30 Disember, 2009

SELAMAT TAHUN 2010/1431

Selamat menempuh tahun 2010M dan 1431H. Semoga tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Dalam hal ini, saya teringat akan sebuah hadith, “Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia adalah dalam kalangan orang yang celaka.”
Apabila munculnya tahun baru, ramai yang bercakap tentang azam baru dan matlamat. Ada yang mengatakan, matlamat perlu ditulis! Betul juga tu, tetapi saya sering mencadangkan agar matlamat yang ingin kita capai itu mesti dimulai dengan niat, dan niat itu mestilah sentiasa berada di jiwa/minda kita, biar di mana sekali pun kita berada. Untuk menjadikannya sebati dengan diri kita, saya selalu mencadangkan agar niat mesti diucap secara lisan dan dalam hati setiap hari, sekurang-kurangnya 40hari lamanya; iaitu tujuh kali diucap ketika hendak tidur dan tiga kali diucapkan apabila sedar daripada tidur.


Sempena tahun baru ini juga, saya menerima e-mel daripada seorang rakan maya, tentang tip menyelesaikan hutang. Menurutnya, tanpa hutang, kehidupan kita akan lebih senang dan lebih tenteram. Saya setuju sangat, itu memang benar!

Untuk makluman kawan-kawan, matlamat saya tahun 2010 adalah untuk berkongsi rezeki dan ilmu yang saya ada sedikit ini, di samping membuat kebajikan sebanyak mungkin. Melalui projek yang saya ilhamkan, saya akan berusaha dan mencuba untuk membantu sesiapa juga yang memerlukan bantuan. Saya akan meneruskan program percuma ceramah motivasi kecemerlangan dan pembinaan modal insan.

Manakala tugas-tugas dan tanggungjawab rutin akan saya laksanakan sebaik-baiknya dan sedaya upaya kudrat saya. Harap-harap tahun ini, kesihatan dan semangat saya kian pulih dan dapat berbakti kepada sesiapa jua. Saya mengalu-alukan penyertaan dan kerjasama daripada semua pihak.

27 Disember, 2009

Kadang-kadang Serba Salah

Dalam perjalanan pulang dari Alor Setar sambil dipeluk keletihan yang amat sangat, saya pun bermalam di Tanjung Malim, Perak, sebuah pekan akademik yang namanya tercatat dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu. Teringat Pendeta Zaaba dan kawan-kawan yang bertugas di UPSI kini.
Sebelum meneruskan perjalanan pulang, sempat juga bertemu kawan dan bekas pelajar saya di sini. Minum di kafe Kolej Kediaman Ungku Omar sambil memerhati gelagat dan membuat temu ramah ringkas tentang kehidupan mahasiswa kini.
Dapatan ringkas; mahasiswa terpaksa berjimat dan ikat perut kerana masalah kewangan – PTPTN tidak cukup! Terpaksalah meminta bantuan emak ayah. Kalau yang kurang bernasib baik tu, emak ayah pun sengkek juga! Terpaksalah makan nasi lauk telur goreng dan kicap sahaja. Puratanya mereka memerlukan wang belanja RM250 sebulan. Yang mewah tu, mungkin dapat lebih lagi. Walau bagaimanapun, mereka lebih bertuah, lebih senang jika dibandingkan dengan kehidupan pelajar 10 tahun yang lalu.
Sampai di Rembau, kami pun berehat dan iktikaf di masjid. Di sini lain pula pengalaman saya. Saya nampak seorang lelaki berbadan tegap (sihat) berbaring rehat di dalam masjid, mungkin penat dia. Setelah agak lama juga, dia bangun dan mengambil beberapa helai risalah dan membelek-beleknya. Oleh sebab dia lalu tidak jauh dari tempat saya duduk dan wajahnya nampak mesra, saya pun menegurnya. Dia pun memang mesra dan peramah. Kebetulan, menurutnya dia sedaerah dengan saya. Dia pun kenal kawan-kawan saya yang sekampung dengannya. Menurutnya, dia seorang duda berumur 31 tahun, isterinya meninggal dunia sembilan tahun yang lalu akibat barah payu dara. Ketika itu isterinya baru melahirkan anak pertama yang kini dipelihara oleh neneknya di kampung. Hingga kini dia tidak berkahwin lagi; serik kena tipu seorang wanita dua tahun yang lalu. Dia bekerja sebagai mekanik di Hulu Langat dan hari itu terpaksa balik ke Batu Pahat kerana adiknya kemalangan jalan raya awal pagi tadi. Dia kata, dia kehilangan dompet dan telefon bimbit. Duit dah tak ada, sebab itu terpaksa singgah di Rembau. Dia ada kawan di sini, tetapi apabila dia minta tolong, kawannya itu rasa keberatan. Laporan polis sudah dibuat, katanya.
Sewaktu saya meminta diri, dia memberitahu bahawa dia perlukan pertolongan untuk membeli petrol. Saya jadi serba salah. Namun tanpa berfikir panjang dan dengan niat menolong, saya pun berikan RM20 kepadanya. Saya kira, itu sudah cukup untuk sampai ke rumahnya. Dia berjanji untuk membayar balik esok melalui akaun saya (tapi dia tidak pun meminta no. akaun bank saya!).
Berdasarkan cakap-cakap tadi dan air mukanya, tidak nampak bayang-bayang kaki kelentong dia tu…. Tapi, entahlah…. Raut muka tak sama dengan yang tersirat di hati! Tunggu sahajalah. Kadang-kadang serba salah juga; nak tolong atau tak nak tolong? Namun saya tak mengharap apa-apa....

