28 Disember, 2008

Selamat Tinggal 1429H dan 2008M


Setahun telah berlalu, terasa begitu pantasnya waktu ini beredar. Tahun ini merupakan antara tahun yang amat mencabar dalam kehidupan saya sejak sepuluh tahun ini. Pelbagai suka duka, gembira, derita, hampa dan kecewa singgah dalam kehidupan saya. Pengalaman baru yang tidak pernah saya idamkan ialah saya dimasukkan ke dalam wad sebagai pesakit.
Namun, semua itu menjadikan saya lebih matang dan mengenali kehidupan hakiki sebagai manusia di dunia yang sementara cuma ini. Pelbagai pengalaman yang saya lewati sepanjang tahun ini juga mendedahkan saya kepada fitrah manusia yang sesungguhnya hanya mampu merancang dan mengharapkan sesuatu itu menjadi milik kita.
Terima kasih kepada semua pihak dan saya sangat-sangat memohon maaf atas kesilapan, kesalahan dan dosa-dosa saya. Harapan saya semoga tiada dendam di hati. Selamat menyambut tahun baru dan insya-Allah kita bersua lagi.






20 Disember, 2008

Mengapa Mesti Diswastakan?


Cadangan kerajaan hendak menswastakan Institut Jantung Negara (IJN) sememangnya mengundang pelbagai reaksi, dan saya yakin kebanyakan rakyat Malaysia, terutama golongan marhaen akan membantahnya walaupun dalam diam. Hal ini kerana apa-apa juga alasan dan motif, rakyat biasa yang menanggung kenaikan kos dan risiokonya.
Apa sebenarnya mitof dan alasan kerajaan? Kalau untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, kenapa semestinya diswastakan? Sudah teruk benarkan sistem pengurusan dan pentadbiran kerajaan kita? Saya fikir tidaklah begitu!
Untuk meningkatkan keuntungan? Keuntungan untuk siapa pula? Saya fikir, lebih baiklah kerajaan bebincang, berfikir dan berusaha dalam hal yang lain selain daripada kecenderungan menswastakan perkhidmatan seperti ini. Ini soal kebajikan dan keperluan rakyat. Janganlah nanti sampai kita menafikan hak rakyat miskin.
Berdasarkan pengalaman saya menerima rawatan di hospital kerajaan dan swasta, memang cukup menguja saya untuk menulis dalam ruang ini. Saya terasa benar betapa susahnya orang kampung, orang yang kurang berada, apatah lagi orang miskin untuk mendapatkan rawatan doktor pakar ataupun rawatan segera untuk menyelamatkan nyawa; segala-galanya mahal! Bukan itu sahaja, seorang doktor kerajaan memberitahu saya bahawa ubat untuk penyakit saya tidak ada di hospital kerajaan! Justeru saya teringat kata-kata seorang doktor kepada saya, “sekarang ini orang yang ada duit sahaja yang boleh umur panjang!”.
Berbalik kepada isu IJN tadi, tak usah ditangguhkanlah cadangan itu, BATALKAN sahaja! Berbincanglah, berfikirlah dan buatlah benda lain yang lebih bermanfaat kepada rakyat yang masih menyokong dan menjunjung kerajaan ini. Cukuplah, jangan sakiti dan kecewakan lagi hati rakyat! (Alhamdulillah…. Hasil ujian darah, saya sudah bebas daripada virus itu sekarang! Terima kasih kepada sesiapa juga yang membantu saya, memberi sokongan moral, memberi kasih dan sayang, memberi cadangan, bertanya khabar, dan bersimpati kepada saya. Semoga Allah merahmati kehidupan anda!)

06 Disember, 2008

Bahasaku dan Papan Tanda

Sepanjang perjalanan 550 km hari ini dan melewati empat buah negeri, tiba-tiba minda saya teruja oleh beberapa papan tanda di tepi jalan yang lain daripada biasa. Saya tertarik dan tiba-tiba berasa gembira setelah sekian lama kurang gembira tentang penggunaan bahasa Melayu di papan tanda di negara kita. Apa yang lain itu? Biasanya kita melihat papan tanda KURANGKAN LAJU tetapi ada beberapa papan tanda baru di Pahang bertulis KURANGKAN KELAJUAN. Nampaknya orang Pahang lebih prihatin tentang kepersisan berbahasa, walaupun masih terdapat beberapa perkataan yang kurang tepat, misalnya MERBAHAYA seharusnya BERBAHAYA atau BAHAYA. Tahniah pihak berkuasa di Pahang! Kalau bukan kita yang berbangga dan memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu, siapa lagi? Pihak berkuasa tempatan dan sesiapa juga yang cinta akan bahasa atau mempunyai masalah/kemusykilan tentang bahasa Melayu, bolehlah berhubung dengan DBP atau Munsyi Dewan yang berhampiran. Bahasa jiwa bangsa, tanpa bahasa Melayu wujudkah lagi bangsa Melayu?

04 Disember, 2008

Peranan Ibu Bapa

Hari ini saya berkunjung ke Felda Selanchar, Rompin, Pahang untuk membuat kajian ringkas tentang Prominex dan pengaruh keluarga dalam pencapaian akademik anak-anak. Saya dapati ibu bapa dan budaya keluarga memang memainkan peranan yang besar terhadap akademik anak-anak. Ibu bapa yang prihatin terhadap pelajaran dan sentiasa berdoa, anak-anak mereka lebih berjaya dan kurang terlibat dalam masalah sosial. Seorang bapa yang saya temui menyatakan bahawa anak-anaknya tiada masalah dalam pelajaran. Yang terbaru, anaknya graduan UUM, sebaik sahaja tamat pengajian terus mendapat pekerjaan dalam sektor awam. Katanya, dia memang berniat (nazar) sekiranya anaknya mendapat pekerjaan, dia akan membuat kenduri di masjid. Katanya lagi, kalau kita ingin sesuatu yang baik, kita perlulah berniat dan berdoa untuk kebaikan itu. Keluarga yang saya temui juga sentiasa menjaga makanan dan mengambil makanan tambahan untuk minda bagi anak-anak mereka. Kesemua keluarga yang saya temui memberikan Prominex kepada anak-anak mereka. Mereka juga sentiasa hadir dalam program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan masyarakat.

30 November, 2008

Pesta Air dan Masalah Bekalan Air

1. Bagi penduduk di Kelantan dan Terengganu bagaikan pesta air;
mereka sudah biasa dengan keadaan begini. Sepanjang beberapa
hari di sini, saya amat rindu sinaran mentari. Hujan renyai-renyai dan kadang-kadang lebat, terutama pada waktu malam. Meredah air yang melimpah ke jalan raya merupakan suatu hal yang biasa di sini. Orang dewasa dan orang tua kelihatan seperti biasa, masih ramai yang duduk “bermesyuarat” di kedai-kedai kopi, manakala kanak-kanak riang ria menyambut “pesta air” berhampiran dengan rumah mereka. Yang paling saya bimbang tentang keselamatan kanak-kanak; ada juga yang baru berusia kira-kira empat tahun yang
turut bermain air. Bebarapa kali saya cemas apabila terpaksa
mengharungi air yang melimpah di jalan raya.

