06 Disember, 2008

Bahasaku dan Papan Tanda

Sepanjang perjalanan 550 km hari ini dan melewati empat buah negeri, tiba-tiba minda saya teruja oleh beberapa papan tanda di tepi jalan yang lain daripada biasa. Saya tertarik dan tiba-tiba berasa gembira setelah sekian lama kurang gembira tentang penggunaan bahasa Melayu di papan tanda di negara kita. Apa yang lain itu? Biasanya kita melihat papan tanda KURANGKAN LAJU tetapi ada beberapa papan tanda baru di Pahang bertulis KURANGKAN KELAJUAN. Nampaknya orang Pahang lebih prihatin tentang kepersisan berbahasa, walaupun masih terdapat beberapa perkataan yang kurang tepat, misalnya MERBAHAYA seharusnya BERBAHAYA atau BAHAYA. Tahniah pihak berkuasa di Pahang! Kalau bukan kita yang berbangga dan memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu, siapa lagi? Pihak berkuasa tempatan dan sesiapa juga yang cinta akan bahasa atau mempunyai masalah/kemusykilan tentang bahasa Melayu, bolehlah berhubung dengan DBP atau Munsyi Dewan yang berhampiran. Bahasa jiwa bangsa, tanpa bahasa Melayu wujudkah lagi bangsa Melayu?

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Cikgu Abu Naim,
Tahniah kerana memaparkan hal ini melalui blog cikgu. Memang banyak papan tanda di negara ini boleh dibuang ke tapak pelupusan sampah! Sewaktu saya ke Cherating, saya ternampak satu papan tanda jalan raya iaitu AWAS SELEKOH BERBAHAYA. Nampaknya PBT di Pahang prihatin...seperti yang dikatakan.

Azhar Salleh berkata...

Cikgu Abu Naim,
Lama menyepi? Lama tak jumpa, ye! Nampaknya masing-masing sibuk dengan pelbagai urusan. Mungkin tahun 2009 ini, boleh saya berborak-borak dengan cikgu, insya-Allah.

Azhar, JB.

PENGARANG berkata...

Terima kasih, Azhar.
Sebenarnya saya tak menyepi, tetapi saya "disepikan", itu yang saya rasa....hehehehe. Tidak mengapalah, saya reda dengan kehidupan ini, seperti yang saya catatkan bahawa kehidupan ini umpama sebuah roda. Nampaknya 2008 tahun sepi bagi saya. Insya-Allah kita akan berjumpa dan itulah yang saya harapkan. Selamat Menyambut 2009!

ziharusan berkata...

Sepatutnya harus wujud satu pasukan dalam DBP yang memantau situasi dan keadaan semasa dalam negara terutamanya hal-hal berkaitan isu-isu penggunaan bahasa Melayu yang sememangnya sedia maklum oleh semua rakyat Malaysia adalah bahasa rasmi bagi Malaysia.