30 November, 2008

Pesta Air dan Masalah Bekalan Air

1. Bagi penduduk di Kelantan dan Terengganu bagaikan pesta air;
mereka sudah biasa dengan keadaan begini. Sepanjang beberapa
hari di sini, saya amat rindu sinaran mentari. Hujan renyai-renyai dan kadang-kadang lebat, terutama pada waktu malam. Meredah air yang melimpah ke jalan raya merupakan suatu hal yang biasa di sini. Orang dewasa dan orang tua kelihatan seperti biasa, masih ramai yang duduk “bermesyuarat” di kedai-kedai kopi, manakala kanak-kanak riang ria menyambut “pesta air” berhampiran dengan rumah mereka. Yang paling saya bimbang tentang keselamatan kanak-kanak; ada juga yang baru berusia kira-kira empat tahun yang
turut bermain air. Bebarapa kali saya cemas apabila terpaksa
mengharungi air yang melimpah di jalan raya.

2. Sewaktu cuba menguruskan masalah bekalan air paip di rumah mentua saya (Kg. Nangka/Kg. Chap), kereta saya mengalami kerosakan brek di Bandar Raya Islam, Kota Bharu. Sewaktu cuba berurusan tentang bekalan air paip di sini, saya mengalami kerumitan sedikit kerana apabila saya berjumpa dengan kakitangan Syarikat Air Kelantan (SAK), Jajahan Bachok, dia kata, hal ini kena
berurusan dengan kontraktor yang berkenaan kerana projek ini di
bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar; dia tak boleh campur tangan. Dia kata, borang permohonan belum diserahkan kepada (SAK). Dia kata, ini projek subsidi dan percuma; tetapi saya difahami oleh penduduk di kampung berkenaan, kontraktor meminta bayaran RM200 untuk setiap permohonan. Akhirnya, saya pun tak faham dan pelbagai tanda tanya menyerang otak saya. Kepada sesiapa yang berkenaan, buatlah kerja dan urusan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Kasihanilah orang kampung yang terpaksa mandi dan makan minum menggunakan air telaga yang kotor itu. Mereka juga pembayar cukai dan rakyat Malaysia yang sah dan menyerahkan amanah kepada kerajaan sejak merdeka lebih 50 tahun yang lalu.

29 November, 2008

Meredah Banjir di Pantai Timur


Dalam perjalanan ke Serambi Mekah siang tadi, sebaik sahaja masuk ke negeri Terengganu, hujan gerimis menyambut kami. Banyak kawasan di sepanjang perjalanan kelihatan sudah dinaiki air. Paras air sungai pun sudah tinggi, malah ada yang sudah melimpah dan menenggelami kawasan sekitar. Apabila musim hujan begini, masalah yang dialami oleh pengguna jalan raya ialah jalan rosak dan berlubang-lubang. Bahaya dan sungguh menyakitkan hati dan menyakitkan kereta juga. Tayar kereta saya pun termasuk ke dalam lubang besar tadi; sakitnya hati... geramnya! kenapalah mutu jalan raya kita serendah itu? Nampak sangat betapa nipisnya lapisan tar di jalan raya kita.
Sesampainya kami di simpang tiga selepas Kuala Berang, ada papan tanda amaran banjir dan jalan di Kuala Ping ditutup. Kami terpaksa mengikut jalan alternatif yang ditunjukkan oleh papan tanda; lalu jalan kampung. Satu lagi masalah saya temui, iaitu tiada penunjuk arah (papan tanda) di simpang-simpang tertentu. Sampai di Pasir Puteh, hari dah gelap. Tiada pancang di tepi jalan, tiada papan tanda, macam tak pernah banjir. Bahayanya pada waktu malam, meredah air. Lampu tepi jalan pun tak ada. Barangkali inilah yang dikatakan pesta air!


