17 September, 2008

DEMAM DENGGI & PERUBATAN HOMEOPATHY

SAYA teruja untuk membuat sedikit rujukan dan menulis makalah ini apabila terbaca kisah kematian dua beradik akibat demam denggi (Berita Harian: 4 Januari 2003). Dalam berita itu ayah allahyarhamah mengatakan “Ujian menunjukkan anak saya hanya demam biasa dan dirawat sebagai pesakit luar serta diberi panadol.”
Demam denggi ialah suatu penyakit yang menakutkan orang ramai kerana penyakit ini boleh menyebabkan kematian. Antara gejala atau tanda-tanda (simptom) penyakit demam denggi ialah demam panas yang kuat atau demam yang berlarutan; pesakit akan mengalami gejala-gejala seperti terdapat ruam atau bintik-bintik merah pada kulit; tiada selera makan; sakit atau bisa-bisa pada tulang, otot, sendi dan biji mata; sakit kepala; sakit perut; muntah; jika serius (teruk) pesakit mengalami pendarahan di bawah kulit, hidung atau gusi, sukar bernafas dan muntah.
Demam denggi disebabkan oleh virus yang dibawa oleh nyamuk Aedes. Terdapat dua jenis nyamuk Aedes, iaitu Aegypti dan Albopictus. Kedua-dua jenis nyamuk ini bukan sahaja berbahaya kerana boleh menyebabkan demam denggi, malah boleh menyebabkan demam kuning dan penyakit chikungunya. Menurut seorang sahabat di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) setakat ini (dalam perubatan konvensional) belum ada ubat atau vaksin yang dapat menyembuhkan penyakit demam denggi. Seorang sahabat lagi, iaitu pengamal perubatan homeopathy pula mengatakan ada ubat (penawar) untuk demam denggi. Dalam pada itu terdapat hadith Rasulullah yang bermaksud “Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak menurunkan penyakit, kecuali telah pula menurunkan penawarnya. Maka berubatlah kamu.” (Hadith riwayat: Nasai, Ibn Majah dan Hakim)
Seorang pengamal perubatan homeopathy pernah memberitahu saya bahawa beliau pernah memberikan ubat Eupatorium Perfoliatum dan Aconite kepada seorang pesakit yang demam panas yang sedang mengunggu hasil analisis darah di sebuah hospital. Selang beberapa hari pesakit itu dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa dia disahkan menghidap demam denggi. Akan tetapi pada masa itu dia sudah pun sihat dan sembuh daripada gejala demamnya. Menurut Dr. Das Gupta (1965) dalam buku Therapeutic Hints menyatakan bahawa penyakit demam denggi datang dengan tiba-tiba. Pesakit akan mengalami sakit kepala, sakit sendi-sendi tulang, dan kadang kala tumbuh bintik-bintik kecil. Selepas selang satu atau dua hari, pesakit akan mengalami gejala demam yang lebih teruk (kambuh) dan bintik-bintik merah semakin ketara. Kekambuhan itu akan segera menurun, tetapi untuk sembuh/pulih secara total mungkin lambat dan kesakitan anggota badan mungkin berterusan. Menurut beliau lagi, dalam perubatan homeopathy remedi yang paling utama ialah Bryonia, Rhus Tox, Eupatorium Perfoliatum. Pada peringkat permulaan pesakit hendaklah diberi remedi Aconite berulang kali dan diikuti oleh Bryonia. Jika sakit semakin teruk, pesakit hendaklah diberi Eupatorium Perfoliatum. Jika pesakit muntah-muntah, remedi yang sesuai ialah Ipecacuanha atau Bryonia. Untuk pesakit yang ada gejala gastrik bolehlah diberi Rhus Tox, Nux Vomica, Pulsatilla atau Arsenicum album. Apabila timbul bintik-bintik merah (eruption), pesakit perlu diberi Bryonia dan Rhus Tox.
Agaknya sudah tiba masanya pihak yang berkenaan mengubah paradigma dan melihat perubatan komplementari dan alternatif dari sudut yang sewajarnya demi kesihatan dan kesejahteraan manusia sejagat. Semua pihak perlu sedar dan mengakui hakikat bahawa tiada sesuatu pun yang lengkap dan sempurna di dunia ini; masing-masing mempunyai peranan dan kelebihan tersendiri.

Tiada ulasan: