21 September, 2008

Setiap Kali Aidilfitri Menjelma

Dalam akhbar hari ini, seorang isteri menyatakan bahawa dia “makan hati” setiap kali kedatangan Aidilfitri. Menurutnya sejak 12 tahun berkahwin, dia tidak pernah beraya di kampung halaman bersama-sama ibu bapa dan keluarga yang lain. Maknanya, dia terpaksa beraya di kampung suami (di rumah mentua). Dia akan beraya di kampung sendiri pada penghujung syawal.
Hal ini dijawab oleh pakar motivasi yang saya kira jawapan beliau adalah dari perspektif agama. Saya setuju dengan pendapat beliau yang mengatakan bahawa “reda Allah ada dalam reda suami”.
Tetapi dalam hal ini, kita perlu juga lihat dari sudut kemanusiaan dan psikologi. Untuk sampai ke tahap reda bukanlah suatu hal yang mudah. Justeru, suami perlulah bertimbang rasa dan tidak mengetepikan kemanusiaan dan keperluan psikologi si isteri. Suami seharusnya berfikiran terbuka dan bertolak ansur ; ingatlah bahawa isteri kita juga mempunyai emak dan ayah. Mengapakah kita mesti “merampas” isteri kita daripada emak ayahnya?
Emak ayah mereka juga seperti emak ayah kita yang seboleh-bolehnya ingin merayakan aidil fitri bersama-sama anak mereka. Usahlah mementingkan diri sendiri sehingga si isteri memendam rasa (protes dalam diam). Hal ini nampak kecil, tetapi ingatlah bahawa hal sekecil ini jika berterusan akan menjadi besar dan akhirnya boleh menjejaskan kedamaian hati. Bayangkanlah, betapa sedih dan seksanya jiwa si isteri dan sedihnya ayah ibu si isteri. Wahai suami, mengapakah seharusnya jadi begini? Salahkah, berat sangatkah, dan berdosakah kalau beraya sesekali di rumah mentua?
Lupakah anda. bahawa hari raya memang hari kebesaran, hari yang amat bermakna, dan hari yang sepatutnya kita bergembira? Pandai-pandailah kita membahagikan masa dan kasih sayang kita!

2 ulasan:

ziharusan berkata...

Saya setuju. Si suami perlu bertimbang rasa terhadap isteri mereka. Tapi tak kan masa hari raya sahaja yang perlu pulang kek kampung?
Malaysia punyai banyak perayaan yang dijadikan cuti umum. hari Raya Haji, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Hari kemerdekaan dan sebagainya.

Tanpa Nama berkata...

pada sy...si suami bukanlah seorang suami yang baik.Hal ini kerana,si suami merupakan seorang yang hanya mementingkan diri sendiri...tak bagus mcm 2...si suami perlu memahami perasaan si isteri..cuba memenuhi permintaan isteri agar dia merasakan kebahagiaan dalam rumah tangga.Banyakkan masa bersama isteri.Cuba penuhi impian dan kehendak nya.SO si sumai perlu lah memainkan peranan yang penting dan perlu bertolak ansur.AFIQ