22 September, 2008

Hanya Kau Yang Tahu

Kalau ikutkan rasa letih, memanglah letih sangat. Bulan puasa kan!
Berat badan pun dah turun hampir 3kg! Tetapi malam ini aku tak nak tidur awal kerana sering kutancapkan dalam mindaku bahawa hidup ini bukan untuk tidur dan bermalas-malasan. Aku perlu berbuat sesuatu agar kehidupan akan lebih bermakna dan masaku ada manfaatnya.
Sejak awal pagi, aku rasa bertenaga, dapat bersahur dan selepas itu berkunjung ke rumah Allah. Aku berasa hari ini stamina mindaku
agak luar biasa, bagai mendapat sinergi baru yang sekian lama sirna. Aku sendiri belum mengerti mengapa jadi begini. Barangkali memang beginikah kehidupan kita; kehidupan umpama roda yang berputar. Atau semalamkah lailatulqadar menjelma … dan kau yang hadir dalam pelukanku....
(Rasanya, aku ingin hidup seribu tahun lagi…. “mimpi” semalam sesungguhnya adalah realiti dan ketentuan Illahi yang tidak pernah terfikirkan oleh akal. Kaukutip dan seakan-akan kauhulurkan kembali bunga itu kepadaku setelah kaucampakkannya…. Dan kita mencipta bahagia bersama….Keterharuan hanya Kau yang tahu, ya Tuhanku. Dan adakah ini semua atas ketetapan dan kehendak-Mu jua? (22/09/08 dipetik daripada novel HKYT).

5 ulasan:

filzahsafia berkata...

saya sukakan petikan dari novel HKYT 2.. mesti jalan ceritanya sangat menyentuh hati kan..

abu naim berkata...

Ya, memang menyentuh hati kerana Hanya Kau Yang Tahu. Biar saya sambung sedikit lagi kisah itu...
Aku tahu, aku tahu, aku tahu sangat bahawa kau memang menyayangiku, memang pernah bersemi dan subur rasa cinta itu di dalam jiwa ragamu. Bukankah begitu, sayang? Dan kita memang pernah mencipta bahagia, bahagia bersama, tetapi akhirnya kita "berpisah" untuk mencipta bahagia yang hanya kau yang tahu. Masihkah kau ingat kata-katamu yang kau kirimkan malam itu?
"Terima kasih atas apa yang kau lakukan terhadapku."
"Percayalah, aku bahagia sekali."
"Saat indah itu bagaikan mentari di bawah gunung."
Faizal masih ingat malam bulan Ramadan itu. Dia tidak menyangka sama sekali sewaktu pulang dari majlis berbuka puasa di Sri Pelangi bersama Filzah membibitkan kembali hubungan cinta mereka yang mati seketika.

Tanpa Nama berkata...

Saya harap novel ini akan menyerapkan falsafah cinta yang agung dan bermanfaat kepada pembaca, khususnya remaja. Buatlah novel cinta yang tinggi nilai seni, bahasa dan sasteranya, kerana rasa cinta ialah kurniaan Allah kepada hambanya yang terpilih sahaja. Teruskan usaha sdr. untuk berkarya lagi seperti dulu-dulu.

abu naim berkata...

Terima kasih kepada anda yang memberi galakan dan membantu saya meneruskan novel ini. Insya-Allah saya akan memaparkan sebuah kisah realiti kehidupan yang dapat dijadikan pengajaran dan membawa mesej yang berguna kepada semua golongan pembaca. Berikut saya petikan sedikit kisah dalam novel tersebut....
Tarikh kelahiran ialah hari bersejarah dan bermakna dalam kehidupanku. Namun, tahun ini aku tidak dapat meraikannya pada tarikh itu. Peperiksaan akhir menghalangku. Namun beberapa hari sebelum hari itu, Faizal datang menemuiku. Dia membawa aku makan malam di sebuah restoran di pinggir tasik. Panorama lokasi itu pada waktu malam memang indah dan mendamaikan jiwa.
“Mana kawan awak?”
“Dia demam. Tapi taklah teruk sangat.”
Memang pada mulanya aku berhajat untuk mengajak kawan sebilikku pada malam itu. Tujuanku untuk mengelakkan prasangka buruk dan perang besar dengan Amirul. Walau apa jua alasan pun Amirul tidak akan mengizinkan aku keluar dengan Faizal.
Aku bahagia jika dapat keluar, apatah lagi makan malam bersamamu. Tapi aku bimbang kalau Amirul menelefonku ketika ini, begitulah bisik hatiku tatkala aku duduk di sebelah, sedang Faizal memandu keretanya dengan tenang. Aku pasti dia juga bahagia bersama-samaku.
“Filzah, tahun ini aku tidak dapat terbang ke angkasa sebagaimana tahun lepas. Aku tak dapat memetik bintang-bintang yang berkelipan untuk kujadikan rantai mengalungi lehermu sebagaimana yang aku janjikan dahulu. Masihkah kausimpan batu angkasa yang kuberikan tahun lepas? Masihkah kau ingat kenangan tahun lepas? Manis dan terlalu indah kan?”
Filzah mengangguk cuma. Sesekali jejari halusnya menekan huruf-huruf pada telefon bimbitnya menghantar mesej kepada Amirul.
“Pagi tadi saya turun ke laut. Saya ke dasar laut cuba mengutip mutiara, tetapi tak dapat juga. Jadi, tiada apa-apa yang istimewa tahun ini,” sambung Faizal lagi.

abu naim berkata...

Saya akan cuba menyiapkan novel ini. Untuk fragmen selanjutnya, sila layari www.novel-hkyt.blogspot.com. SELAMAT MEMBACA, MENGULAS DAN MENGKRITIK.