09 Disember, 2009

PERIHAL SEWA PREMIS

Dua tahun lalu, bagi pihak anak saya, saya menguruskan dan menandatangani perjanjian sewa premis kedai. Tiga minggu lalu, tangkai air di premis itu rosak teruk dan langsung tidak boleh digunakan dan saluran najis tingkat atas yang melalui bilik air premis itu bocor sedikit dan menitiskan air kotor. Justeru, saya menghubungi pemilik premis melalui sms untuk bertanya – apa yang seharusnya saya lakukan. Namun tiada apa-apa respons.
Mengikut kebiasaan dan lojik akal saya, pemilik premis bertanggungjawab untuk menyelenggara dan membaiki apa-apa kerosakan. Jadi, saya pun menghubungi kontraktor untuk menyelesaikan masalah di atas.
Pagi tadi, saya menerima sms daripada pemilik “tuan, bayaran sewa perlu dijelaskan sebelum 7 hb. Bayaran perlu dibuat dengan melalui akaun MBB xxxxx hari ini”.
Saya pun balas “Salam. Apa hal dengan tangki air yang rosak tak boleh guna dan salur tandas tingkat atas yang bocor itu? Saya sudah suruh orang buat kerja.”
Pemilik yang juga seorang pegawai kanan kerajaan, berpendidikan tinggi dan berjanggut agak-agak panjang sejengkal itu menjawab “Kos tuan tanggung sendiri sebagaimana persetujuan masa nak sewa (dahulu). Tapi kalau tuan tak setuju kita boleh tamatkan sewaan segera.”
Saya amat terkejut dengan jawapan itu; rasa marah, pelik dan sedih tiba-tiba berbaur dalam acuan jiwa saya. Emosi saya benar-benar terganggu. Lantas saya pun membalasnya “Takkan tangki air rosak dan salur tandas tingkat atas bocor pun saya kena buat? Saya dah banyak bertolak ansur dengan hal kedai itu.” Untuk makluman anda, sebelum saya menyewa, premis itu kosong tiada penyewa – maklumlah premis milik Melayu di Bandar yang sedang membangun! Saya menyewa premis itu atas dasar sama-sama Melayu dan ada sedikit niat untuk membantunya walaupun saya terpaksa menyediakan bekalan elektrik dan air sendiri dan menjelaskan cukai pintu yang tertunggak lebih daripada rm2K. Pada masa itu, pintu (grill) besi premis itu pun bermasalah dan saya tolong betulkan.
Tidak lama kemudian dia membalas sms saya, “tak apa nanti saya keluarkan notis sebagaimana yang diperlukan”.
Tambah berderau darah saya. Premis milik dia, saya hanya menyewa. Dia berhak menghalau saya dan buat apa-apa sahaja. Rasa sedih kian bergumpal di jiwa saya. Lalu saya pun menjawab “Tak apalah. Kalau tuan fikir itu yang terbaik dan boleh membahagiakan tuan, saya akan bayar sewa hari ini. Bagi saya resit bayaran sewa yang saya bayar selama ini. Tq dan maaf”
Saya pun mengadukan hal ini kepada seorang teman. Semua sms dia dan saya tadi saya “foward” kepada teman saya itu. Saya meminta komen tentang keputusan dan bahasa yang saya gunakan. Saya katakan kepadanya (untuk luahkan marah dan tak puas hati) “manusia tak mengenang budi, masa susah kita tolong dia....”
Jawab teman saya , “orang kalau dah terdesak, lupa semuanya.”
Alhamdulillah, saya berjaya memujuk hati sendiri. Saya akui kesilapan saya, lewat dua hari bayar sewa dan mungkin saya lupa isi perjanjian. Mungkin dia ada kewangan, mungkin dia ada masalah kewangan. Mungkin juga dia tersilap. Namun, saya yakin bahawa saya berada di pihak yang benar. Saya cuba mengelakkan diri daripada tercetusnya konflik dan pertentangan dengan sesiapa, apatah lagi dengan dia yang saya kenal dan kerap juga terjumpa. Saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa. Saya mahu kehidupan yang singkat ini semuanya indah dan menyeronokkan. Justeru, saya berusaha mengikhlaskan diri dan di sudut hati berdoa agar Allah s.w.t akan meredai dan memberkati kehidupan saya dan mempermudah rezeki keluarga saya, dan sesiapa jua yang bersama-sama saya, terutamanya RAKAN-RAKAN PROMINEX saya (www.prominex.blogspot.com )
Berbalik pada hal di atas, petang tadi saya memasukkan RM500 kepada pemilik premis sebagaimana yang saya janjikan. Saya menghantar sms kepadanya “duit sewa RM500 dah bank in. Sila bagi saya resit. Semoga tuan dimurahkan rezeki, mendapat keberkatan dan hidayah.”
Senyap. Saya terus ke pejabat untuk menyemak dokumen perjanjian. Berulang kali saya baca – tempoh sewaan sehingga Disember 2010. Lega hati saya. Tercatat pada Perkara 10 (Tanggungjawab Pemilik): Pemilik bertanggungjawab menyelenggara/membaik pulih kerosakan/kemusnahan struktur bangunan, bekalan elektrik dan air yang disebabkan bukan kecuaian penyewa.
Lantas saya pun menghantar sms kepada pemilik premis “Berkaitan dengan masalah kerosakan tangki air dan saluran tandas, saya mohon kelapangan tuan untuk menyemak Perkara 10 dalam perjanjian sewa premis yang bertarikh 1 Disember 2007. Harap maklum.”
Apa komen anda?

Tiada ulasan: