30 Mei, 2009

Mereka Lebih Suka Petua....


Pagi tadi saya diberi peluang untuk menyampaikan ceramah motivasi dan panduan keibubapaan sempena Program Intergrasi Orang Asli KEMAS Daerah Segamat di sebuah perkampungan orang Asal, di Kampung Putting, Segamat. Setibanya di kampung ini, perasaan dan semangat saya untuk menyampaikan ceramah mula menurun kerana perkampungan orang Asal ini, walaupun rumah mereka sudah moden, begitu juga dengan kehidupan mereka, namun dari segi cara hidup masih menampakkan suatu identiti terkebelakang – anjing berkeliaran dan tanah agak lecak. Dek anjing yang berkeliaran, pembantu-pembantu saya takut hendak keluar dari kereta!
Namun setelah masuk ke balai (kanopi) tempat program berlangsung, saya mula bersemangat apabila saya perhatikan bahawa lebih 90% peserta terdiri daripada orang Melayu; penyelia KEMAS, guru-guru tadika KEMAS dan penduduk di sekitar kampung tersebut.
Dengan bantuan multimedia, saya mencuba menyampaikan isi ceramah sebaik mungkin dan mengutarakan sesuatu yang saya fikir baru bagi mereka. Saya cuba menggabungkan antara ilmu psikologi, biologi, agama, dan budaya dalam usaha membantu peserta mendidik dan melahirkan generasi (anak-anak) yang berguna dan kenal akan ibu bapa mereka. Rupa-rupanya mereka suka akan petua berbanding ilmu-ilmu moden kini yang sering diketengahkan oleh penceramah/motivator terkenal.
Respons daripada peserta memang cukup membanggakan, dan saya yakin ceramah saya hati ini berkesan kerana ada peserta meminta saya meneruskan ceramah walaupun masa sudah habis. Sewaktu hendak beredar beberapa peserta menemui saya dan meminta saya menyampaikan ceramah di tempat mereka, di samping beberapa peserta yang mengadu hal tentang anak-anak masing-masing.
Begitulah… suatu kepuasan yang tidak terhingga. Terima kasih kepada anda yang membantu saya dan memberikan saya sinergi pada hari ini.

23 Mei, 2009

Perihal Wang Hibah

Petang tadi saya menghadiri taklimat tentang “hibah”, iaitu tentang duit hibah, kata mereka. Saya pun tak berapa faham konsep dan prinsip hibah yang dihebah-hebahkan oleh sesetengah pihak sehingga masyarakat sangat berminat dan berpusu-pusu memenuhi dewan sebesar itu. Maklumlah…. Siapa yang tak berminat kalau ada pihak yang mahu memberikan wang percuma! Makan ringan dan minum disediakan pula! Seminggu sebelum itu, saya terdengar ada orang berkata, “minggu depan ada jutawan nak datang bawa duit berjuta-juta ringgit!”
Orang penuh sesak di dalam dewan, masing-masing ingin mengetahui dari mana datangnya duit hibah yang dimaksudkan itu. Dalam pada itu, masing-masing memegang borang permohonan untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada duit hibah. Daripada ramai-ramai itu, saya nampak hanya ada enam orang Cina yang datang.
Saya perhatikan, barisan penganjur yang duduk di meja depan terdiri daripada penghulu, ketua kampung, imam dan jawatankuasa masjid. Mereka semua membawa imej yang baik dan meyakinkan para hadirin.
Apakah yang dimaksudkan “hibah” yang sebenarnya? Betulkah “hibah” itu wujud atau hanya mainan strategi pihak-pihak yang bijaksana …. Saya tertarik dengan jawapan seorang kenalan pada hari itu “bahagi harta rampasan perang!” jawabnya apabila saya bertanya “ada apa ni?”. Walaupun dalam nada gurau, ada munasabahnya! Sebenarnya saya pernah mendengar perihal “hibah” ini sejak tiga tahun yang lalu. Kalau ikutkan ceritanya, memang menarik dan boleh diyakini. Justeru ada juga yang “melabur” ribuan ringgit kerana khabarnya ada pulangan yang sangat besar.
Kalau ada sesiapa yang tahu tentang “hibah” ini, silalah jelaskan agar tidak menjadi kabur dan mengelirukan. Walau bagaimanapun, saya masih ingat kata-kata penceramah pada petang itu (seorang haji), beliau berkata, “ada tiga perkara yang perlu dilakukan supaya kita dipermudahkan rezeki, iaitu berkasih sayang, bersedekah dan membaca surah Yassin setiap hari.” Kata beliau lagi, setakat ini beliau sudah menerima lebih 80,000 permohonan bantuan daripada duit hibah ini.