22 Februari, 2009

Alahai Polisku....

Kira-kira pukul 6 petang tadi, sewaktu keluar dari Bandar Putra, Segamat, di simpang tiga saya ternampak polis buat sekatan jalan (tiada papan tanda – mungkin tak rasmi). Mungkin polis membuat operasi mat rempit. Dua orang anak muda berpatah balik kerana terkejut dengan sekatan itu. Setelah berpatah balik, seorang anggota polis cuba menahan penunggang motosikal itu, dan saya nampak hampir terlanggar oleh motosikal berkenaan. Ada satu perkara yang menguja perasaan saya apabila ternampak seorang anggota polis memukul belakang pembonceng motosikal dengan sebatang kaya (macam kayu batang penyapu) dengan kuat dan bersungguh-sungguh. Persoalan yang berlegar di benak saya ialah: Mengapa harus dipukul pembonceng itu? Tidak ada cara lainkah yang lebih baik atau kurang ganas? Bagaimana pula kalau pukulan itu terkena kepala atau tengkuk? Atau bagaimana nasib anggota polis itu kalau dia terlanggar? Tidak cederakah dia? Atau mungkin juga memang begitulah prosedur dan budaya rakyat Malaysia kini? Sama-samalah kita fikirkan….

19 Februari, 2009

Guru gagal mendidik?

Tercatat dalam sejarah, hari ini terpapar berita tentang pelajar membakar kereta guru di sebuah sekolah di Segamat, Johor. Tentunya berita ini boleh mengaibkan nama sekolah. Seorang teman, sambil berseloroh dia mengungkapkan kata-kata “guru-guru gagal mendidik dan mendisiplinkan pelajar!”. Ada juga suara-suara yang mengaakan bahawa disiplin pelajar sekarang semakin meruncing; disiplin sekolah berkenaan teruk; dan macam-macam lagi ungkapan sinis dan berunsur negatif. Dalam nada bergurau juga saya memberikan respons “tidak adillah kalau disebabkan seorang pelajar yang cuba membakar kereta guru, lantas kita membuat penilaian yang sedemikian. Bagi saya, ini kes terpencil di sekolah berkenaan. Sekali dalam masa 50 tahun. Seorang daripada 1500 orang pelajar lain yang masih berdisiplin dan mempunyai nilai-nilai murni. Sebenarnya semua pihak, termasuk individu mempunyai kewajipan dan tanggungjawab dalam usaha melahirkan masyarakat yang berdisiplin, bermaruah dan bertakwa. Usahlah diserahkan anak-anak kita seratus peratus kepada guru dan pihak sekolah. Institusi keluarga dan masyarakat, khususnya ibu bapalah sebenarnya yang sepatutnya lebih prihati dalam hal ini. Masalah disiplin ini bukan masalah baru; sejak zaman dahulu masalah ini telah wujud, cuma bentuk dan modus operandinya yang berbeza.