23 Mei, 2009

Perihal Wang Hibah

Petang tadi saya menghadiri taklimat tentang “hibah”, iaitu tentang duit hibah, kata mereka. Saya pun tak berapa faham konsep dan prinsip hibah yang dihebah-hebahkan oleh sesetengah pihak sehingga masyarakat sangat berminat dan berpusu-pusu memenuhi dewan sebesar itu. Maklumlah…. Siapa yang tak berminat kalau ada pihak yang mahu memberikan wang percuma! Makan ringan dan minum disediakan pula! Seminggu sebelum itu, saya terdengar ada orang berkata, “minggu depan ada jutawan nak datang bawa duit berjuta-juta ringgit!”
Orang penuh sesak di dalam dewan, masing-masing ingin mengetahui dari mana datangnya duit hibah yang dimaksudkan itu. Dalam pada itu, masing-masing memegang borang permohonan untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada duit hibah. Daripada ramai-ramai itu, saya nampak hanya ada enam orang Cina yang datang.
Saya perhatikan, barisan penganjur yang duduk di meja depan terdiri daripada penghulu, ketua kampung, imam dan jawatankuasa masjid. Mereka semua membawa imej yang baik dan meyakinkan para hadirin.
Apakah yang dimaksudkan “hibah” yang sebenarnya? Betulkah “hibah” itu wujud atau hanya mainan strategi pihak-pihak yang bijaksana …. Saya tertarik dengan jawapan seorang kenalan pada hari itu “bahagi harta rampasan perang!” jawabnya apabila saya bertanya “ada apa ni?”. Walaupun dalam nada gurau, ada munasabahnya! Sebenarnya saya pernah mendengar perihal “hibah” ini sejak tiga tahun yang lalu. Kalau ikutkan ceritanya, memang menarik dan boleh diyakini. Justeru ada juga yang “melabur” ribuan ringgit kerana khabarnya ada pulangan yang sangat besar.
Kalau ada sesiapa yang tahu tentang “hibah” ini, silalah jelaskan agar tidak menjadi kabur dan mengelirukan. Walau bagaimanapun, saya masih ingat kata-kata penceramah pada petang itu (seorang haji), beliau berkata, “ada tiga perkara yang perlu dilakukan supaya kita dipermudahkan rezeki, iaitu berkasih sayang, bersedekah dan membaca surah Yassin setiap hari.” Kata beliau lagi, setakat ini beliau sudah menerima lebih 80,000 permohonan bantuan daripada duit hibah ini.

1 ulasan:

ziharusan berkata...

Setahu saya, "hibah" itu maksudnya hadiah.
Dalam faraid, hibah itu maksudnya seseorang menghadiahkan hartanya kepada sesiapa yang dia mahu sama ada Islam atau bukan Islam, atau saudaranya atau bukan saudaranya dengan syarat tidak lebih daripada 1/3 hartanya (mengikut fahaman saya masa darjah khas Negeri Johor dulu).