali disebabkan kita tidak mampu berfikir positif. Orang yang tidak mampu berfikir positif biasanya cenderung memandang segala sesuatu dengan penuh syak wasangka dan sengaja mereka-reka segala apa yang belum terjadi. Malangnya, rekaan-rekaan itu tidak pernah berupa yang menyenangkan. Sebaliknya, apa yang mereka bayangkan adalah perkara-perkara yang sukar dan menyusahkan.
Akibatnya, hati dan perasaan tidak pernah tenteram. Belum apa-apa, mereka sudah berasa resah, gundah, gelisah, mudah curiga dan tegang…. Pendek kata, kehidupan ini jauh daripada keindahan dan ketenangan. Kehidupan yang pada hakikatnya penuh dengan keindahan ini menjadi tidak lagi indah kerana salah memasang hati dan fikiran.
Pada hakikatnya, kebahagiaan yang kita cari-cari itu bergantung pada sikap kita sendiri….”

(Dipetik daripada buku Setengah Berisi, Setengah Kosong? Karya Parlindungan Marpaung. Terima kasih kepada yang meminjamkan buku ini kepada saya.)

22 Ogos, 2009

SELAMAT BERPUASA

Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya dan keluarga ingin mengucapkan SELAMAT BERPUASA kepada semua yang berpuasa, khususnya pengunjung laman ini. Berpuasalah dengan penuh iman dan takwa kerana belum pasti sama ada kita masih berpeluang berpuasa lagi atau tidak pada tahun akan datang. Ambillah peluang dalam bulan ramadan ini untuk membaca al-Quran, bertarawih dan bersolat subuh (bagi mereka yang selama ini gemar bangun lewat – kegemaran yang boleh mengundang penyakit dan kemiskinan).
Jika anda tidak mampu berpuasa kerana masalah gastrik, pergilah berubat! Jangan jadikan itu semua sebagai alasan. Mana ada penyakit yang tiada ubatnya? Jika letih sangat atau sampai tidak bermaya, pergilah jumpa perunding makanan / kesihatan. Jumpa saya pun boleh, insya-Allah saya akan membantu anda!
Apabila tiba bulan puasa begini, teringat waktu budak-budak dulu. Sehari sebelum puasa macam ada pesta; mandi beramai-ramai adik-beradik – mandi air kolam; mandi bersih-bersih; gosok gigi – ubat giginya arang! Lucu dan seronok juga; entah apa tujuan dan falsafahnya. Masa berbuka pula, makan beramai-ramai; berlampukan pelita minyak tanah. Air kelapa tak pernah tertinggal, bubur “cerandil’ sedap sangat! Mungkin budak-budak sekarang tak merasa bubur cerandil (bubur tepung gandum gentel-gentel je). Begitulah kehidupan orang miskin waktu itu. Nostalgia semua itu! Dan manisnya kenangan….

21 Ogos, 2009

Menelusuri Kedewasaan

motivasiHari ini, hari bersejarah dalam kehidupan saya. Terima kasih kepada sesiapa yang menghantar ucapan dan doa; ada yang seawal 12.01 pagi dan selewat malam keesokannya. Meskipun sekadar SMS, tetapi amat besar makna dan penghargaannya – bagi saya.
Dalam langkah menelusuri kedewasaan ini, kadang-kadang teringat juga bahawa waktu-waktu dahulu – alangkah berbezanya saya kini! Alangkah hilangnya diri sendiri kini; meninggalkan diri sendiri yang dahulu, yang kian seolah-olah ketiada waktu untuk menjadi diri sendiri; teringat zaman muda yang sentiasa ada lebihan waktu untuk berimaginasi, mencipta, dan berkarya.
Hari ini juga, seorang sarjana dengan nama Taruna Aduka dari Bandar Baru Bangi, mengirimi saya sebuah bukunya Rahsia Panjang Umur dan Kekal Muda. Dalam buku ini, Dr. Burhanuddin al-Helmy menyatakan bahawa muda ibarat bunga yang kembang manakala tua diibaratkan sebagai bunga mala semakin layu. Mengekalkan muda adalah umpama mengekalkan bunga mekar yang kembang sebagaimana kita lihat pada gubahan-gubahan bunga dalam jambangan. Maksud muda yang diidam-idamkan itu ialah selalu muda pada rupa paras, gaya, tenaga, dan rasa. Biarlah masa itu datang dan biarlah usia semakin bertambah tetapi diikhtiarkan supaya ia dapat selalu berupaya, bergaya, bertenaga, dan berasa di luar mahupun di dalam yang dirinya masih muda.
Satu rumusan yang saya peroleh daripada buku ini, usia kehidupan kita ini akan lebih bermakna dan terasa seolah-olah hidup beratus-ratus tahun jika kita dapat memanfaatkan masa yang kita ada, membuat kebajikan dan ada makna bagi generasi yang kita tinggalkan; sesuai dengan peribahasa harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Justeru, saya sentiasa berusaha untuk menyumbangkan masa, tenaga, dan idea saya untuk manfaat sejagat biarpun dengannya masa dan tenaga saya kian menguncup. Namun saya dapat mengutip kepuasan dan kian memahami erti kehidupan kini.
Foto: Sewaktu usia remaja. Macam hensem pulak ye... hehhehe

19 Ogos, 2009

Bertuahnya Orang Felda

Sekali lagi hari ini, saya ke Felda Selanchar 2, Rompin Pahang. Masuk ke felda-felda bukanlah asing lagi bagi saya. Pelbagai program diatur dan dilaksanakan oleh pihak felda di mana-mana jua untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan ekonomi mereka. Seperti biasa, saya akan diamanahkan untuk menyampaikan motivasi kepada ibu bapa dan pelajar di sini. Program terancangan begini nampaknya membuahkan hasil yang amat baik, misalnya felda ini berjaya melahirkan banyak anak peneroka yang berjaya dalam akademik dan kerjaya. Khabarnya, sekolah di Felda Selancar juga antara sekolah yang berbaik di Pahang, terutamanya dari segi keputusan UPSR-nya. “Alangkah bertuahnya orang felda!” Begitulah yang terdetik di minda saya setiap kali masuk ke kawasan felda.
Peneroka felda dan anak-anak mereka memang menjadi anak emas kerajaan, terlalu banyak kemudahan dan keistimewaan disediakan untuk mereka. Kerajaan sentiasa ingat akan nasib generasi kedua felda. Khabarnya, universiti felda pun akan didirikan!
Itu cerita dan nasib bertuahnya peneroka felda; tetapi bagaimanakan nasib dan keadaan orang yang tinggal di kampung-kampung, terutamanya di kampung tradisional? Siapakah yang mengatur dan menguruskan program-program untuk meningkatkan kualiti pendidikan, sosial dan ekonomi mereka? Pernah juga saya terbabit dalam program seperti itu, tetapi kebanyakannya diuruskan oleh pihak sekolah. Ke manakah perginya fungsi penghulu dan ketua kampung dalam hal pendidikan? Atau perlukah ada pegawai-pegawai khas untuk menguruskan mereka sebagaimana yang ada di felda?
Saya cadangkan agar diwujudkan “pegawai pembangunan masyarakat” di kampung-kampung agar kehidupan mereka lebih beratur dan bermakna; kualiti pendidikan, sosial, agama, dan ekonomi mereka dapat ditingkatkan. Audit pembangunan dan penambahbaikan struktur dan gaya pentadbiran perlu dilaksanakan oleh kementerian atau pihak yang berkenaan.
Janganlah hanya mengharapkan peranan ketua kampung (yang kebanyakannya untuk kepentingan pihak tertentu), imam-imam masjid, JKKK yang kebanyakannya menjalankan tugas secara sukarela dan tidak profesional. Usahlah dibiarkan orang kampung yang akhirnya nanti menjadi rakyat kelas kedua; kasihannya mereka yang kini masih menyokong kerajaan yang memerintah.
Imej: Program Gerak Gempur Pendidikan, Felda Selanchar 2: 2007