22 Februari, 2009

Alahai Polisku....

Kira-kira pukul 6 petang tadi, sewaktu keluar dari Bandar Putra, Segamat, di simpang tiga saya ternampak polis buat sekatan jalan (tiada papan tanda – mungkin tak rasmi). Mungkin polis membuat operasi mat rempit. Dua orang anak muda berpatah balik kerana terkejut dengan sekatan itu. Setelah berpatah balik, seorang anggota polis cuba menahan penunggang motosikal itu, dan saya nampak hampir terlanggar oleh motosikal berkenaan. Ada satu perkara yang menguja perasaan saya apabila ternampak seorang anggota polis memukul belakang pembonceng motosikal dengan sebatang kaya (macam kayu batang penyapu) dengan kuat dan bersungguh-sungguh. Persoalan yang berlegar di benak saya ialah: Mengapa harus dipukul pembonceng itu? Tidak ada cara lainkah yang lebih baik atau kurang ganas? Bagaimana pula kalau pukulan itu terkena kepala atau tengkuk? Atau bagaimana nasib anggota polis itu kalau dia terlanggar? Tidak cederakah dia? Atau mungkin juga memang begitulah prosedur dan budaya rakyat Malaysia kini? Sama-samalah kita fikirkan….

19 Februari, 2009

Guru gagal mendidik?

Tercatat dalam sejarah, hari ini terpapar berita tentang pelajar membakar kereta guru di sebuah sekolah di Segamat, Johor. Tentunya berita ini boleh mengaibkan nama sekolah. Seorang teman, sambil berseloroh dia mengungkapkan kata-kata “guru-guru gagal mendidik dan mendisiplinkan pelajar!”. Ada juga suara-suara yang mengaakan bahawa disiplin pelajar sekarang semakin meruncing; disiplin sekolah berkenaan teruk; dan macam-macam lagi ungkapan sinis dan berunsur negatif. Dalam nada bergurau juga saya memberikan respons “tidak adillah kalau disebabkan seorang pelajar yang cuba membakar kereta guru, lantas kita membuat penilaian yang sedemikian. Bagi saya, ini kes terpencil di sekolah berkenaan. Sekali dalam masa 50 tahun. Seorang daripada 1500 orang pelajar lain yang masih berdisiplin dan mempunyai nilai-nilai murni. Sebenarnya semua pihak, termasuk individu mempunyai kewajipan dan tanggungjawab dalam usaha melahirkan masyarakat yang berdisiplin, bermaruah dan bertakwa. Usahlah diserahkan anak-anak kita seratus peratus kepada guru dan pihak sekolah. Institusi keluarga dan masyarakat, khususnya ibu bapalah sebenarnya yang sepatutnya lebih prihati dalam hal ini. Masalah disiplin ini bukan masalah baru; sejak zaman dahulu masalah ini telah wujud, cuma bentuk dan modus operandinya yang berbeza.

18 Januari, 2009

Dari Manakah Bekalan Daging Ayam?

Sewaktu bersarapan bersama-sama keluarga pagi tadi, di sebuah warung kecil hati saya tersentak apabila ternampak seorang peniaga Cina menghantar sayur-sayuran, ikan dan daging ayam di kedai makan berhampiran. Dalam hati, saya tertanya-tanya – mengapakah peniaga Melayu itu mendapatkan bekalan ayam daripada orang Cina (bukan Islam)?. Pastikah dia bahawa ayam itu disembelih mengikut syariat Islam? Halalkah ayam itu?
Saya fikir, bukan hanya kedai makan ini yang mendapatkan bekalan ayam daripada orang bukan Islam. Saya yakin, ada juga di kedai-kedai runcit Melayu pun, daging ayam dibekalkan oleh orang bukan Islam. Saya juga pernah nampak di kantin sebuah sekolah, daging ayamnya juga dibekalkan oleh orang bukan Islam. Memang kita nampak ada bekas dipotong pada leher ayam itu, tetapi wajarkah kita yakin akan kesempurnaan penyembelihannya?
Wahai peniaga Islam, berhati-hatilah dan prihatinlah tentang halal dan haram makanan yang dijual. Janganlah bersubahat dan carilah pembekal makanan yang sah halal. Sudah tidak ada lagikah peniaga yang beragama Islam di Malaysia ini?

28 Disember, 2008

Selamat Tinggal 1429H dan 2008M


Setahun telah berlalu, terasa begitu pantasnya waktu ini beredar. Tahun ini merupakan antara tahun yang amat mencabar dalam kehidupan saya sejak sepuluh tahun ini. Pelbagai suka duka, gembira, derita, hampa dan kecewa singgah dalam kehidupan saya. Pengalaman baru yang tidak pernah saya idamkan ialah saya dimasukkan ke dalam wad sebagai pesakit.
Namun, semua itu menjadikan saya lebih matang dan mengenali kehidupan hakiki sebagai manusia di dunia yang sementara cuma ini. Pelbagai pengalaman yang saya lewati sepanjang tahun ini juga mendedahkan saya kepada fitrah manusia yang sesungguhnya hanya mampu merancang dan mengharapkan sesuatu itu menjadi milik kita.
Terima kasih kepada semua pihak dan saya sangat-sangat memohon maaf atas kesilapan, kesalahan dan dosa-dosa saya. Harapan saya semoga tiada dendam di hati. Selamat menyambut tahun baru dan insya-Allah kita bersua lagi.