2. Sewaktu cuba menguruskan masalah bekalan air paip di rumah mentua saya (Kg. Nangka/Kg. Chap), kereta saya mengalami kerosakan brek di Bandar Raya Islam, Kota Bharu. Sewaktu cuba berurusan tentang bekalan air paip di sini, saya mengalami kerumitan sedikit kerana apabila saya berjumpa dengan kakitangan Syarikat Air Kelantan (SAK), Jajahan Bachok, dia kata, hal ini kena
berurusan dengan kontraktor yang berkenaan kerana projek ini di
bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar; dia tak boleh campur tangan. Dia kata, borang permohonan belum diserahkan kepada (SAK). Dia kata, ini projek subsidi dan percuma; tetapi saya difahami oleh penduduk di kampung berkenaan, kontraktor meminta bayaran RM200 untuk setiap permohonan. Akhirnya, saya pun tak faham dan pelbagai tanda tanya menyerang otak saya. Kepada sesiapa yang berkenaan, buatlah kerja dan urusan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Kasihanilah orang kampung yang terpaksa mandi dan makan minum menggunakan air telaga yang kotor itu. Mereka juga pembayar cukai dan rakyat Malaysia yang sah dan menyerahkan amanah kepada kerajaan sejak merdeka lebih 50 tahun yang lalu.

29 November, 2008

Meredah Banjir di Pantai Timur


Dalam perjalanan ke Serambi Mekah siang tadi, sebaik sahaja masuk ke negeri Terengganu, hujan gerimis menyambut kami. Banyak kawasan di sepanjang perjalanan kelihatan sudah dinaiki air. Paras air sungai pun sudah tinggi, malah ada yang sudah melimpah dan menenggelami kawasan sekitar. Apabila musim hujan begini, masalah yang dialami oleh pengguna jalan raya ialah jalan rosak dan berlubang-lubang. Bahaya dan sungguh menyakitkan hati dan menyakitkan kereta juga. Tayar kereta saya pun termasuk ke dalam lubang besar tadi; sakitnya hati... geramnya! kenapalah mutu jalan raya kita serendah itu? Nampak sangat betapa nipisnya lapisan tar di jalan raya kita.
Sesampainya kami di simpang tiga selepas Kuala Berang, ada papan tanda amaran banjir dan jalan di Kuala Ping ditutup. Kami terpaksa mengikut jalan alternatif yang ditunjukkan oleh papan tanda; lalu jalan kampung. Satu lagi masalah saya temui, iaitu tiada penunjuk arah (papan tanda) di simpang-simpang tertentu. Sampai di Pasir Puteh, hari dah gelap. Tiada pancang di tepi jalan, tiada papan tanda, macam tak pernah banjir. Bahayanya pada waktu malam, meredah air. Lampu tepi jalan pun tak ada. Barangkali inilah yang dikatakan pesta air!


27 November, 2008

PPSMI: Kembalilah Ke Pangkal Jalan

Akhbar perdana hari ini memuatkan tulisan tentang pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Persoalan ini tidak akan selesai selagi pemimpin negara tidak benar-benar berjiwa Melayu dan memperjuangkan bangsa dan bahasa ibunda sendiri. Persoalan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa komunikasi tidak seharusnya dipertikaikan lagi. Apa pun bukti dan hujah yang kita kemukakan tiada maknanya selagi minda dan cara berfkir mereka yang ada kuasa tidak selari dengan pejuang-pejuang bangsa dan bahasa kita.
Saya pernah mengajarkan sains dan matematik lebih daripada sepuluh tahun, dan akhirnya saya memilih untuk tidak mengajar subjek itu lagi dan rela tidak mendapat elaun khas PPSMI kerana saya berjiwa Melayu dan saya yakin, matlamat dasar tersebut untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar adalah tidak tepat dan akhirnya tidak berjaya, sebaliknya akan menambah beban kepada murid dan guru untuk mempelajari ilmu sains dan matematik.
Mengapa tidak diubah dasar dan kaedah pengajaran bahasa Inggeris? Mengapakah tidak difikirkan cara pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris yang lebih praktikal dan berkesan? Saya cadangkan para pegawai atasan, menteri, wakil rakyat, dan sesiapa juga yang berminat dan berkaitan dengan pendidikan; turunlan dan pergilah ke sekolah-sekolah secara tidak rasmi (diam-diam); tengoklah dan perhatikanlah dengan mata telinga sendiri apa sebenarnya yang telah berlaku dalam pelaksanaan PPSMI ini. Berapa banyakkah wang rakyat yang membazir untuk ini? Berapa ramaikan guru yang mengajar sains dan matematik menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya? Berapa ramaikan calon UPSR, PMR dan SPM yang menjawab soalan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris? Tanyalah sendiri guru-guru melayu dan murid-murid yang menjadi mangsa dasar ini. Ikhlas dan jujurlah apabila memeperkatakan tentang kebenaran. Saya sering mendengar guru-guru Cina mengajar (di luar kelas) pelajar-pelajar Cina menggunakan bahasa Cina. Mengapakah mereka tidak menggunakan bahasa Inggeris? Beberapa minggu yang lepas, saya mendengar seorang guru mengajarkan Matematik (dalam kelas tambahan) selama beberapa jam tanpa sepatah pun menggunakan bahasa Inggeris. Mengapa jadi begitu? Jawapannya; jika menggunakan bahasa Inggeris murid-murid tidak faham! Lagipun, soalan dan jawapan boleh menggunakan bahasa Melayu!
Wahai ahli-ahli politik, Perdana Menteri dan menteri-menteri Melayu; gunakanlah kuasa anda untuk memperjuangkan dan memartabatkan bangsa dan bahasa Melayu; percayalah anda akan dilabel sebagai pengkhianat bangsa dan bahasa sendiri. Kembalilah ke pangkal jalan, akuilah kesilapan!