24 Disember, 2009

Ceramah di Benut, Pontian

Petang tadi saya diberi kesempatan menyampaikan ceramah motivasi kepada makcik-makcik di Taman Mahkota Jaya, Benut. Oleh sebab mereka selalu disuguhkan dengan perihal fardu ain, maka saya memilih tajuk “Fardu Kifayah yang Sering Diabaikan”. Namun saya tidak mengupasnya panjang lebar kerana masa yang terhad dan saya fikir ustazah yang bertugas di situ boleh meneruskannya. Lalu saya menyimpang ke tajuk popular saya, “menjana minda cemerlang”. Nampaknya mereka lebih tertarik dan seolah-olah mendapat sesuatu yang baru.

(gambar akan menyusul kemudian)

11 Disember, 2009

KASIHANNYA WANITA....

Minggu lalu saya menerima sms daripada seorang wanita (wanita 1) dari Pahang “Assalamualaikum dr, saya ingin mendapat khidmat nasihat dan menambahkan pengetahuan tentang memikat suami untuk menambahkan kasih sayang bersama suami. (Fikiran) Saya sudah buntu. Nampaknya makin pudar. Selepas suami saya berkahwin dengan perempuan Indon...anak-anak pun sudah terasa sangat...anak saya tengah (sedang) belajar lagi. Lima orang, (di) USIM tahun akhir, UiTM baru habis, Dua orang lagi masih bersekolah. Kalau boleh saya nak minta nasihat. (Saya) tak nak nanti rumah tangga yang saya bina selama 25 tahun musnah begitu sahaja. Apa yang harus saya lakukan?”
Saya tidak segera memberi respons terhadap masalah wanita itu.
Lalu dia menghantar sms lagi “sekarang kalau saya terlampau tertekan jadi tak boleh tidur. Saya pernah ambil ubat tidur.”