27 November, 2008

PPSMI: Kembalilah Ke Pangkal Jalan

Akhbar perdana hari ini memuatkan tulisan tentang pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Persoalan ini tidak akan selesai selagi pemimpin negara tidak benar-benar berjiwa Melayu dan memperjuangkan bangsa dan bahasa ibunda sendiri. Persoalan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa komunikasi tidak seharusnya dipertikaikan lagi. Apa pun bukti dan hujah yang kita kemukakan tiada maknanya selagi minda dan cara berfkir mereka yang ada kuasa tidak selari dengan pejuang-pejuang bangsa dan bahasa kita.
Saya pernah mengajarkan sains dan matematik lebih daripada sepuluh tahun, dan akhirnya saya memilih untuk tidak mengajar subjek itu lagi dan rela tidak mendapat elaun khas PPSMI kerana saya berjiwa Melayu dan saya yakin, matlamat dasar tersebut untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar adalah tidak tepat dan akhirnya tidak berjaya, sebaliknya akan menambah beban kepada murid dan guru untuk mempelajari ilmu sains dan matematik.
Mengapa tidak diubah dasar dan kaedah pengajaran bahasa Inggeris? Mengapakah tidak difikirkan cara pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris yang lebih praktikal dan berkesan? Saya cadangkan para pegawai atasan, menteri, wakil rakyat, dan sesiapa juga yang berminat dan berkaitan dengan pendidikan; turunlan dan pergilah ke sekolah-sekolah secara tidak rasmi (diam-diam); tengoklah dan perhatikanlah dengan mata telinga sendiri apa sebenarnya yang telah berlaku dalam pelaksanaan PPSMI ini. Berapa banyakkah wang rakyat yang membazir untuk ini? Berapa ramaikan guru yang mengajar sains dan matematik menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya? Berapa ramaikan calon UPSR, PMR dan SPM yang menjawab soalan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris? Tanyalah sendiri guru-guru melayu dan murid-murid yang menjadi mangsa dasar ini. Ikhlas dan jujurlah apabila memeperkatakan tentang kebenaran. Saya sering mendengar guru-guru Cina mengajar (di luar kelas) pelajar-pelajar Cina menggunakan bahasa Cina. Mengapakah mereka tidak menggunakan bahasa Inggeris? Beberapa minggu yang lepas, saya mendengar seorang guru mengajarkan Matematik (dalam kelas tambahan) selama beberapa jam tanpa sepatah pun menggunakan bahasa Inggeris. Mengapa jadi begitu? Jawapannya; jika menggunakan bahasa Inggeris murid-murid tidak faham! Lagipun, soalan dan jawapan boleh menggunakan bahasa Melayu!
Wahai ahli-ahli politik, Perdana Menteri dan menteri-menteri Melayu; gunakanlah kuasa anda untuk memperjuangkan dan memartabatkan bangsa dan bahasa Melayu; percayalah anda akan dilabel sebagai pengkhianat bangsa dan bahasa sendiri. Kembalilah ke pangkal jalan, akuilah kesilapan!

26 November, 2008

Mereka Hanya Nampak Keburukan

Semalam saya menerima mesej (sms) yang maksudnya begini Beginilah rupa-rupanya apabila hidup dibenci orang. Apabila perlu sahaja orang akan mencari kita… hal-hal yang lain orang dah tak percaya dan tak perlukan kita lagi…. Saya balas Memang begitulah hakikat manusia. Sudah lama saya tahu dan saya rasa. Bersabarlah dan redalah dengan kehidupan yang singkat ini. Berdoalah agar Tuhan memberi petunjuk kepada mereka. Petang tadi, lama juga dia melanjutkan ceritanya dan mencurahkan rasa sedih dan kecewa yang bersarang di kalbunya lantaran barang kesayangannya yang dipinjam oleh seseorang tidak dijagai dan rosak kesudahannya. Sesudah rosak, peminjam berdiam diri, seolah-olah tidak menghargai barang itu, apatah lagi penghargaan terhadap dirinya.
Orang tidak pernah nampak kebaikan kita, mereka hanya nampak keburukan sahaja.”
Saya faham. Saya dapat merasakan bagaimana kelukaan, kesedihan dan kekecewaan awak. Nasib awak sama seperti saya, dan saya fikir hanya awak yang nampak kebaikan saya walaupun sedikit cuma,” balas saya.
Selepas itu saya cuba mengusiknya dengan sedikit gurauan. Tetapi dibalasnya dengan nada serius dan seperti marah.
Saya bergurau pun awak marah?”
“Hanya awak sahaja yang boleh saya marah….” jawabnya dengan nada yang semakin riang.
“Semua orang tidak memahami perasaan saya sedangkan selama ini saya sentiasa mengalah dan mengutamakan mereka dalam semua hal….”

