27 Mac, 2013


Engkaukah itu
yang hilang
bagai seribu tahun
yang hanya senyum di hati
tatkala kutatap wajahmu
terasa masih ada aku
di situ
dalam bicara tanpa kata
hanya doa kepada-Nya
dan cinta bersemadi
dalam pusara tanpa nisan

Segamat 27/3/2013

01 Januari, 2013

Alhamdulilah, sangat bersyukur kepada Illahi - hari ini masih dapat menyedut udara bumi. Seawal pagi, setelah menunauiakn kewajipan, aku berseiap-siap untuk menghantar  puteraku ke Tadika al-Khalifah, sebelum itu  sempayt juga menghantar  anak saudaraku (anak arwah kakak kesayanganku) ke sebuah sekolah di Segamat  untuk melapor diri sebagai "guru ganti".
Selepas menghantar anak ke tadika, aku cuba menghubungi  beberapa rakan untuk bersarapan di samping sembang-sembang pagi - namun tiada siapa yang menyahut.
Akhirnya aku terus ke pejabat dan memulakan  kerja-kerja sendiri. dalam pada itu sempat juga mengucapkan "selamat bertugas" kepada  seorang sahabat yang jauh - namun: tiada  berjawab juga, meskipun ucapan salam didahului. Mungkin sibuk belaka atau dunia sudah berubah, itu yang terdetik di minda saya.

Saat ini, rasa kesyukuran juga yang terucap kerana  setelah sekian lama blog ini terpinggir akhirnya  Allah menganugerahkan aku kekuatan untuk mengaktifkannya semula. Harap-harap semangat dan kekuatan jiwa dan raga  anugerah-Nya ini berterusan, melenyapkan seribu dugaan dan halangan yang mendatang.

Kepada sesiapa jua, khususnya yang masih ingat dan relevan dengan saya, selamat melangsungkan kehidupan sepanjang 2013 dengan harapan dan kekuatan baru. Kehidupan ini  adalah perjalanan yang panjang dalam urusan mencari makna dan keredhaan Illahi.

21 April, 2010

MASJID PERLU BERUBAH PARADIGMA

Sebantar tadi, di masjid ada kuliah/ceramah seperti lazimnya. Tapi kali ini penceramah itu bukan dari golongan agamawan/ustaz. Seorang pengamal perubatan (doktor) menyampaikan ceramah tentang kesihatan, khusunya tentang penyakit. Dengan bantuan multimedia, beliau menjelaskan tentang wabak H1N1 dan denggi yang sedanag melanda negara kita.
Berdasarkan pemerhatian saya, hadirin begitu khusyuk dan berminat terhadap ceramah tersebut. Walaupun sudah amsuk waktu isyak, peserta tidak menampakkan gelisah terhadap ceramah itu, berbanding ceramah-ceramah agama yang biasa. Sangat menarik ceramah dan maklumat yang disampaikan.
Alangkah baiknya kalau ceramah/kuliah di masjid tidak ditumpukan kepada topik-topik agama sahaja, apatah lagi hal-hal yang klise, yang sering didengar di mana-mana, yang hadirin “sudah tahu”. Agaknya hadirin akan bertambah kalau ada kelainan tajuk, ada kelainan penceramah, dan ada kelainan ilmu yang disampaikan di masjid. Mungkin juga lebih baik kalau ada ceramah/kuliah tentang kesihatan, perniagaan, pendidikan,dan kemasyarakatan di masjid, sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan. Ceramah atau kuliah tentang pengurusan rumah tangga, pendidikan anak-anak, termasuklah psikologi kanak-kanak/remaja, dan apa-apa jua yang sesuai dengan hadiri perlu diadakan juga. Saya yakin, ramai ibu bapa yang tiada ilmu tentang pendidikan anak-anak, terutamanya dari sudut psikologi.
Kadang-kadang timbul pertanyaan dalam diri; apakah sebenarnya fungsi institusi masjid? Adakah masjid hanya untuk ahli agama sahaja?


(Catatan ini tidak diedit, sekadar idea awal sahaja)

05 Februari, 2010

BUDAYA SELESA: ANDA BAGAIMANA?