20 Disember, 2008

Mengapa Mesti Diswastakan?


Cadangan kerajaan hendak menswastakan Institut Jantung Negara (IJN) sememangnya mengundang pelbagai reaksi, dan saya yakin kebanyakan rakyat Malaysia, terutama golongan marhaen akan membantahnya walaupun dalam diam. Hal ini kerana apa-apa juga alasan dan motif, rakyat biasa yang menanggung kenaikan kos dan risiokonya.
Apa sebenarnya mitof dan alasan kerajaan? Kalau untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, kenapa semestinya diswastakan? Sudah teruk benarkan sistem pengurusan dan pentadbiran kerajaan kita? Saya fikir tidaklah begitu!
Untuk meningkatkan keuntungan? Keuntungan untuk siapa pula? Saya fikir, lebih baiklah kerajaan bebincang, berfikir dan berusaha dalam hal yang lain selain daripada kecenderungan menswastakan perkhidmatan seperti ini. Ini soal kebajikan dan keperluan rakyat. Janganlah nanti sampai kita menafikan hak rakyat miskin.
Berdasarkan pengalaman saya menerima rawatan di hospital kerajaan dan swasta, memang cukup menguja saya untuk menulis dalam ruang ini. Saya terasa benar betapa susahnya orang kampung, orang yang kurang berada, apatah lagi orang miskin untuk mendapatkan rawatan doktor pakar ataupun rawatan segera untuk menyelamatkan nyawa; segala-galanya mahal! Bukan itu sahaja, seorang doktor kerajaan memberitahu saya bahawa ubat untuk penyakit saya tidak ada di hospital kerajaan! Justeru saya teringat kata-kata seorang doktor kepada saya, “sekarang ini orang yang ada duit sahaja yang boleh umur panjang!”.
Berbalik kepada isu IJN tadi, tak usah ditangguhkanlah cadangan itu, BATALKAN sahaja! Berbincanglah, berfikirlah dan buatlah benda lain yang lebih bermanfaat kepada rakyat yang masih menyokong dan menjunjung kerajaan ini. Cukuplah, jangan sakiti dan kecewakan lagi hati rakyat! (Alhamdulillah…. Hasil ujian darah, saya sudah bebas daripada virus itu sekarang! Terima kasih kepada sesiapa juga yang membantu saya, memberi sokongan moral, memberi kasih dan sayang, memberi cadangan, bertanya khabar, dan bersimpati kepada saya. Semoga Allah merahmati kehidupan anda!)

06 Disember, 2008

Bahasaku dan Papan Tanda

Sepanjang perjalanan 550 km hari ini dan melewati empat buah negeri, tiba-tiba minda saya teruja oleh beberapa papan tanda di tepi jalan yang lain daripada biasa. Saya tertarik dan tiba-tiba berasa gembira setelah sekian lama kurang gembira tentang penggunaan bahasa Melayu di papan tanda di negara kita. Apa yang lain itu? Biasanya kita melihat papan tanda KURANGKAN LAJU tetapi ada beberapa papan tanda baru di Pahang bertulis KURANGKAN KELAJUAN. Nampaknya orang Pahang lebih prihatin tentang kepersisan berbahasa, walaupun masih terdapat beberapa perkataan yang kurang tepat, misalnya MERBAHAYA seharusnya BERBAHAYA atau BAHAYA. Tahniah pihak berkuasa di Pahang! Kalau bukan kita yang berbangga dan memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu, siapa lagi? Pihak berkuasa tempatan dan sesiapa juga yang cinta akan bahasa atau mempunyai masalah/kemusykilan tentang bahasa Melayu, bolehlah berhubung dengan DBP atau Munsyi Dewan yang berhampiran. Bahasa jiwa bangsa, tanpa bahasa Melayu wujudkah lagi bangsa Melayu?

04 Disember, 2008

Peranan Ibu Bapa

Hari ini saya berkunjung ke Felda Selanchar, Rompin, Pahang untuk membuat kajian ringkas tentang Prominex dan pengaruh keluarga dalam pencapaian akademik anak-anak. Saya dapati ibu bapa dan budaya keluarga memang memainkan peranan yang besar terhadap akademik anak-anak. Ibu bapa yang prihatin terhadap pelajaran dan sentiasa berdoa, anak-anak mereka lebih berjaya dan kurang terlibat dalam masalah sosial. Seorang bapa yang saya temui menyatakan bahawa anak-anaknya tiada masalah dalam pelajaran. Yang terbaru, anaknya graduan UUM, sebaik sahaja tamat pengajian terus mendapat pekerjaan dalam sektor awam. Katanya, dia memang berniat (nazar) sekiranya anaknya mendapat pekerjaan, dia akan membuat kenduri di masjid. Katanya lagi, kalau kita ingin sesuatu yang baik, kita perlulah berniat dan berdoa untuk kebaikan itu. Keluarga yang saya temui juga sentiasa menjaga makanan dan mengambil makanan tambahan untuk minda bagi anak-anak mereka. Kesemua keluarga yang saya temui memberikan Prominex kepada anak-anak mereka. Mereka juga sentiasa hadir dalam program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan masyarakat.