26 November, 2008

Mereka Hanya Nampak Keburukan

Semalam saya menerima mesej (sms) yang maksudnya begini Beginilah rupa-rupanya apabila hidup dibenci orang. Apabila perlu sahaja orang akan mencari kita… hal-hal yang lain orang dah tak percaya dan tak perlukan kita lagi…. Saya balas Memang begitulah hakikat manusia. Sudah lama saya tahu dan saya rasa. Bersabarlah dan redalah dengan kehidupan yang singkat ini. Berdoalah agar Tuhan memberi petunjuk kepada mereka. Petang tadi, lama juga dia melanjutkan ceritanya dan mencurahkan rasa sedih dan kecewa yang bersarang di kalbunya lantaran barang kesayangannya yang dipinjam oleh seseorang tidak dijagai dan rosak kesudahannya. Sesudah rosak, peminjam berdiam diri, seolah-olah tidak menghargai barang itu, apatah lagi penghargaan terhadap dirinya.
Orang tidak pernah nampak kebaikan kita, mereka hanya nampak keburukan sahaja.”
Saya faham. Saya dapat merasakan bagaimana kelukaan, kesedihan dan kekecewaan awak. Nasib awak sama seperti saya, dan saya fikir hanya awak yang nampak kebaikan saya walaupun sedikit cuma,” balas saya.
Selepas itu saya cuba mengusiknya dengan sedikit gurauan. Tetapi dibalasnya dengan nada serius dan seperti marah.
Saya bergurau pun awak marah?”
“Hanya awak sahaja yang boleh saya marah….” jawabnya dengan nada yang semakin riang.
“Semua orang tidak memahami perasaan saya sedangkan selama ini saya sentiasa mengalah dan mengutamakan mereka dalam semua hal….”

22 November, 2008

Ayah Pergi Selama-lamanya


Telah tiba detik ketentuan Illahi
pada penghujung senja ini
di teratak kelahiran kami
ayah kembali menemui penciptanya
dia pergi buat selama-lamanya

Biar macamana sekalipun
dia tetap ayah kita dan Tuhan yang menentukan begitu
dan sekali gus kita menjadi manusia
dengan Islam agama kita;

maka bersyukurlah dan redalah kita

Masih terasa denyut nadi terakhir
masih terbayang tubuh kurus terbujur kaku
masih kedengaran keluh resah penghujung usia
masih terngiang tegur nasihat
yang kekadang menusuk jiwa;
bersuakah lagi kita dengannya?


Ayah, kami reda pemergian
dan kami doakan perjalananmu
agar kau menemui-Nya dengan senyuman

21 November, 2008

Menatap Wajah Ayahanda Pada Penghujung Usia

Beberapa hari ini giliran kami berkumpul di kampung menjaga ayahanda yang sakit tenat. Sudah tiga hari dia tidak makan; minumnya hanya sesudu Cuma. Itu pun kami beri jika kami fikirkan dia dahaga. Dulu tubuhnya yang tegap sasa kini tinggal tulang dan kulit sahaja. Umurnya lebih 80 tahun. Menjaga orang tua yang sakit ini memang memerlukan kesabaran dan pengorbanan. Saya fikir inilah masanya saya berbakti untuk seorang ayah pada penghujung kehidupannya. Dulu sewaktu arwah bonda meniti hujung usinya, saya terpaksa berulang-alik 100km dari kampung ke tempat kerja setiap hari selama beberapa bulan. Namun pengorbanan itu sangat tidak setimpal dengan pengorbanannya untuk membesarkan dan menghidupkan saya. Rasanya belum puas saya berbakti dan membahagiakan bonda tersayang. Pengalaman ini menjadikan saya insaf dan sering menasihati sesiapa juga agar berbaktilah sebanyak mungkin kepada ibu bapa dan kunjungilah mereka sementara mereka masih hidup. Percayalah, anda tidak akan tahu nilai dan makna kasih sayang selagi anda belum kehilangan orang yang menyayangi anda.

18 November, 2008

Seronoknya Dunia Kanak-Kanak

Alangkah seronoknya dunia kanak-kanak. Suatu dunia yang telah lama saya tinggalkan, dan apabila teringat masa yang telah berlalu, seakan-akan tidak puas menjadi kanak-kanak kerana dunia kanak-kanak pada masa itu jauh berbeza daripada sekarang. Satu perbezaan yang masih saya ingat ialah dari segi alat-alat permainan, bentuk permainan dan aktiviti harian. Apabila sudah dewasa begini, dan terkenang masa kanak-kanak terasa betapa besarnya kesan budaya keluarga, persekitaran dan pendidikan mempengaruhi pemikiran kita. Justeru, ibu bapa tidak seharusnya mendidik anak-anak mereka sama seperti ibu bapa mereka mendidik mereka pada masa itu. Kita seharusnya peka terhadap perkembangan dan perubahan yang berlaku sekarang, dan keperluan anak-anak kita, terutamanya dari segi pendidikan dan psikologi. (Gambar: Si Cerdik Amin Hanafi Abu Naim di Pantai Irama, Bachok, Kelantan. Lihatlah, betapa seronoknya dunia kanak-kanak!)

17 November, 2008

Selamat Hari Lahir

Pernahkah anda menyambut hari kelahiran atau sering dikenali sebagai hari jadi? Atau pernahkah anda merayakan hari jadi seseorang, terutamanya seseorang yang istimewa dalam kehidupan anda? Mungkin ada orang yang tidak kisah tentang sambutan hari jadi. Hal ini terjadi mungkin disebabkan budaya keluarga atau pengalaman yang dilalui sebelum ini. Saya pun begitu, dulu-dulu saya tidak kisah malah bagi saya tiada apa-apa makna tentang itu semua. Akan tetapi setelah usia semakin dewasa dan semakin memahami fitrah manusia dan makna kehidupan, dan setelah mengalami pelbagai pengalaman, akhirnya saya mula terasa betapa pentingnya meraikan hari-hari bersejarah ini dalam kehidupan kita. Pernahkah anda menerima sekeping kad ucapan, terutamanya ucapan sempena hari jadi? Bagaimanakah perasaan dan persepsi anda terhadap pemberinya? Seronok? Gembira? Bangga? Bahagia? Berasa dihargai? Berasa diingati? Sedih? Terharu? Selain sempena hari jadi, mungkin juga anda pernah menerima hadiah daripada seseorang, terutama orang yang signifikan dalam diri anda. Jika tidak pernah, jangan bersedih, janganlah mengharap. Sebaik-baiknya, anda mulakanlah dahulu memberi, insya-Allah suatu hari nanti anda akan menerima pula. Bagi yang pernah menerima, biarpun hanya sekeping kad ucapan, sesungguhnya anda adalah orang yang bertuah kerana anda istimewa dan dihargai. Justeru, hargailah pemberian itu; jangan pula anda sepah-sepahkan atau anda berikannya kepada orang lain; simpan sahaja kalau anda enggan menggunakannya. Pernah juga ada orang bertanya saya, hadiah yang bagaimanakah yang sesuai untuk kekasihnya? Jawapannya terlalu subjektif. Bagi saya, biarlah hadiah itu sesuatu yang berguna dan mempunyai makna dalam diri orang yang menerimanya. (Apakah hadiah istimewa yang anda terima tahun ini? Masihkah anda menghargai hadiah yang anda terima pada tahun lepas? Adakah anda sudah menghadiahi dia pada tahun ini? Jika anda terlupa, tahun 2009 masih memberi anda ruang dan peluang! Ingatlah bahawa hadiah atau pemberian itu sebenarnya tanda penghargaan. Atau sekurang-kurangnya hantarlah mesej ucapan SELAMAT HARI LAHIR!)


12 November, 2008

Puisi Buat PPD Segamat

TAHNIAH DAN SELAMAT BERTUGAS
(Buat En. Yasiran Maskom, PPD Segamat)

Tunduknya bagai padi
ilmu dan kemanusiaannya teramat tinggi
ketampanan dan wawasan kecemerlangan
segalanya
terhimpun di bawah rerambut bunga lalang
seorang nakhoda bernama Yasiran

Dia umpama pemandu kereta api
barangkali disebabkan Segamat ini hentian kereta api
yang mewarnai kehidupannya
kerana dia akan terus meluncur ke depan
tanpa menoleh ke belakang
tanpa menjenguk ke kiri dan kanan
tanpa simpati lambaian sejuta tangan pun
kerana semuanya itu tiada makna bagi sebuah kecemerlangan

Lalu dia akan tinggalkan sesiapa jua
dia akan meneruskan perjalanan
di atas rel wawasan dan kecemerlangan

Maka akan tertinggallah
sesiapa yang terlena
sesiapa yang mengeluh
sesiapa yang merungut
sesiapa yang lemah
dan sesiapa juga yang bermasalah

Itulah pemikiran dan prinsip
lelaki berwajah tampan berambut bunga lalang ini
yang sentiasa menjunjung
kepimpinan, keinsanan dan kecemerlangan

Kedatangannya dinanti-nantikan
pemergiannya tak mampu dihalang
di bawah nanungannya
hati menjadi tenteram
kerja menjadi aman

Dalam kelembutan suara dan tampan wajah
tersemai ketegasan dan keikhlasan
dan amarahnya adalah belaian kasih
dan runtunan keinsanan

01 November, 2008

Sukarnya Mencari Sahabat

Mencari sahabat memang terlalu sukar, sesukar mencari permata di dalam timbunan sampah dan kaca. Berdasarkan pengalaman, saya belum pernah berjumpa dengan seorang sahabat yang mempunyai sifat-sifat seorang sahabat yang sebenar. Kebanyakan orang, mereka akan bersahabat atau berkawan dengan kita apabila kita diperlukan; jika tidak, mereka akan menjauhkan diri daripada kita. Malah ada juga yang seakan-akan tidak pernah kenal kita. Berikut ini, saya petik sifat-sifat sahabat daripada laman ilhamurni.blogspot.com untuk renungan kita.
  • Jika engkau berbuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.
  • Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik
    persahabatanmu itu.
  • Jika engkau perlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, nescaya ia akan membantumu.
  • Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, nescaya ia akan
    menerima dengan baik.
  • Jika ia mendapat sesuatu kabajikan (bantuan) daripadamu, nescaya ia akan menghargai atau menyebut kebaikanmu.
  • Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, nescaya ia akan
    menutupnya.
  • Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, nescaya ia akan mengusahakannya.
  • Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), nescaya ia akan
    bertanya tentang kesusahanmu.
  • Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, nescaya ia akan meringankan kesusahanmu.
  • Jika engkau berkata sesuatu yang tidak benar, nescaya ia akan menegur atau membetulkan kata-katamu.
  • Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya ia akan membantumu.
  • Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia akan mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

31 Oktober, 2008

Bertemu dengan Baharuddin Kahar

Sebentar tadi saya bertemu dengan Baharuddin Kahar, seorang pengarang tanah air yang pernah menjadi sebuatan pelajar Kesusasteraan Melayu SPM tahun 80-an. Apabila teringat Baharudin Kahar, saya pun langsung teringat Kinto dalam novelnya Senjakala. Baru-baru ini beliau memenangi hadiah Novel Remaja DBP melalui novelnya Cerita Adam. Tahniah saudaraku! Terima kasih kerana memberikan naskhah novel itu kepada saya. Selalu saya sebut; kalaulah Baharudin Kahar ini orang putih, agaknya dah lama dia kaya raya! Tetapi begitulah hakikatnya, masyarakat kita yang kurang membaca buku, terutamanya novel, dan pemimpin negara yang kurang berminat dan tidak bersungguh-sungguh memartabatkan kesusasteraan bangsa sendiri. Kini Baharudin Kahar sedang giat berniaga sate pada waktu malam di Bandar Segamat. Namun dalam kesibukan itu, beliau sedang menyiapkan sebuah novel yang menurutnya novel bertemakan masyarakat yang menyelitkan isu-isu semasa, cinta, perjuangan bangsa, dan katanya akan muncul watak Natrah dalam novel itu nanti. Saya percaya, dengan kekuatan dan keindahan bahasa beliau, novel itu akan menjadi sebuah karya yang hebat!

26 Oktober, 2008

Masalah ialah Kehidupan

Manusia memang tidak dapat lari daripada masalah kerana masalah itu sememangnya sebahagian daripada kehidupan kita. Semua orang ada masalah, cuma bezanya bagaimana cara seseorang itu menangani dan berusaha menyelesaikan masalah masing-masing. Masalah, jika tidak dikendalikan dengan betul akan menimbulkan gejala lain yang lebih berbahaya. Selalunya, seseorang itu akan mengalami tekanan (stres), gangguan mental, sedih, dan sakit akibat daripada "masalah" yang dihadapi.
Dalam hal ini, saya sering menerima luahan masalah sama ada melalui e-mel, sms ataupun secara langsung. Antara aduan masalah yang saya terima akan saya catatkan di sini (Nama yang tercatat bukanlah nama sebenar). Saya memerlukan kerjasama daripada anda agar sama-sama memberi pendapat atau membantu mereka yang bermasalah. Mudah-mudahan dengan idea anda itu, mereka mendapat semangat, motivasi, atau menemui jalan penyelesaian yang terbaik.

Masalah 1 (Faezah, N. Sembilan)
Peperiksaan SPM semakin dekat. Sekarang ini banyak sangat masalah yang datang kepada saya. Kawan saya macam tidak mahu belajar dengan saya. Apabila kawan-kawan lain yang mengajaknya belajar bersama-sama, dia mahu, tetapi apabila saya ada di dalam kumpulannya itu, dia kelihatan seperti tidak suka. kenapa dia buat saya macam itu? Saya sedih sangat. Saya tak tahu apa yang perlu saya lakukan sekarang. Tolonglah saya....