Malam semalam pula saya menerima sms daripada seorang wanita juga (wanita 2) “Maaf, saya tak sempat nak bagi no. akaun bank. Kereta saya accident petang tadi.” Terkejut saya menerima mesej itu. Pada sebelah paginya dia bertemu dengan saya kerana urusan perniagaan. Dia memberitahu saya bahawa itulah kali pertama dia memandu kereta sendiri dalam jarak yang jauh (lebih 100 km). Dia baru mendapat lesen memandu kira-kira lima bulan lalu.
Saya segera menelefonnya untuk mengetahui cerita tentang kemalangan itu. Keretanya dilanggar oleh sebuah motosikal yang memotong dari kiri sewaktu dia hendak membelok. Dia tidak cedera apa-apa, tetapi keretanya mengalami kerosaka yang agak teruk. Kereta baru jenis Proton Saga. Panjang lebar dia meluahkan pengalaman cemasnya.
Yang menarik pada saya ialah apabila dia berkata dengan penuh emosi “Saya panik. Saya tak tahu nak buat apa. Semua orang kerumun saya. Semua salahkan saya. Saya hubungi suami saya, dia marah-marah pulak, dia tanya macamana boleh accident? Kereta teruk tak? Bukannya dia tanya saya macamana keadaan saya?Luka ke? Koma ke? Dia lebih pentingkan kereta dia....”
Sempat saya beri dia semangat dan sedikit panduan untuk menyelesaikan masalah kemalangannya, termasuklah cadangan untuk mendapatkan khidmat guaman jika perlu. Kebetulan pula di bandar itu saya mempunyai seorang rakan peguam yang kebetulan peguam saya dahulu.
Kemudian saya menghantar sms kepadanya “Kesemuanya itu ketentuan Illahi yang pasti ada hikmahnya. Pengalaman pahit dan menyakitkan pada hari ini akan menjadi manis kemudian nanti, apatah lagi setelah “ia” menjadi kenangan. Benda dah berlaku nak buat macamana. Terimalah dengan tenang dan reda. Percayalah, Allah akan sentiasa bersama-sama dengan orang yang sabar dan benar.”
Dia membalas “Terima kasih. Sekarang baru saya rasa lega sedikit.”
Mesej yang lebih kurang sama juga saya berikan kepada wanita 1 tadi, selain beberapa panduan ringkas untuk menangani tekanan dan konflik jiwa.
Semalam petang saya bertanya Wanita 2, tentang masalah yang berkaitan dengan kemalangannya. Dia menghantar sms berbunyi “saya tak berani lagi keluar rumah. Masih takut dan rasa nak berhenti kerja. Tak nak guna kereta.”
Justeru saya cadangkan kepadanya agar mengambil produk saya (Prominex) kerapkali untuk membantu menghilangkan trauma. Saya maklumkan juga bahawa dia perlu rawatan trauma dan memulihkan semangat. Untuk makluman pembaca, dalam perubatan homeopathy ada ubat/remedi untuk rawatan masalah trauma.

