30 Mei, 2009

Mereka Lebih Suka Petua....


Pagi tadi saya diberi peluang untuk menyampaikan ceramah motivasi dan panduan keibubapaan sempena Program Intergrasi Orang Asli KEMAS Daerah Segamat di sebuah perkampungan orang Asal, di Kampung Putting, Segamat. Setibanya di kampung ini, perasaan dan semangat saya untuk menyampaikan ceramah mula menurun kerana perkampungan orang Asal ini, walaupun rumah mereka sudah moden, begitu juga dengan kehidupan mereka, namun dari segi cara hidup masih menampakkan suatu identiti terkebelakang – anjing berkeliaran dan tanah agak lecak. Dek anjing yang berkeliaran, pembantu-pembantu saya takut hendak keluar dari kereta!
Namun setelah masuk ke balai (kanopi) tempat program berlangsung, saya mula bersemangat apabila saya perhatikan bahawa lebih 90% peserta terdiri daripada orang Melayu; penyelia KEMAS, guru-guru tadika KEMAS dan penduduk di sekitar kampung tersebut.
Dengan bantuan multimedia, saya mencuba menyampaikan isi ceramah sebaik mungkin dan mengutarakan sesuatu yang saya fikir baru bagi mereka. Saya cuba menggabungkan antara ilmu psikologi, biologi, agama, dan budaya dalam usaha membantu peserta mendidik dan melahirkan generasi (anak-anak) yang berguna dan kenal akan ibu bapa mereka. Rupa-rupanya mereka suka akan petua berbanding ilmu-ilmu moden kini yang sering diketengahkan oleh penceramah/motivator terkenal.
Respons daripada peserta memang cukup membanggakan, dan saya yakin ceramah saya hati ini berkesan kerana ada peserta meminta saya meneruskan ceramah walaupun masa sudah habis. Sewaktu hendak beredar beberapa peserta menemui saya dan meminta saya menyampaikan ceramah di tempat mereka, di samping beberapa peserta yang mengadu hal tentang anak-anak masing-masing.
Begitulah… suatu kepuasan yang tidak terhingga. Terima kasih kepada anda yang membantu saya dan memberikan saya sinergi pada hari ini.

23 Mei, 2009

Perihal Wang Hibah

Petang tadi saya menghadiri taklimat tentang “hibah”, iaitu tentang duit hibah, kata mereka. Saya pun tak berapa faham konsep dan prinsip hibah yang dihebah-hebahkan oleh sesetengah pihak sehingga masyarakat sangat berminat dan berpusu-pusu memenuhi dewan sebesar itu. Maklumlah…. Siapa yang tak berminat kalau ada pihak yang mahu memberikan wang percuma! Makan ringan dan minum disediakan pula! Seminggu sebelum itu, saya terdengar ada orang berkata, “minggu depan ada jutawan nak datang bawa duit berjuta-juta ringgit!”
Orang penuh sesak di dalam dewan, masing-masing ingin mengetahui dari mana datangnya duit hibah yang dimaksudkan itu. Dalam pada itu, masing-masing memegang borang permohonan untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada duit hibah. Daripada ramai-ramai itu, saya nampak hanya ada enam orang Cina yang datang.
Saya perhatikan, barisan penganjur yang duduk di meja depan terdiri daripada penghulu, ketua kampung, imam dan jawatankuasa masjid. Mereka semua membawa imej yang baik dan meyakinkan para hadirin.
Apakah yang dimaksudkan “hibah” yang sebenarnya? Betulkah “hibah” itu wujud atau hanya mainan strategi pihak-pihak yang bijaksana …. Saya tertarik dengan jawapan seorang kenalan pada hari itu “bahagi harta rampasan perang!” jawabnya apabila saya bertanya “ada apa ni?”. Walaupun dalam nada gurau, ada munasabahnya! Sebenarnya saya pernah mendengar perihal “hibah” ini sejak tiga tahun yang lalu. Kalau ikutkan ceritanya, memang menarik dan boleh diyakini. Justeru ada juga yang “melabur” ribuan ringgit kerana khabarnya ada pulangan yang sangat besar.
Kalau ada sesiapa yang tahu tentang “hibah” ini, silalah jelaskan agar tidak menjadi kabur dan mengelirukan. Walau bagaimanapun, saya masih ingat kata-kata penceramah pada petang itu (seorang haji), beliau berkata, “ada tiga perkara yang perlu dilakukan supaya kita dipermudahkan rezeki, iaitu berkasih sayang, bersedekah dan membaca surah Yassin setiap hari.” Kata beliau lagi, setakat ini beliau sudah menerima lebih 80,000 permohonan bantuan daripada duit hibah ini.

