25 September, 2008

Sekadar Berkongsi Pengalaman di Lokap


Minggu ini media massa banyak mengutarakan cerita tentang makanan yang diberikan kepada tahanan ISA dan orang yang dimasukkan ke dalam lokap polis. Hal-hal sebegini sebenarnya yang tahu keadaan sebenar hanyalah mereka yang pernah ditahan atau dimasukkan ke dalam lokap.
Siang tadi seorang rakan meminta saya mengulas tentang isu ini kerana saya pernah juga ditahan di dalam lokap (INGAT: jangan prejudis tau…. Ditahan di dalam lokap sebagai OKT tidak semestinya bersalah ya! Dan terbukti bahawa saya memang tak bersalah pun.
Tapi, sekadar untuk berkongsi pengalaman, biarlah saya catatkannya di sini).
Lapan tahun lalu, saya pernah ditahan di lokap selama enam hari. Dimasukkan mulai waktu maghrib dan saya tidak diberi apa-apa makanan pun sepanjang malam itu. Terpaksalah berlapar dan minum air paip di dalam tandas yang ada di lokap itu.
Masa itu, ada lima orang tahanan lain sebilik dengan saya. Dalam takut-takut dan bimbang saya pun memperkenalkan diri. Mereka semua hanya memakai seluar dalam tanpa baju. (Nasib saya baik: saya dibenarkan memakai seluar panjang dengan syarat dilipat sampai ke lutut).
Sepanjang malam saya tak boleh lena kerana lapar. Barulah esok paginya, datang sarapan! Nak tau apa sarapannya? Kami diberi empat keping roti tawar dan air teh O cair yang tak berapa manis. Yang lucunya… tak diberi gelas atau cawan! Jadi, kami terpaksalah gunakan botol-botol air mineral yang kami jadikan gayung untuk mandi dan bersuci. Hehe… geli juga. Tapi, apabila sudah lapar lupa semuanya itu.
Dengan berbekalkan roti empat keping tadi kami menahan lapar sampailah tiba waktu makan tengah hari. Memang sedap makan waktu itu… dah lapar sangat katakan! Dengan gelojoh, kami pun makan nasi di dalam polistrin dengan lauk tauge rebus dan ikan (tak tau apa nama ikan itu, tapi ikannya nipis dan kecil je. Biasanya ikan itu dijadikan ikan masin sahaja). Sepanjang enam hari di dalam lokap, itulah menunya! Memang sedap. Minum petang tak ada. Kalau dahaga, minumlah air paip. Makan malam pun sama juga. Saya pun reda (redho) dengan rezeki yang saya dapat. Segalanya menjadi kenangan yang sangat manis dan berharga buat saya.
Itu cerita fasal makanan, fasal lain nantilah saya tulis lagi….

3 ulasan:

ziharusan berkata...

Cikgu kena tahan lokap? Sebab apa?

abu naim berkata...

Begitulah kehidupan ini. Adakalanya sesutau yang kita tidak inginkan malah tidak pernah terlintas dalam fikiran kita, itu pula yang terjadi. Hal ini berlaku kerana fitnah dan angkara jahat manusia yang sengaja mahu merosakkan nama dan masa depan saya. Ada pihak yang gembira melihat saya dipenjarakan atau "musnahkan" sahaja. Apapun, Tuhan itu maha adil dan maha mengetahui. Akhirnya kebenaran itu memihak kepada saya. Terima kasih kepada "manusia" yang telah memberikan saya pengalaman ini... hehehe... Semoga Allah membalasnya dengan balasan yang setimpal.

ziharusan berkata...

Oww.. Betul-betul. Saya setuju. Alhamdulillah cikgu masuk sekejap je. Tapi cikgu dapat pengalaman. Bolehlah dijadikan inti dalam karya-karya cikgu.