09 Disember, 2009

PERIHAL SEWA PREMIS

Dua tahun lalu, bagi pihak anak saya, saya menguruskan dan menandatangani perjanjian sewa premis kedai. Tiga minggu lalu, tangkai air di premis itu rosak teruk dan langsung tidak boleh digunakan dan saluran najis tingkat atas yang melalui bilik air premis itu bocor sedikit dan menitiskan air kotor. Justeru, saya menghubungi pemilik premis melalui sms untuk bertanya – apa yang seharusnya saya lakukan. Namun tiada apa-apa respons.
Mengikut kebiasaan dan lojik akal saya, pemilik premis bertanggungjawab untuk menyelenggara dan membaiki apa-apa kerosakan. Jadi, saya pun menghubungi kontraktor untuk menyelesaikan masalah di atas.
Pagi tadi, saya menerima sms daripada pemilik “tuan, bayaran sewa perlu dijelaskan sebelum 7 hb. Bayaran perlu dibuat dengan melalui akaun MBB xxxxx hari ini”.
Saya pun balas “Salam. Apa hal dengan tangki air yang rosak tak boleh guna dan salur tandas tingkat atas yang bocor itu? Saya sudah suruh orang buat kerja.”
Pemilik yang juga seorang pegawai kanan kerajaan, berpendidikan tinggi dan berjanggut agak-agak panjang sejengkal itu menjawab “Kos tuan tanggung sendiri sebagaimana persetujuan masa nak sewa (dahulu). Tapi kalau tuan tak setuju kita boleh tamatkan sewaan segera.”
Saya amat terkejut dengan jawapan itu; rasa marah, pelik dan sedih tiba-tiba berbaur dalam acuan jiwa saya. Emosi saya benar-benar terganggu. Lantas saya pun membalasnya “Takkan tangki air rosak dan salur tandas tingkat atas bocor pun saya kena buat? Saya dah banyak bertolak ansur dengan hal kedai itu.” Untuk makluman anda, sebelum saya menyewa, premis itu kosong tiada penyewa – maklumlah premis milik Melayu di Bandar yang sedang membangun! Saya menyewa premis itu atas dasar sama-sama Melayu dan ada sedikit niat untuk membantunya walaupun saya terpaksa menyediakan bekalan elektrik dan air sendiri dan menjelaskan cukai pintu yang tertunggak lebih daripada rm2K. Pada masa itu, pintu (grill) besi premis itu pun bermasalah dan saya tolong betulkan.
Tidak lama kemudian dia membalas sms saya, “tak apa nanti saya keluarkan notis sebagaimana yang diperlukan”.
Tambah berderau darah saya. Premis milik dia, saya hanya menyewa. Dia berhak menghalau saya dan buat apa-apa sahaja. Rasa sedih kian bergumpal di jiwa saya. Lalu saya pun menjawab “Tak apalah. Kalau tuan fikir itu yang terbaik dan boleh membahagiakan tuan, saya akan bayar sewa hari ini. Bagi saya resit bayaran sewa yang saya bayar selama ini. Tq dan maaf”
Saya pun mengadukan hal ini kepada seorang teman. Semua sms dia dan saya tadi saya “foward” kepada teman saya itu. Saya meminta komen tentang keputusan dan bahasa yang saya gunakan. Saya katakan kepadanya (untuk luahkan marah dan tak puas hati) “manusia tak mengenang budi, masa susah kita tolong dia....”
Jawab teman saya , “orang kalau dah terdesak, lupa semuanya.”
Alhamdulillah, saya berjaya memujuk hati sendiri. Saya akui kesilapan saya, lewat dua hari bayar sewa dan mungkin saya lupa isi perjanjian. Mungkin dia ada kewangan, mungkin dia ada masalah kewangan. Mungkin juga dia tersilap. Namun, saya yakin bahawa saya berada di pihak yang benar. Saya cuba mengelakkan diri daripada tercetusnya konflik dan pertentangan dengan sesiapa, apatah lagi dengan dia yang saya kenal dan kerap juga terjumpa. Saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa. Saya mahu kehidupan yang singkat ini semuanya indah dan menyeronokkan. Justeru, saya berusaha mengikhlaskan diri dan di sudut hati berdoa agar Allah s.w.t akan meredai dan memberkati kehidupan saya dan mempermudah rezeki keluarga saya, dan sesiapa jua yang bersama-sama saya, terutamanya RAKAN-RAKAN PROMINEX saya (www.prominex.blogspot.com )
Berbalik pada hal di atas, petang tadi saya memasukkan RM500 kepada pemilik premis sebagaimana yang saya janjikan. Saya menghantar sms kepadanya “duit sewa RM500 dah bank in. Sila bagi saya resit. Semoga tuan dimurahkan rezeki, mendapat keberkatan dan hidayah.”
Senyap. Saya terus ke pejabat untuk menyemak dokumen perjanjian. Berulang kali saya baca – tempoh sewaan sehingga Disember 2010. Lega hati saya. Tercatat pada Perkara 10 (Tanggungjawab Pemilik): Pemilik bertanggungjawab menyelenggara/membaik pulih kerosakan/kemusnahan struktur bangunan, bekalan elektrik dan air yang disebabkan bukan kecuaian penyewa.
Lantas saya pun menghantar sms kepada pemilik premis “Berkaitan dengan masalah kerosakan tangki air dan saluran tandas, saya mohon kelapangan tuan untuk menyemak Perkara 10 dalam perjanjian sewa premis yang bertarikh 1 Disember 2007. Harap maklum.”
Apa komen anda?