04 April, 2009

Kanak-Kanak Belajar daripada Kehidupan Mereka


Pagi tadi saya diminta untuk menyampaikan ceramah motivasi kepada ibu bapa dan guru di Taski ar-Raudhah, Bukit Siput, Segamat. Masa yang diperuntukan terlalu singkat; memang tak puas hati dan terlalu sedikit yang dapat saya sampaikan. Kali ini saya menyentuh hal pendidikan anak dan budaya di rumah yang boleh mempengaruhi jiwa dan pemikiran kanak sehingga dewasa. Sepintas lalu sahaja saya mengemukakan idea Dorothy yang popular itu:

Kanak-kanak Belajar Daripada Apa Yang Mereka Alami

Children Learn What They Live

by Dorothy Law Nolte

Jika anak hidup dengan kritikan, mereka belajar untuk mengutuk.

Jika anak hidup dengan permusuhan, mereka belajar untuk melawan.

Jika anak hidup dengan ketakutan, mereka belajar untuk bimbang.
Jika anak hidup dengan kasih sayang, mereka belajar

menyayangi diri sendiri.

Jika anak hidup dengan ejekan, mereka belajar menjadi malu.

Jika anak hidup dengan iri hati, mereka belajar menjadi pendengki.

Jika anak hidup dengan rasa malu, mereka belajar untuk rendah diri.

Jika anak hidup dengan dorongan, mereka belajar untuk yakin diri.

Jika anak hidup dengan toleransi, mereka belajar menjadi sabar.

Jika anak hidup dengan pujian, mereka belajar untuk menghargai.

Jika anak hidup dengan penerimaan, mereka belajar untuk mencintai.

Jika anak hidup dengan persetujuan, mereka belajar untuk menyukai diri.

Jika hidup dengan penghargaan, mereka belajar untuk mempunyai tujuan.

Jika anak hidup dengan perkongsian, mereka belajar menjadi murah hati.

Jika anak hidup dengan kejujuran, mereka belajar tentang kebenaran.

Jika anak hidup dengan keadilan, mereka belajar menjadi adil.

Jika hidup dengan kebaikan hati dan perhatian, mereka belajar menghargai.

Jika anak hidup dengan rasa aman, mereka belajar mempunyai keyakinan.

Jika anak hidup dengan rasa persahabatan, mereka belajar
menemukan kasih sayang di dunia.

22 Februari, 2009

Alahai Polisku....

Kira-kira pukul 6 petang tadi, sewaktu keluar dari Bandar Putra, Segamat, di simpang tiga saya ternampak polis buat sekatan jalan (tiada papan tanda – mungkin tak rasmi). Mungkin polis membuat operasi mat rempit. Dua orang anak muda berpatah balik kerana terkejut dengan sekatan itu. Setelah berpatah balik, seorang anggota polis cuba menahan penunggang motosikal itu, dan saya nampak hampir terlanggar oleh motosikal berkenaan. Ada satu perkara yang menguja perasaan saya apabila ternampak seorang anggota polis memukul belakang pembonceng motosikal dengan sebatang kaya (macam kayu batang penyapu) dengan kuat dan bersungguh-sungguh. Persoalan yang berlegar di benak saya ialah: Mengapa harus dipukul pembonceng itu? Tidak ada cara lainkah yang lebih baik atau kurang ganas? Bagaimana pula kalau pukulan itu terkena kepala atau tengkuk? Atau bagaimana nasib anggota polis itu kalau dia terlanggar? Tidak cederakah dia? Atau mungkin juga memang begitulah prosedur dan budaya rakyat Malaysia kini? Sama-samalah kita fikirkan….