Masalah 2 (Siti Kalsom, Muar)
Saya seorang pelajar yang malas, susah untuk mengingta apa-apa yang saya baca atau pelajari. Saya juga selalu diganggu ketika saya belajar di rumah. Macamana caranya saya mengatasi masalah ini.

Masalah 3 (Pn. Norida, Pahang)
Tanpa pengetahuan saya, suami saya telah bernikah lagi. saya sangat kecewa, hati saya hancur sama sekali dengan tindakannya itu. Saya sangat sedih. Saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan sekarang. Saya rasa dunia ini semakin gelap dan tidak adil terhadap saya. Tolonglah bantu saya.

Masalah 4 (Nora, Johor)
Saya dalam dilema. Saya menyayangi dua lelaki, dalam masa yang sama saya menyakiti hati kedua-duanya. Apa yang harus saya lakukan. Saya tak sanggup untuk hehilangan salah satu daripadanya. Saya lebih rela kehilangan kedua-duanya. Tapi bagaimana saya harus hadapi semua ini.

Masalah 5 (Hakimi, Segamat)
Saya seorang guru. Saya mengalami masalah sakit kepala yang teruk. Saya juga ada masalah keluarga dan masalah di tempat kerja. Beban kerja saya sangat banyak. Saya sudah cuba buat kerja saya dengan sebaik-baiknya, tetapi apabila saya sakit (badan saya rasa lemah dan tidak bertenaga), saya dipindahkan ke sekolah lain. Mereka seolah-olah tidak menghargai kerja saya selama ini. Kini saya dalam keadaan tertekan dan tiada semangat untuk bekerja di tempat baru.

03 Oktober, 2008

Kehidupan Ini Seperti Roda

Memang benar, kehidupan ini seperti roda. Kini giliran saya pula dimasukkan ke dalam wad hospital kerana masalah kesihatan. Suatu pengalaman baru yang tidak terjangkau oleh fikiran saya sebelum ini. Inilah yang dikatakan takdir. Insya-allah, saya akan cuba mencatatkan pengalaman ini sebagai sumber idea dan bahan berfikir kepada sesiapa jua. Terima kasih yang tak terhingga kepada semua yang prihatin dan membantu saya sepanjang berada di Bilik Bunga Raya, Wad 6 (HBS), khususnya isteri (Siti Nor Eshah) dan anak-anak saya, Makcik Sadiah Atan, Hamidah Dahia, Aishah, doktor dan staf Hospital Segamat, dan rakan-rakan yang memberikan sokongan moral. Kasih sayang dan keprihatinan kalian saya serahkan kepada Yang Maha Kaya untuk membalasnya.

25 September, 2008

Sekadar Berkongsi Pengalaman di Lokap


Minggu ini media massa banyak mengutarakan cerita tentang makanan yang diberikan kepada tahanan ISA dan orang yang dimasukkan ke dalam lokap polis. Hal-hal sebegini sebenarnya yang tahu keadaan sebenar hanyalah mereka yang pernah ditahan atau dimasukkan ke dalam lokap.
Siang tadi seorang rakan meminta saya mengulas tentang isu ini kerana saya pernah juga ditahan di dalam lokap (INGAT: jangan prejudis tau…. Ditahan di dalam lokap sebagai OKT tidak semestinya bersalah ya! Dan terbukti bahawa saya memang tak bersalah pun.
Tapi, sekadar untuk berkongsi pengalaman, biarlah saya catatkannya di sini).
Lapan tahun lalu, saya pernah ditahan di lokap selama enam hari. Dimasukkan mulai waktu maghrib dan saya tidak diberi apa-apa makanan pun sepanjang malam itu. Terpaksalah berlapar dan minum air paip di dalam tandas yang ada di lokap itu.
Masa itu, ada lima orang tahanan lain sebilik dengan saya. Dalam takut-takut dan bimbang saya pun memperkenalkan diri. Mereka semua hanya memakai seluar dalam tanpa baju. (Nasib saya baik: saya dibenarkan memakai seluar panjang dengan syarat dilipat sampai ke lutut).
Sepanjang malam saya tak boleh lena kerana lapar. Barulah esok paginya, datang sarapan! Nak tau apa sarapannya? Kami diberi empat keping roti tawar dan air teh O cair yang tak berapa manis. Yang lucunya… tak diberi gelas atau cawan! Jadi, kami terpaksalah gunakan botol-botol air mineral yang kami jadikan gayung untuk mandi dan bersuci. Hehe… geli juga. Tapi, apabila sudah lapar lupa semuanya itu.
Dengan berbekalkan roti empat keping tadi kami menahan lapar sampailah tiba waktu makan tengah hari. Memang sedap makan waktu itu… dah lapar sangat katakan! Dengan gelojoh, kami pun makan nasi di dalam polistrin dengan lauk tauge rebus dan ikan (tak tau apa nama ikan itu, tapi ikannya nipis dan kecil je. Biasanya ikan itu dijadikan ikan masin sahaja). Sepanjang enam hari di dalam lokap, itulah menunya! Memang sedap. Minum petang tak ada. Kalau dahaga, minumlah air paip. Makan malam pun sama juga. Saya pun reda (redho) dengan rezeki yang saya dapat. Segalanya menjadi kenangan yang sangat manis dan berharga buat saya.
Itu cerita fasal makanan, fasal lain nantilah saya tulis lagi….

24 September, 2008

Rahsia Minda Cerdas?

Kebanyakan pengguna ProMINEX mengatakan bahawa produk ini memang bagus. Ya, memang bagus! Inilah hasil usaha saya dan rakan saya. Bentuk tablet dan saiznya memang original daripada idea saya dengan seorang ahli kimia. Kalaulah ada produk yang bentuk tablet dan saiznya sama dengan ini, memang itu asalnya daripada buah fikiran kami. Walau bagaimanapun, Prominex tidak akan sama dengan yang lain. Tak mengapalah, itu cerita lama yang telah menjadi sejarah. Produk ini memang mahal, harganya RM28.00 seunit yang mengandungi 90 tablet yang boleh digunakan untuk tiga bulan. Mahal bukan? Tak tahulah apa saya nak kata kalau RM28.00 ini pun dikatakan mahal. Sebenarnya ada pihak yang mencadangkan agar dijual dengan harga lebih mahal lagi!
Baiklah, saya menerima banyak pertanyaan tentang Prominex ini. Justeru, dalam ruang ini biarlah saya dedahkan tentang Prominex. Dan kalau ada sesiapa yang berminat, kami akan hantar melalui poslaju dengan harga RM33.00 sahaja. SILA HUBUNGI : 017-7910121 (Sha) atau e-mel: nikmat33@yahoo.com


KANDUNGAN ProMINEX

Sukrosa, Kalium Posfat 6x, Magnesium Posfat 6x, Naterium Posfat 6x & Kalsium Posfat 6x. Kesemua bahan ini amat penting dan amat diperlukan untuk pertumbuhan dan perkembangan sistem saraf, pertumbuhan neuron dan sel-sel serta proses elektrokimia di dalam otak manusia. Tiada bahan pengawet, tiada dadah dan tiada bahan kimia berbahaya di dalamnya.