22 November, 2008

Ayah Pergi Selama-lamanya


Telah tiba detik ketentuan Illahi
pada penghujung senja ini
di teratak kelahiran kami
ayah kembali menemui penciptanya
dia pergi buat selama-lamanya

Biar macamana sekalipun
dia tetap ayah kita dan Tuhan yang menentukan begitu
dan sekali gus kita menjadi manusia
dengan Islam agama kita;

maka bersyukurlah dan redalah kita

Masih terasa denyut nadi terakhir
masih terbayang tubuh kurus terbujur kaku
masih kedengaran keluh resah penghujung usia
masih terngiang tegur nasihat
yang kekadang menusuk jiwa;
bersuakah lagi kita dengannya?


Ayah, kami reda pemergian
dan kami doakan perjalananmu
agar kau menemui-Nya dengan senyuman

21 November, 2008

Menatap Wajah Ayahanda Pada Penghujung Usia

Beberapa hari ini giliran kami berkumpul di kampung menjaga ayahanda yang sakit tenat. Sudah tiga hari dia tidak makan; minumnya hanya sesudu Cuma. Itu pun kami beri jika kami fikirkan dia dahaga. Dulu tubuhnya yang tegap sasa kini tinggal tulang dan kulit sahaja. Umurnya lebih 80 tahun. Menjaga orang tua yang sakit ini memang memerlukan kesabaran dan pengorbanan. Saya fikir inilah masanya saya berbakti untuk seorang ayah pada penghujung kehidupannya. Dulu sewaktu arwah bonda meniti hujung usinya, saya terpaksa berulang-alik 100km dari kampung ke tempat kerja setiap hari selama beberapa bulan. Namun pengorbanan itu sangat tidak setimpal dengan pengorbanannya untuk membesarkan dan menghidupkan saya. Rasanya belum puas saya berbakti dan membahagiakan bonda tersayang. Pengalaman ini menjadikan saya insaf dan sering menasihati sesiapa juga agar berbaktilah sebanyak mungkin kepada ibu bapa dan kunjungilah mereka sementara mereka masih hidup. Percayalah, anda tidak akan tahu nilai dan makna kasih sayang selagi anda belum kehilangan orang yang menyayangi anda.

18 November, 2008

Seronoknya Dunia Kanak-Kanak

Alangkah seronoknya dunia kanak-kanak. Suatu dunia yang telah lama saya tinggalkan, dan apabila teringat masa yang telah berlalu, seakan-akan tidak puas menjadi kanak-kanak kerana dunia kanak-kanak pada masa itu jauh berbeza daripada sekarang. Satu perbezaan yang masih saya ingat ialah dari segi alat-alat permainan, bentuk permainan dan aktiviti harian. Apabila sudah dewasa begini, dan terkenang masa kanak-kanak terasa betapa besarnya kesan budaya keluarga, persekitaran dan pendidikan mempengaruhi pemikiran kita. Justeru, ibu bapa tidak seharusnya mendidik anak-anak mereka sama seperti ibu bapa mereka mendidik mereka pada masa itu. Kita seharusnya peka terhadap perkembangan dan perubahan yang berlaku sekarang, dan keperluan anak-anak kita, terutamanya dari segi pendidikan dan psikologi. (Gambar: Si Cerdik Amin Hanafi Abu Naim di Pantai Irama, Bachok, Kelantan. Lihatlah, betapa seronoknya dunia kanak-kanak!)