19 Februari, 2009

Guru gagal mendidik?

Tercatat dalam sejarah, hari ini terpapar berita tentang pelajar membakar kereta guru di sebuah sekolah di Segamat, Johor. Tentunya berita ini boleh mengaibkan nama sekolah. Seorang teman, sambil berseloroh dia mengungkapkan kata-kata “guru-guru gagal mendidik dan mendisiplinkan pelajar!”. Ada juga suara-suara yang mengaakan bahawa disiplin pelajar sekarang semakin meruncing; disiplin sekolah berkenaan teruk; dan macam-macam lagi ungkapan sinis dan berunsur negatif. Dalam nada bergurau juga saya memberikan respons “tidak adillah kalau disebabkan seorang pelajar yang cuba membakar kereta guru, lantas kita membuat penilaian yang sedemikian. Bagi saya, ini kes terpencil di sekolah berkenaan. Sekali dalam masa 50 tahun. Seorang daripada 1500 orang pelajar lain yang masih berdisiplin dan mempunyai nilai-nilai murni. Sebenarnya semua pihak, termasuk individu mempunyai kewajipan dan tanggungjawab dalam usaha melahirkan masyarakat yang berdisiplin, bermaruah dan bertakwa. Usahlah diserahkan anak-anak kita seratus peratus kepada guru dan pihak sekolah. Institusi keluarga dan masyarakat, khususnya ibu bapalah sebenarnya yang sepatutnya lebih prihati dalam hal ini. Masalah disiplin ini bukan masalah baru; sejak zaman dahulu masalah ini telah wujud, cuma bentuk dan modus operandinya yang berbeza.

18 Januari, 2009

Dari Manakah Bekalan Daging Ayam?

Sewaktu bersarapan bersama-sama keluarga pagi tadi, di sebuah warung kecil hati saya tersentak apabila ternampak seorang peniaga Cina menghantar sayur-sayuran, ikan dan daging ayam di kedai makan berhampiran. Dalam hati, saya tertanya-tanya – mengapakah peniaga Melayu itu mendapatkan bekalan ayam daripada orang Cina (bukan Islam)?. Pastikah dia bahawa ayam itu disembelih mengikut syariat Islam? Halalkah ayam itu?
Saya fikir, bukan hanya kedai makan ini yang mendapatkan bekalan ayam daripada orang bukan Islam. Saya yakin, ada juga di kedai-kedai runcit Melayu pun, daging ayam dibekalkan oleh orang bukan Islam. Saya juga pernah nampak di kantin sebuah sekolah, daging ayamnya juga dibekalkan oleh orang bukan Islam. Memang kita nampak ada bekas dipotong pada leher ayam itu, tetapi wajarkah kita yakin akan kesempurnaan penyembelihannya?
Wahai peniaga Islam, berhati-hatilah dan prihatinlah tentang halal dan haram makanan yang dijual. Janganlah bersubahat dan carilah pembekal makanan yang sah halal. Sudah tidak ada lagikah peniaga yang beragama Islam di Malaysia ini?

28 Disember, 2008

Selamat Tinggal 1429H dan 2008M


Setahun telah berlalu, terasa begitu pantasnya waktu ini beredar. Tahun ini merupakan antara tahun yang amat mencabar dalam kehidupan saya sejak sepuluh tahun ini. Pelbagai suka duka, gembira, derita, hampa dan kecewa singgah dalam kehidupan saya. Pengalaman baru yang tidak pernah saya idamkan ialah saya dimasukkan ke dalam wad sebagai pesakit.
Namun, semua itu menjadikan saya lebih matang dan mengenali kehidupan hakiki sebagai manusia di dunia yang sementara cuma ini. Pelbagai pengalaman yang saya lewati sepanjang tahun ini juga mendedahkan saya kepada fitrah manusia yang sesungguhnya hanya mampu merancang dan mengharapkan sesuatu itu menjadi milik kita.
Terima kasih kepada semua pihak dan saya sangat-sangat memohon maaf atas kesilapan, kesalahan dan dosa-dosa saya. Harapan saya semoga tiada dendam di hati. Selamat menyambut tahun baru dan insya-Allah kita bersua lagi.