JAMINAN MUTU

* Dikawal selia oleh doktor homeopathy yang berkelayakan dan berdaftar.
* Didaftarkan dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (MAL05041998TC).
* Diproses oleh kilang bertaraf GMP.
* Produk Malaysia .
* Tiada dadah dan kimia berbahaya.
* Terbukti berkesan.
* Produk HALAL.

KEGUNAAN / KHASIAT
Dirumus dan digunakan sebagai TONIK MINDA untuk membantu
· Meningkatkan potensi dan stamina minda.
· Meningkatkan daya ingatan dan tumpuan belajar
· Mengatasi masalah lemah daya fikir dan lemah pemahaman.
· Meningkatkan motivasi dan mengatasi masalah kurang daya saing.
· Membantu meningkatkan kecerdasan dan kecergasan fizikal.
· Membantu mengurangkan tekanan (stres) dan masalah kemurungan.

APA KATA MEREKA?

“Setiap pagi saya berikan ProMINEX kepada anak saya, alhamdulillah dalam UPSR 2004 anak saya mendapat 5A”.
(Hishamudin Yusof, Felda Jelai 2, Gemas, N. Sembilan Tel: 019-6607019)

“Semua anak saya menunjukkan perubahan yang baik setelah tiga bulan mengambil Prominex.
Perubahan pada Nurul Kamilia sangat luar biasa. Dia lebih mudah dan cekap membaca al-Quran. Yang paling mengejutkan, dia telah mendapat Nombor 2 dalam peperiksaan Akhir Tahun 2005. Daya ingatannya semakin baik sekarang.”
( Sjn. Kalil Nyono, Jbtn. Narkotik, IPD Machang)

“ Saya juga mengambil PROMINEX” Nor Amalina bt Ahmad Kastalani, PMR 8A, SPM 11A
SM Dato’ Bentara Dalam, Segamat.

“Sebelumnya anak saya terlalu aktif, tidak dengar cakap (degil), lemah dalam pelajaran dan
kurang memahami. SELEPAS satu bulan anak saya berdisiplin, boleh dengar cakap,
ada meningkat sedikit pelajarannya, dan ada memahami serba sedikit.Kini dia tidak lagi
mengalami masalah sukar tidur dan bangun pagi.”
Ibu kepada S. Lingaprasad a/l Sekhar (9 tahun); Segamat Baru, Johor )

“Saya boleh mengatasi masalah stres dan beban tugas yang berat dengan PROMINEX. Minda saya lebih berstamina.” (SM. Khalil, Pegawai Polis, Tel: 013-9829821)

“Saya seorang guru prasekolah (tadika) swasta. Kepada murid-murid yang lemah dan sukar membaca al-Quran, saya berikan Prominex). Alhamdulillah, tidak lama selepas itu mereka lebih cergas dan mudah membaca.”
( Puan Siti Khadijah, Parit Raja, Batu Pahat. Johor
)

22 September, 2008

Hanya Kau Yang Tahu

Kalau ikutkan rasa letih, memanglah letih sangat. Bulan puasa kan!
Berat badan pun dah turun hampir 3kg! Tetapi malam ini aku tak nak tidur awal kerana sering kutancapkan dalam mindaku bahawa hidup ini bukan untuk tidur dan bermalas-malasan. Aku perlu berbuat sesuatu agar kehidupan akan lebih bermakna dan masaku ada manfaatnya.
Sejak awal pagi, aku rasa bertenaga, dapat bersahur dan selepas itu berkunjung ke rumah Allah. Aku berasa hari ini stamina mindaku
agak luar biasa, bagai mendapat sinergi baru yang sekian lama sirna. Aku sendiri belum mengerti mengapa jadi begini. Barangkali memang beginikah kehidupan kita; kehidupan umpama roda yang berputar. Atau semalamkah lailatulqadar menjelma … dan kau yang hadir dalam pelukanku....
(Rasanya, aku ingin hidup seribu tahun lagi…. “mimpi” semalam sesungguhnya adalah realiti dan ketentuan Illahi yang tidak pernah terfikirkan oleh akal. Kaukutip dan seakan-akan kauhulurkan kembali bunga itu kepadaku setelah kaucampakkannya…. Dan kita mencipta bahagia bersama….Keterharuan hanya Kau yang tahu, ya Tuhanku. Dan adakah ini semua atas ketetapan dan kehendak-Mu jua? (22/09/08 dipetik daripada novel HKYT).

21 September, 2008

Setiap Kali Aidilfitri Menjelma

Dalam akhbar hari ini, seorang isteri menyatakan bahawa dia “makan hati” setiap kali kedatangan Aidilfitri. Menurutnya sejak 12 tahun berkahwin, dia tidak pernah beraya di kampung halaman bersama-sama ibu bapa dan keluarga yang lain. Maknanya, dia terpaksa beraya di kampung suami (di rumah mentua). Dia akan beraya di kampung sendiri pada penghujung syawal.
Hal ini dijawab oleh pakar motivasi yang saya kira jawapan beliau adalah dari perspektif agama. Saya setuju dengan pendapat beliau yang mengatakan bahawa “reda Allah ada dalam reda suami”.
Tetapi dalam hal ini, kita perlu juga lihat dari sudut kemanusiaan dan psikologi. Untuk sampai ke tahap reda bukanlah suatu hal yang mudah. Justeru, suami perlulah bertimbang rasa dan tidak mengetepikan kemanusiaan dan keperluan psikologi si isteri. Suami seharusnya berfikiran terbuka dan bertolak ansur ; ingatlah bahawa isteri kita juga mempunyai emak dan ayah. Mengapakah kita mesti “merampas” isteri kita daripada emak ayahnya?
Emak ayah mereka juga seperti emak ayah kita yang seboleh-bolehnya ingin merayakan aidil fitri bersama-sama anak mereka. Usahlah mementingkan diri sendiri sehingga si isteri memendam rasa (protes dalam diam). Hal ini nampak kecil, tetapi ingatlah bahawa hal sekecil ini jika berterusan akan menjadi besar dan akhirnya boleh menjejaskan kedamaian hati. Bayangkanlah, betapa sedih dan seksanya jiwa si isteri dan sedihnya ayah ibu si isteri. Wahai suami, mengapakah seharusnya jadi begini? Salahkah, berat sangatkah, dan berdosakah kalau beraya sesekali di rumah mentua?
Lupakah anda. bahawa hari raya memang hari kebesaran, hari yang amat bermakna, dan hari yang sepatutnya kita bergembira? Pandai-pandailah kita membahagikan masa dan kasih sayang kita!