17 November, 2008

Selamat Hari Lahir

Pernahkah anda menyambut hari kelahiran atau sering dikenali sebagai hari jadi? Atau pernahkah anda merayakan hari jadi seseorang, terutamanya seseorang yang istimewa dalam kehidupan anda? Mungkin ada orang yang tidak kisah tentang sambutan hari jadi. Hal ini terjadi mungkin disebabkan budaya keluarga atau pengalaman yang dilalui sebelum ini. Saya pun begitu, dulu-dulu saya tidak kisah malah bagi saya tiada apa-apa makna tentang itu semua. Akan tetapi setelah usia semakin dewasa dan semakin memahami fitrah manusia dan makna kehidupan, dan setelah mengalami pelbagai pengalaman, akhirnya saya mula terasa betapa pentingnya meraikan hari-hari bersejarah ini dalam kehidupan kita. Pernahkah anda menerima sekeping kad ucapan, terutamanya ucapan sempena hari jadi? Bagaimanakah perasaan dan persepsi anda terhadap pemberinya? Seronok? Gembira? Bangga? Bahagia? Berasa dihargai? Berasa diingati? Sedih? Terharu? Selain sempena hari jadi, mungkin juga anda pernah menerima hadiah daripada seseorang, terutama orang yang signifikan dalam diri anda. Jika tidak pernah, jangan bersedih, janganlah mengharap. Sebaik-baiknya, anda mulakanlah dahulu memberi, insya-Allah suatu hari nanti anda akan menerima pula. Bagi yang pernah menerima, biarpun hanya sekeping kad ucapan, sesungguhnya anda adalah orang yang bertuah kerana anda istimewa dan dihargai. Justeru, hargailah pemberian itu; jangan pula anda sepah-sepahkan atau anda berikannya kepada orang lain; simpan sahaja kalau anda enggan menggunakannya. Pernah juga ada orang bertanya saya, hadiah yang bagaimanakah yang sesuai untuk kekasihnya? Jawapannya terlalu subjektif. Bagi saya, biarlah hadiah itu sesuatu yang berguna dan mempunyai makna dalam diri orang yang menerimanya. (Apakah hadiah istimewa yang anda terima tahun ini? Masihkah anda menghargai hadiah yang anda terima pada tahun lepas? Adakah anda sudah menghadiahi dia pada tahun ini? Jika anda terlupa, tahun 2009 masih memberi anda ruang dan peluang! Ingatlah bahawa hadiah atau pemberian itu sebenarnya tanda penghargaan. Atau sekurang-kurangnya hantarlah mesej ucapan SELAMAT HARI LAHIR!)


12 November, 2008

Puisi Buat PPD Segamat

TAHNIAH DAN SELAMAT BERTUGAS
(Buat En. Yasiran Maskom, PPD Segamat)

Tunduknya bagai padi
ilmu dan kemanusiaannya teramat tinggi
ketampanan dan wawasan kecemerlangan
segalanya
terhimpun di bawah rerambut bunga lalang
seorang nakhoda bernama Yasiran

Dia umpama pemandu kereta api
barangkali disebabkan Segamat ini hentian kereta api
yang mewarnai kehidupannya
kerana dia akan terus meluncur ke depan
tanpa menoleh ke belakang
tanpa menjenguk ke kiri dan kanan
tanpa simpati lambaian sejuta tangan pun
kerana semuanya itu tiada makna bagi sebuah kecemerlangan

Lalu dia akan tinggalkan sesiapa jua
dia akan meneruskan perjalanan
di atas rel wawasan dan kecemerlangan

Maka akan tertinggallah
sesiapa yang terlena
sesiapa yang mengeluh
sesiapa yang merungut
sesiapa yang lemah
dan sesiapa juga yang bermasalah

Itulah pemikiran dan prinsip
lelaki berwajah tampan berambut bunga lalang ini
yang sentiasa menjunjung
kepimpinan, keinsanan dan kecemerlangan

Kedatangannya dinanti-nantikan
pemergiannya tak mampu dihalang
di bawah nanungannya
hati menjadi tenteram
kerja menjadi aman

Dalam kelembutan suara dan tampan wajah
tersemai ketegasan dan keikhlasan
dan amarahnya adalah belaian kasih
dan runtunan keinsanan

01 November, 2008

Sukarnya Mencari Sahabat

Mencari sahabat memang terlalu sukar, sesukar mencari permata di dalam timbunan sampah dan kaca. Berdasarkan pengalaman, saya belum pernah berjumpa dengan seorang sahabat yang mempunyai sifat-sifat seorang sahabat yang sebenar. Kebanyakan orang, mereka akan bersahabat atau berkawan dengan kita apabila kita diperlukan; jika tidak, mereka akan menjauhkan diri daripada kita. Malah ada juga yang seakan-akan tidak pernah kenal kita. Berikut ini, saya petik sifat-sifat sahabat daripada laman ilhamurni.blogspot.com untuk renungan kita.
  • Jika engkau berbuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.
  • Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik
    persahabatanmu itu.
  • Jika engkau perlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, nescaya ia akan membantumu.
  • Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, nescaya ia akan
    menerima dengan baik.
  • Jika ia mendapat sesuatu kabajikan (bantuan) daripadamu, nescaya ia akan menghargai atau menyebut kebaikanmu.
  • Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, nescaya ia akan
    menutupnya.
  • Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, nescaya ia akan mengusahakannya.
  • Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), nescaya ia akan
    bertanya tentang kesusahanmu.
  • Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, nescaya ia akan meringankan kesusahanmu.
  • Jika engkau berkata sesuatu yang tidak benar, nescaya ia akan menegur atau membetulkan kata-katamu.
  • Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya ia akan membantumu.
  • Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia akan mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.