Dalam kekangan masa dan tenaga, kesempatan untuk menulis menjadi semakin terbatas. Justeru, untuk menyampaikan sedikit bahan berfikir, berikut saya terbitkan sebuah e-mel daripada seorang rakan siber:

Mereka yang sudah terkena dengan penyakit budaya selesa adalah orang yang tidak berusaha menjadi lebih baik. Mereka rasa diri dan hidup mereka sudah cukup baik,
sama ada daripada segi spiritual, agama, kewangan, sosial, pendidikan, kekeluargaan, karier, pengetahuan, kemahiran dan bermacam lagi aspek yang lain.

Penghidap budaya selesa hanya hidup dengan rutin. Mereka bangun tidur, melakukan apa yang mereka lakukan sebelum ini dan kemudiannya hari sudahpun malam. Mereka kemudiannya tidur semula bagi bersedia menghadapi rutin yang sama esoknya.

Mereka inilah golongan yang tidak cuba mengambil inisiatif meningkatkan diri mereka. Jangan hendak baca email ini sehingga habis, malah baru baca tajuk, terus dideletenya.

Mereka begitu mengagungkan diri mereka sendiri sehingga mereka gagal belajar daripada kehebatan dan ilmu orang lain. Mereka begitu asyik dengan diri mereka sendiri.
Apakah destinasi hidup anda sekarang? Saya tidak tahu. Tetapi, anda dapat mengetahuinya dengan melihat corak dan pola kehidupan anda sekarang. Apa yang kita selalu fikir dan buat akan menentukan destinasi masa depan anda.

Seperti saya, hari ini saya berasa gembira kerana dapat berkongsi pelbagai ilmu dan peluang yang saya tahu selama ini kepada mereka yang merebutnya.

Setidak-tidaknya, saya telah menjalankan tanggungjawab membantu anak bangsa Malaysia mengubah hidup mereka menjadi lebih baik.Seperti yang anda lihat, mereka yang mencipta kejayaan demi kejayaan di sini. Ketika umur saya 20an, destinasi saya samar-samar tidak tahu dimana destinasi saya seterusnya.Kini saya semakin jelas ke destinasi sebenar saya. Saya pasti, anda juga telah merancang destinasi sebenar anda.

Di harap dengan email ini, ia boleh dijadikan sebagai satu suntikan positif buat anda untuk menggapai apa yang anda ingin tentukan dalam hidup ini.

Terima kasih Sdr.Noorizam Shah
Usahawan Internet Sepenuh Masa,
eBay Education Specialist,
Pakar Pemasaran Internet

30 Disember, 2009

SELAMAT TAHUN 2010/1431

Selamat menempuh tahun 2010M dan 1431H. Semoga tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Dalam hal ini, saya teringat akan sebuah hadith, “Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia adalah dalam kalangan orang yang celaka.”
Apabila munculnya tahun baru, ramai yang bercakap tentang azam baru dan matlamat. Ada yang mengatakan, matlamat perlu ditulis! Betul juga tu, tetapi saya sering mencadangkan agar matlamat yang ingin kita capai itu mesti dimulai dengan niat, dan niat itu mestilah sentiasa berada di jiwa/minda kita, biar di mana sekali pun kita berada. Untuk menjadikannya sebati dengan diri kita, saya selalu mencadangkan agar niat mesti diucap secara lisan dan dalam hati setiap hari, sekurang-kurangnya 40hari lamanya; iaitu tujuh kali diucap ketika hendak tidur dan tiga kali diucapkan apabila sedar daripada tidur.


Sempena tahun baru ini juga, saya menerima e-mel daripada seorang rakan maya, tentang tip menyelesaikan hutang. Menurutnya, tanpa hutang, kehidupan kita akan lebih senang dan lebih tenteram. Saya setuju sangat, itu memang benar!

Untuk makluman kawan-kawan, matlamat saya tahun 2010 adalah untuk berkongsi rezeki dan ilmu yang saya ada sedikit ini, di samping membuat kebajikan sebanyak mungkin. Melalui projek yang saya ilhamkan, saya akan berusaha dan mencuba untuk membantu sesiapa juga yang memerlukan bantuan. Saya akan meneruskan program percuma ceramah motivasi kecemerlangan dan pembinaan modal insan.

Manakala tugas-tugas dan tanggungjawab rutin akan saya laksanakan sebaik-baiknya dan sedaya upaya kudrat saya. Harap-harap tahun ini, kesihatan dan semangat saya kian pulih dan dapat berbakti kepada sesiapa jua. Saya mengalu-alukan penyertaan dan kerjasama daripada semua pihak.