20 September, 2008

Puisi Daripada Filzahsafia

Sukarnya menganyam sebuah puisi dan sukarnya juga mengedit sebuah puisi…. Begitulah terdetik di minda saya tatkala menatap puisi ini daripada seorang yang melabelkan dirinya sebagai FILZAHSAFIA. Namun sebagai pencinta seni dan sastera, saya semadikan puisi ini di laman saya sebagai penghargaan terhadapnya.


AKU KAU DAN DIA

AKU…
Insan yang sedang menggenggam erat

Dua perasaan... dalam satu perjalanan
Di kananku kebahagian dan
Di kiriku kedukaan
Terhadap dua lelaki yang mencintaiku
keduanya aku gengam erat
untuk keinginan semua
supaya tiada siapa yang tahu
ada apa dalam hatiku..
meskipun aku buntu
namun ku gagahi..
demi insan yang sentiasa
menjadi pendorongku
aku tak nak jatuh dihadapanya,j
ika aku jatuh, hanya kerana semua ini,
bermakna aku tak pernah hargai
kekuatan yang pernah diberikan kepada kuselama ini..
siapa itu.. itulah KAU...
KAU...Teman yang terlalu istimewa
Kasih dan sayangmu terpancar
Seikhlas tiada batasan
Dan terus membara
Di saat kita berjauhan
Rasa ingin ku berlari
Mendakap mu penuh girang
Bak si kecil kehilangan
Kau insan penyayang..
tanpa semua sedari
kau disana, aku di sini
satu rasa dalam hati
dan kita saling menyayangi
Namun kini..
pelbagai dugaan datang menjelma
kita terpisah demi keinginan semua
tapi jangan kau lupa
kita pernah mencipta kenangan bersama
bahagia bersama.
kini semua ini bakal berakhir
aku terpaksa melakukan semua ini
jangan kau salahkan aku
aku terpaksa untuk kebahagian kita semua..
ingatkah kau
sering kau ungkapkan
kau akan masih seperti dulu
masih mencintaiku..
maafkan lah aku kerna kutahu..
hakikatnya kau tak kan jadi
kau yang dahulu untuk aku..
mungkin kita akan jadi sekadar teman,
teman yang hanya pada nama
bukan itu yang aku harapkan
tapi aku pasti kau pun tahu
terlalu banyak halangan antara kita
untuk terus kekal seperti dulu
maafkan aku..lepaskanlah diriku
kerna kerelaanmu
bukan kerna dendam
bukan jua kerna kau terpaksa
ku tinggalkan memori bersamamu
dan ku undur diri...
ku di kejauhan mendoakan
agar kau bahagia
tiada lagi duka
aku mengundur diri,
tak dapat ku teruskan semua ini
ku pasti dikau kan fahami
kerana aku yakin..
Jika kau mencintai seseorang,
kau akan sentiasa mendoakannya
walaupun dia tidak berada di sisi mu.
inilah kedukaan ku
aku kehilangan insan sepertimu..
biarlah semua ini berlalu dan
segalanya..biarlah rahsia...
namun ingin ku katakan
terima kasih untuk segalanya
sekali lagi keampunan ku harapkan
kerana aku memilih DIA
itulah kebahagian milikku kini
akan aku pelihara kebahagian ini
agar tak mengundang duka
kepada sesiapa...
kerana DIA..Insan pertama yang kucinta
Dia pernah membuat ku bahagia
Dia ku abadikan dalam jiwa
Terima kasih atas segalanya...
Suatu masa dulu
Seringkali aku tertanya..
Bagaimana rasanya rindu
Dan saat itu
Dialah yang mengajarku
Tentang erti rindu
Saat mula aku dia dekati
Dia mengajar aku
mengenal CINTA
mengenal RINDU
mengenal SAYANG
namun aku telah mendustainya
tanpa pengetahuannyadi saat cinta kami membara
secara senyap aku curahkansemua itu kepada KAU..
kejamnya aku...
kalaulah aku di tempatnya
mana mungkin aku terima semua ini..
kerna ku tahu ..
Kesetiaan akan mengikat cinta dan,
kecurangan akan meranapkan
segala kemanisan cinta
sungguh aku tidakmenginginkan semua itu terjadi
justeru.. izinkan aku pelihara cinta ini
redhoilah keputusanku kini
aku ingin mencipta bahagia bersamanya
kerana dia insan pertama yang ku cinta..
inilah cinta
ianya sangat bahagia
tapi kadangkala sangat menyakitkan
moga aku dapat memelihara CINTA ini
pada landasan yang benar..
untuk kau tiada pernah aku berniat
untuk membandingkan kasih sayang
izinkan aku memperbaiki diri ini
aku mencintaimu sepenuh hatiku
Cuma ingin aku katakan
KAU dan DIA
Sangat bermakna dalam hidupku
Mempunyai kelebihan yang tertentu
Terima kasih untuk segalanya..
Namun aku tak mampu menyayangi keduanya..
Ya Allah…Jika kau turunkan ujian ini
Kerna kasih sayangmu..Agar aku menyedari kesilapanku..
Agar aku tidak lalaiDari melaksanakan perintahmu …
Agar aku lebih mendamba cintamu
Berbanding cinta manusia…
Agar aku tidak teru terusan
Dalam kelalaian…Aku mohon keampunan mu ya Allah…
Ampunilah dosa-dosaku.
Kembangkanlah lembayung rahmatmu untukku
Dan mereka yang bersamaku.
- Filzahsafia

19 September, 2008

Prominex: Suatu Kepuasan

Mungkin ini kali pertama anda terjumpa perkataan ProMINEX. ProMINEX ialah produk kesihatan yang saya asaskan, khas untuk membantu meningkatkan kecergasan dan kecerdasan, khususnya untuk membantu meningkatkan keupayaan tindak balas sel-sel otak kita. Unsur biokimia yang utama di dalamnya ialah Kalium Fosfat dan Kalsium Fosfat. Dua unsur ini amat penting dan diperlukan oleh sel otak manusia. Misalnya, kekurangan kalsium akan menyebabkan kita kurang tumpun dan “berat” untuk berfikir hal-hal serius, seperti matematik, sains, logik, dan semua perihal yang memerlukan fungsi otak kiri lebih kuat. Manakala kekurangan atau kelembapan tindak balas unsur kalium boleh menyebabkan kita lemah daya ingatan, dan sukar untuk memahami sesuatu hal, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak atau pelajar. Tidak kiralah, pelajar sekolah ataupun pelajar IPT.
Atas kesedaran dan ingin membantu meningkatkan potensi otak inilah, saya dan beberapa orang rakan berusaha menghasilkan ProMINEX. Sejak empat tahun dalam pasaran, ProMINEX memang mendapat sambutan yang memuaskan. Dan yang paling memuaskan hati dan menyeronokan saya ialah apabila banyak ibu bapa dan pengguna yang memberikan maklumat balas posiitif dan mengatakan bahawa anak-anak mereka sudah “berubah” setelah mengambil ProMINEX.
Semalam, di bazar Ramadan saya terjumpa seorang pengedar ProMINEX. Beliau (perempuan) memberitahu saya bahawa anaknya sekarang sudah jauh lebih baik dari segi akademik dan sosial – mudah dengar kata dan sembahyangnya pun cukup lima waktu tak macam sebelumnya.. (Hmm… di sinilah terbit rasa kepuasan saya). Dua bulan lepas pun saya menerima sms daripada Pn. Zariah “ubat yang tuan beri, alhamdulillah, anak saya rajin solat dan dapat markah paling tinggi dalam kelas…” menurutnya, anaknya sebelum ini lemah dalam pelajaran. Minggu lepas, seorang ayah mencari saya untuk mendapatkan Prominex. Menurutnya, anak dia pun sudah berubah menjadi semakin baik... (Ini sebahagian kecil maklumat yang saya terima. Ada banyak lagi cerita….).
Bagi sesiapa yang belum kenal ProMINEX, hubungilah saya. Saya fikir, inilah antara sumbangan saya kepada masyarakat.

17 September, 2008

DEMAM DENGGI & PERUBATAN HOMEOPATHY

SAYA teruja untuk membuat sedikit rujukan dan menulis makalah ini apabila terbaca kisah kematian dua beradik akibat demam denggi (Berita Harian: 4 Januari 2003). Dalam berita itu ayah allahyarhamah mengatakan “Ujian menunjukkan anak saya hanya demam biasa dan dirawat sebagai pesakit luar serta diberi panadol.”
Demam denggi ialah suatu penyakit yang menakutkan orang ramai kerana penyakit ini boleh menyebabkan kematian. Antara gejala atau tanda-tanda (simptom) penyakit demam denggi ialah demam panas yang kuat atau demam yang berlarutan; pesakit akan mengalami gejala-gejala seperti terdapat ruam atau bintik-bintik merah pada kulit; tiada selera makan; sakit atau bisa-bisa pada tulang, otot, sendi dan biji mata; sakit kepala; sakit perut; muntah; jika serius (teruk) pesakit mengalami pendarahan di bawah kulit, hidung atau gusi, sukar bernafas dan muntah.
Demam denggi disebabkan oleh virus yang dibawa oleh nyamuk Aedes. Terdapat dua jenis nyamuk Aedes, iaitu Aegypti dan Albopictus. Kedua-dua jenis nyamuk ini bukan sahaja berbahaya kerana boleh menyebabkan demam denggi, malah boleh menyebabkan demam kuning dan penyakit chikungunya. Menurut seorang sahabat di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) setakat ini (dalam perubatan konvensional) belum ada ubat atau vaksin yang dapat menyembuhkan penyakit demam denggi. Seorang sahabat lagi, iaitu pengamal perubatan homeopathy pula mengatakan ada ubat (penawar) untuk demam denggi. Dalam pada itu terdapat hadith Rasulullah yang bermaksud “Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak menurunkan penyakit, kecuali telah pula menurunkan penawarnya. Maka berubatlah kamu.” (Hadith riwayat: Nasai, Ibn Majah dan Hakim)
Seorang pengamal perubatan homeopathy pernah memberitahu saya bahawa beliau pernah memberikan ubat Eupatorium Perfoliatum dan Aconite kepada seorang pesakit yang demam panas yang sedang mengunggu hasil analisis darah di sebuah hospital. Selang beberapa hari pesakit itu dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa dia disahkan menghidap demam denggi. Akan tetapi pada masa itu dia sudah pun sihat dan sembuh daripada gejala demamnya. Menurut Dr. Das Gupta (1965) dalam buku Therapeutic Hints menyatakan bahawa penyakit demam denggi datang dengan tiba-tiba. Pesakit akan mengalami sakit kepala, sakit sendi-sendi tulang, dan kadang kala tumbuh bintik-bintik kecil. Selepas selang satu atau dua hari, pesakit akan mengalami gejala demam yang lebih teruk (kambuh) dan bintik-bintik merah semakin ketara. Kekambuhan itu akan segera menurun, tetapi untuk sembuh/pulih secara total mungkin lambat dan kesakitan anggota badan mungkin berterusan. Menurut beliau lagi, dalam perubatan homeopathy remedi yang paling utama ialah Bryonia, Rhus Tox, Eupatorium Perfoliatum. Pada peringkat permulaan pesakit hendaklah diberi remedi Aconite berulang kali dan diikuti oleh Bryonia. Jika sakit semakin teruk, pesakit hendaklah diberi Eupatorium Perfoliatum. Jika pesakit muntah-muntah, remedi yang sesuai ialah Ipecacuanha atau Bryonia. Untuk pesakit yang ada gejala gastrik bolehlah diberi Rhus Tox, Nux Vomica, Pulsatilla atau Arsenicum album. Apabila timbul bintik-bintik merah (eruption), pesakit perlu diberi Bryonia dan Rhus Tox.
Agaknya sudah tiba masanya pihak yang berkenaan mengubah paradigma dan melihat perubatan komplementari dan alternatif dari sudut yang sewajarnya demi kesihatan dan kesejahteraan manusia sejagat. Semua pihak perlu sedar dan mengakui hakikat bahawa tiada sesuatu pun yang lengkap dan sempurna di dunia ini; masing-masing mempunyai peranan dan kelebihan tersendiri.

SELAMAT BERPUASA & HARI RAYA





Diucapkan "SELAMAT BERPUASA" dengan doa agar ibadah anda dirahmati dan diberkati-Nya. "SELAMAT HARI RAYA" dan dalam kesempatan ini saya dan keluarga memohon sejuta kemaafan atas kesilapan dan dosa-dosa kami. Semoga hari raya tahun ini membawa seribu erti dan kebahagiaan buat semua.

CIPTAKAN KEDAMAIAN DAN KESEJAHTERAAN

Semoga dengan izin-Nya laman ini menjadi ruang untuk kita mencipta kedamaian, kesejahteraan dan kecemerlangan. Terima kasih kepada anda kerana sudi menjenguk laman ini biarpun dalam ketidaksempurnaan. Lontarkanlah idea-idea anda ke laman ini demi kecemerlangan insan sejagat.