27 Disember, 2009

Kadang-kadang Serba Salah

Dalam perjalanan pulang dari Alor Setar sambil dipeluk keletihan yang amat sangat, saya pun bermalam di Tanjung Malim, Perak, sebuah pekan akademik yang namanya tercatat dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu. Teringat Pendeta Zaaba dan kawan-kawan yang bertugas di UPSI kini.
Sebelum meneruskan perjalanan pulang, sempat juga bertemu kawan dan bekas pelajar saya di sini. Minum di kafe Kolej Kediaman Ungku Omar sambil memerhati gelagat dan membuat temu ramah ringkas tentang kehidupan mahasiswa kini.
Dapatan ringkas; mahasiswa terpaksa berjimat dan ikat perut kerana masalah kewangan – PTPTN tidak cukup! Terpaksalah meminta bantuan emak ayah. Kalau yang kurang bernasib baik tu, emak ayah pun sengkek juga! Terpaksalah makan nasi lauk telur goreng dan kicap sahaja. Puratanya mereka memerlukan wang belanja RM250 sebulan. Yang mewah tu, mungkin dapat lebih lagi. Walau bagaimanapun, mereka lebih bertuah, lebih senang jika dibandingkan dengan kehidupan pelajar 10 tahun yang lalu.
Sampai di Rembau, kami pun berehat dan iktikaf di masjid. Di sini lain pula pengalaman saya. Saya nampak seorang lelaki berbadan tegap (sihat) berbaring rehat di dalam masjid, mungkin penat dia. Setelah agak lama juga, dia bangun dan mengambil beberapa helai risalah dan membelek-beleknya. Oleh sebab dia lalu tidak jauh dari tempat saya duduk dan wajahnya nampak mesra, saya pun menegurnya. Dia pun memang mesra dan peramah. Kebetulan, menurutnya dia sedaerah dengan saya. Dia pun kenal kawan-kawan saya yang sekampung dengannya. Menurutnya, dia seorang duda berumur 31 tahun, isterinya meninggal dunia sembilan tahun yang lalu akibat barah payu dara. Ketika itu isterinya baru melahirkan anak pertama yang kini dipelihara oleh neneknya di kampung. Hingga kini dia tidak berkahwin lagi; serik kena tipu seorang wanita dua tahun yang lalu. Dia bekerja sebagai mekanik di Hulu Langat dan hari itu terpaksa balik ke Batu Pahat kerana adiknya kemalangan jalan raya awal pagi tadi. Dia kata, dia kehilangan dompet dan telefon bimbit. Duit dah tak ada, sebab itu terpaksa singgah di Rembau. Dia ada kawan di sini, tetapi apabila dia minta tolong, kawannya itu rasa keberatan. Laporan polis sudah dibuat, katanya.
Sewaktu saya meminta diri, dia memberitahu bahawa dia perlukan pertolongan untuk membeli petrol. Saya jadi serba salah. Namun tanpa berfikir panjang dan dengan niat menolong, saya pun berikan RM20 kepadanya. Saya kira, itu sudah cukup untuk sampai ke rumahnya. Dia berjanji untuk membayar balik esok melalui akaun saya (tapi dia tidak pun meminta no. akaun bank saya!).
Berdasarkan cakap-cakap tadi dan air mukanya, tidak nampak bayang-bayang kaki kelentong dia tu…. Tapi, entahlah…. Raut muka tak sama dengan yang tersirat di hati! Tunggu sahajalah. Kadang-kadang serba salah juga; nak tolong atau tak nak tolong? Namun saya tak mengharap apa-apa....

24 Disember, 2009

Ceramah di Benut, Pontian

Petang tadi saya diberi kesempatan menyampaikan ceramah motivasi kepada makcik-makcik di Taman Mahkota Jaya, Benut. Oleh sebab mereka selalu disuguhkan dengan perihal fardu ain, maka saya memilih tajuk “Fardu Kifayah yang Sering Diabaikan”. Namun saya tidak mengupasnya panjang lebar kerana masa yang terhad dan saya fikir ustazah yang bertugas di situ boleh meneruskannya. Lalu saya menyimpang ke tajuk popular saya, “menjana minda cemerlang”. Nampaknya mereka lebih tertarik dan seolah-olah mendapat sesuatu yang baru.

(gambar akan menyusul kemudian)